Hang Tuah diciptakan selepas Melaka jatuh, pulihkan semangat Melayu
Hal ini boleh dilihat berdasarkan kepada penceritaan mengenai keadaan raja yang hina dalam karya agung Sulalatus Salatin. Antaranya bagaimana pegawai istana terpaksa mencuri beras kerana raja kelaparan.
Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata susulan itu apa yang difikirkan pengarang naskhah berkenaan, Tun Sri Lanang adalah bagaimana mahu membina satu watak hero yang mestilah sesempurna dan sebaik mungkin
Katanya, dalam kisah Hang Tuah iktibar yang perlu diambil adalah ciri utama untuk menjadi seorang pemimpin adalah elok dan keduanya pandai.
"Pemimpin juga perlukan satu pasukan yang kukuh untuk mencapai tahap negara maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (madani)," katanya dalam Program Wacana Manuskrip Melayu, Adat Istiadat Melayu Melaka: Simbol Sebuah Kehidupan dengan Kebitaraan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook Perpustakaan Negara Malaysia.
Katanya, panduan memilih pemimpin seperti yang dicatatkan dalam karya klasik itu seharusnya juga diambil sebagai iktibar. Memiliki pemimpin yang baik membolehkan sesebuah negara itu dirahmati.
"Rahmat itu diberikan oleh tuhan melalui pemimpin. Jika pemimpin itu ganas dan menerima rasuah, tuhan akan cabut rahmat dari bumi itu, maka rakyat sengsara tapi pemimpin tidak sengsara," katanya.
Beliau juga menegaskan pemimpin yang dilantik perlu sama-sama bekerjasama untuk membangunkan negara dan bukan saling bercakaran serta menunding jari.
Tegas Zainal Abidin, kisah Hang Tuah bagaimanapun adalah sebahagian daripada rakaman dalam karya agung itu. Bagaimanapun secara keseluruhannya naskhah berkenaan termasuk juga Hikayat Hang Tuah turut menceritakan mengenai sistem politik, pentadbiran dan adat istiadat yang menjadi amalan orang Melayu ketika itu.
Tegas beliau, kerajaan yang terbentuk pada zaman itu jauh berbeza dengan sekarang misalnya dari sudut amalan sistem monarkinya.
Katanya, berbanding dahulu yang mengamalkan sistem beraja secara mutlak, hari ini kita mengamalkan sistem beraja berperlembagaan.
"Dulu tidak ada sistem 222 ahli parlimen, sebaliknya raja adalah tonggak utama yang menentukan semua perkara.
"Raja juga adalah ketua undang-undang. Malah dalam naskhah itu juga secara jelas menunjukkan jika mahu menghadap raja juga ada peraturan yang perlu dipatuhi.
"Siapa yang boleh menghadap raja, dicatatkan oleh bentara pada waktu itu. Begitu juga dengan siapa yang dilantik sebagai raja muda, ia turut dicatatkan.
"Malah kalau kita membaca secara lebih teliti kita akan tahu adat istiadat Raja Melayu misalnya siapa berkahwin dengan siapa, keturunan siapa… semua itu disusun dengan baik," katanya.
Tambah beliau, turut dicatatkan adalah mengenai adat istiadat perkahwinan di antara raja-raja. Malah menerusi catatan itu, pembaca akan tahu adat istiadat perkahwinan raja, bendahara atau orang kebanyakan adalah berbeza.
Bagaimanapun ada sebahagian adat istiadat perkahwinan itu masih lagi diamalkan di Melaka ketika ini di beberapa daerah.
Antaranya termasuklah pengantin lelaki diarak oleh bakal bapa mentua. Malah pengantin lelaki akan didudukkan di bahu bakal bapa mentuanya itu. Malah tambah Zainal Abidin, raja-raja juga dikatakan mengikut adat ini tetapi dilakukan dengan skala yang lebih besar.
"Pada zaman dahulu juga ada majlis perkahwinan yang turut dimeriahkan lagi dengan tarian, misalnya joget lambak yang popular di Melaka.
"Dahulu ada juga yang berjudi kemudian joget lambak. Ramai yang tidak tahu joget lambak ini masih lagi ada sehingga sekarang. Jika mengikut adat, joget ini tidak ada masalah kerana akan diadakan di serambi rumah dan disertai oleh mahram seperti adik-beradik, ibu ayah dan kaum keluarga.
"Apabila dibuka kepada orang ramai, ia akan dibuat di dalam khemah, di pangkin dan sebagainya. Walaupun begitu, mereka masih lagi mematuhi batas mahram. Lelaki dan juga wanita akan diletakkan berjauhan, diumpamakan seekor gajah boleh melalui ruang di tengah-tengah," katanya.
Mengulas mengenai pentadbiran ekonomi yang dijalankan ketika itu, Zainal Abidin berkata, empayar berkenaan dikawal menerusi Undang-Undang Laut Melaka.
Katanya, menerusi Undang-undang Laut Melaka, walaupun secara umumnya jawatan nakhoda dianggap sebagai raja di dalam kapal tetapi mereka juga turut berniaga. Malah, mereka berniaga sehingga ke Tanah Arab, Benua Kalinga juga ke China.
Ketika itu kata Zainal Abidin, antara perniagaan utama yang dijalankan adalah memasarkan rempah. Perdagangan rempah ratus adalah faktor yang menjana ekonomi Melaka ketika itu.
Tambahnya, kisah kehebatan Melaka seharusnya sampai kepada semua lapisan masyarakat terutama generasi muda. Ia tidak seharusnya tersekat dalam bentuk manuskrip klasik sahaja. Sebaliknya, usaha yang lebih giat perlu dibuat bagi memastikan ia boleh dibaca oleh semua rakyat Malaysia.
Dalam usaha itu katanya, naskhah seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah hendaklah dipermudahkan dan disesuaikan dengan kelompok sasaran.
"Di China misalnya, kita melihat karya-karya agung mereka dihasilkan dalam bentuk komik. Kita juga boleh lakukan inisiatif seperti mereka tetapi pulangan pelaburan itu agak lambat.
"Jadi ia memerlukan kerjasama yang lebih daripada kementerian-kementerian berkaitan.
"Di pihak kami, ada juga cubaan nak menghasilkan komik dan animasikan Hang Tuah dan Salalatus Salatin.
"Ia disasarkan untuk melatih dan menarik perhatian golongan kanak-kanak," katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.