Merdeka dari fitnah
Oleh Faisal Tehrani
Menjelang pilihan raya negeri lalu, di Selangor, salah satu fitnah yang marak sekali ialah kononnya ada dakwaan bahawa “kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan”.
Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor, Nazilah Idris dalam satu sidang media di Hotel Tenera, Bangi menyalahkan DAP dalam hal ini dengan kata beliau; “Ini kerana kita membenarkan menteri DAP dari Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ini sangat membahayakan agama dan bangsa Islam jika kita tidak bertindak sekarang.”
Seterusnya beliau dengan lebih berani tanpa bukti menyatakan, “kita tidak boleh leka dengan perkara-perkara ini. (Seramai) 40,000 pelajar Islam di Selangor dinafikan (haknya) apabila sekolah mereka ini perlu ditutup dan dipindah. Malah mereka kena saman (walaupun) mereka tidak menyusahkan sesiapa.”
Sebuah akhbar milik parti pembangkang membuat laporan mengenai sidang media ini, dan malangnya fitnah ini menjadi tular.
Hakikat sebenarnya adalah tiada arahan sedemikian, dan jelas sekali ia hanyalah modal politik menjelang pilihan raya. Ekoran dari itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, terpaksa menafikan dakwaan ini. Apa yang berlaku ialah, pihaknya berusaha mewujudkan satu garis panduan pemutihan bermula 1 Jan 2021. Ini susulan insiden kebakaran melibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kuala Lumpur pada 2017.
Makanya, garis panduan ini bertujuan memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar dan seluruh warga institusi tahfiz persendirian. Bukan itu sahaja, penguatkuasaan garis panduan yang dikemukakan ini mendapat kerjasama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) yang dianggotai 478 institusi sekolah agama persendirian.
Fitnah serius ini turut mendapat perhatian Sultan Selangor, di mana Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesalnya terhadap fitnah ini. Ekoran dari itu pihak berkuasa membuka siasatan terhadap fitnah ini dan menurut Ketua Polis Negara Razarudin Hussain, beberapa individu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Sebenarnya ada banyak lagi fitnah yang menular dalam masyarakat kita dan tidak dapat dikekang dengan baik. Ia nampaknya berkesiuran di dalam grup WhatsApp keluarga, kejiranan, pejabat dan tumbuh tidak terbasmi di dalam pelbagai platform media sosial khususnya TikTok.
Sesebuah negara yang ditawan fitnah sebenarnya berpotensi untuk ditakluk dan kemudian terjajah. Dalam hal ini, Prof Taufiq Al-Buthi anak kepada Ramadhan Al-Buthi, ulama yang dibunuh teroris pada 2013 ketika sedang berceramah di masjid Al-Iman Damsyik, ada memberi pesan penting.
Menurut beliau, fitnah adalah awal kehancuran tunjang negara. Beliau menyorot pengalaman berharga Syria yang rosak lantaran perang. Menurut beliau, semuanya bermula dengan fitnah.
Taufiq menyatakan fitnah ini dilakukan terlebih dahulu oleh kelompok ekstrem dalam umat. Perlahan-lahan fitnah menjadi serasi dan normal dalam masyarakat, dan dari situ negara akan mudah terjatuh dalam perseteruan yang akhirnya membawa kepada perang saudara. Dari situ, Syria diganggu pelbagai kuasa luar dan kehilangan kemerdekaannya.
Terdapat kaedah untuk mencium kehadiran golongan yang disebut sebagai ashabul fitnah ini. Menurut Taufiq ciri mereka itu sama sahaja di mana-mana pun.
Pertama, mereka akan mudah mengkafirkan kelompok yang berbeza dengan mereka secara agama dan politik. Dalam Islam, tindakan mengkafirkan Muslim lain sangat dilarang; dan gejala takfiri ini perkara paling buruk boleh berlaku dalam negara kita. Ketika pilihan raya lalu, terdapat golongan tertentu mengkafirkan mereka yang tidak memilih calon agamawan dari parti mereka. Ini semua berpunca dari satu amanat dalam tahun 1980-an.
Kedua, sifat takfiri di atas sangat disokong oleh kecenderungan untuk menciptakan polarisasi berdasarkan mazhab, identiti keagamaan dan kepercayaan yang tujuannya adalah untuk meruntuhkan dialog, aneka kepercayaan dan bangsa. Kelompok ini, kata Taufiq, menyebarkan khabar angin, fitnah, dan cara pandang jumud agar dapat dibina tembok yang membelah masyarakat berdasarkan perbezaan politik.
Ketiga, tambah Taufiq, akan terdapat suara waras dan moderat untuk menegah kemaraan kelompok ekstrem ini. Kata Taufiq, ulama moderat menjadi kekuatan penting kerana mereka berupaya untuk menawarkan Islam damai. Akan tetapi ulama yang progresif ini akan turut dihunjam oleh kelompok ekstrem. Dalam banyak keadaan, menurut Taufiq, ashabul fitnah akan mensasarkan tokoh moderat sebagai sasaran. Dalam situasi ekstrem seperti di Syria, cara untuk mendiamkan ulama moderat ini ialah dengan membunuh mereka seperti yang terjadi kepada Ramadhan Al-Buthi.
Jika mereka tidak dapat dibunuh, menurut Taufiq kelompok ekstrem akan melakukan pembunuhan karektor dengan melabelkan mereka dengan gelaran antagonis seperti liberal, syiah, dan sekular.
Dalam situasi Malaysia, ulama yang boleh dihujahkan moderat seperti Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, yang berhujah bahawa konsep parti Islam adalah “ciptaan manusia” dan oleh itu umat Islam tidak dipaksa untuk memberikan sokongan untuk mereka nampaknya ditalu beramai-ramai oleh penyokong sebuah parti.
Untuk menegakkan benang basah, Hadi Awang membuat analogi palsu konon ada ciptaan manusia yang mesti digunakan untuk agama, iaitu kononnya seperti kapal terbang ciptaan manusia boleh digunakan untuk pergi haji. Maka untuk menegakkan Islam, harus ada parti Islam.
Jika kita belajar agama dengan mendalam kita akan tahu hujah Hadi ini dinamai sebagai qiyas maal fariq (analogi salah). Analogi salah begini banyak digunakan oleh kelompok ekstrem IS, iaitu kumpulan teroris yang pernah bersarang di Syria dan antara yang bertanggungjawab membunuh Ramadhan al-Buthi. Malangnya orang awam tidak tahu metode-metode agama yang rumit seperti di atas dan hanya mampu menelan apa sahaja yang diutarakan oleh sesetengah penunggang agama. Bahkan kasihan, Mufti Pulau Pinang kini mulai dilabel dan dipalit dengan gelaran buruk.
Sesungguhnya fitnah sesuatu yang boleh menimbulkan keresahan. Saya beri satu lagi contoh; ketika Selangor dalam keadaan menanti-nanti pemilihan menteri besar yang baharu selepas PRN lalu, yakni ekoran kepulangan Sultan Selangor dari rawatan; terdapat pihak tidak bertanggungjawab di Bangi misalnya menyebarkan keresahan dengan mengatakan PH tidak dapat membentuk kerajaan lantaran DAP cuba untuk merebut jawatan menteri besar. Konon DAP berdegil inginkan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin sebagai MB. Padahal Jamaliah hanyalah dicalonkan sebagai exco.
Fitnah di atas, dan fitnah sekolah agama akan ditutup sebagai contoh memang bertujuan untuk berpolitik. Malangnya kesan buruk ini berkekalan.
Ada calon sudah menang pilihan raya, batang hidung pun tidak kelihatan. Yang muncul nampaknya pengguna media sosial yang diradikalkan oleh fitnah sebegini dan tergamak membuat kenyataan untuk ‘memancung’ orang. Jika dibiarkan Malaysia akan rosak.
Negara ini perlu merdeka dari fitnah. Umat perlu merdeka dari fitnah. Negara kita terbina oleh pelbagai bangsa dan agama. Umat kita terbangun oleh pelbagai mazhab dan aliran. Semua ini warna kekuatan kita. Marilah kita menolak penfitnah. Kalau tersilap memilih sekali, mohonlah ampun dan taubat.
Moga-moga negara kita tidak terjerumus dalam kancah kebinasaan seperti Syria. Semoga dijauhkan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.