https://critoxium.com/shop/

Terkini

KPM buka pintu untuk pihak yang risau modul hadis 40 Imam Nawawi


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil maklum kebimbangan pihak tertentu berhubung pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah kata timbalan menterinya, Lim Hui Ying.

Justeru kata Lim bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan muncul, KPM mengalu-alukan perbincangan mengenai pelaksanaan modul tersebut dengan sesiapa yang berminat.

“Saya memang faham kerisauan mereka. Tapi kami mengalu-alukan mereka untuk berbincang dengan kami (KPM) sekiranya mereka mempunyai sebarang persoalan yang mereka tidak faham atau kekeliruan.

“Kami mengalu-alukan kedatangan mereka ke KPM untuk buat sesi libat urus. Kami bersedia untuk berdepan atau bertemu dengan mereka... kita boleh selesaikan,” katanya selepas lawatan kerja ke SJKC Cheng Siu 1 & 2 di Batu Pahat, Johor, hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata KPM sekali lagi menegaskan bahawa pelaksanaan modul tersebut hanya terpakai kepada guru dan pelajar Islam.

“Saya nak tegaskan sekali lagi seperti yang apa yang YB menteri jelaskan sebelum ini, dan kenyataan KPM ketika mengumumkan pelaksanaannya, modul tersebut adalah untuk pelajar-pelajar dan guru yang beragama Islam.

“Jadi kita pegang kepada kenyataan tersebut bahawa ia memang untuk pelajar Islam. Saya harap ini tidak dilaksanakan kepada murid-murid yang bukan beragama Islam,” katanya.

Terdahulu Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat kabinet.

Ketuanya Cally Ting berharap kabinet dapat mencapai persetujuan agar modul itu hanya dilaksanakan di sekolah agama dan tidak melibatkan sekolah kerajaan.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) turut menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Portal berita Harian Metro pula memetik Presiden MCA Wee Ka Siong sebagai berkata mereka kini berpuas hati dengan cadangan tersebut selepas mendapat penjelasan mengenainya daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut KPM program rintis itu akan dilaksanakan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Lim berkata sepatutnya tiada pihak yang perlu berasa risau dengan apa yang diusahakan KPM itu kerana ia berpunca daripada suatu kekeliruan saja.

"Saya fikir semua pun tahu ini memang untuk murid-murid dan guru yang beragama Islam sahaja,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.