Perang Persepsi Rafizi–Anwar: Kritikan Membina atau Strategi Menjatuhkan?”
Nama yang sering jadi polemik hari ini ialah RAFIZI RAMLI dan Perdana Menteri ANWAR IBRAHIM (PMX). Ramai melihat seolah-olah wujud pola tertentu — bukan serangan fakta yang jelas, tetapi lontaran persepsi yang halus. Tidak perlu bukti kukuh. Tidak perlu dokumen lengkap. Cukup dengan naratif dan bayangan. Dan persepsi, bila diulang-ulang, boleh membentuk “KEBENARAN” dalam minda awam.
Dalam Islam, ini bukan perkara kecil.
Allah SWT berfirman :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa” - (Surah al-Hujurat: 12).
Ayat ini jelas. Membina persepsi tanpa asas yang jelas boleh jatuh kepada dosa. Lebih berat lagi jika persepsi itu menggugat kepimpinan dan kestabilan negara.
Politik bukan medan untuk membuktikan siapa lebih popular. Politik adalah amanah. Bila seseorang bercakap seolah-olah “KERAJAAN INI TERBENTUK KERANA AKU”, itu sudah menghampiri penyakit ujub dan ghurur. Dalam bahasa mudah : rasa diri terlalu penting.
Rasulullah SAW bersabda : لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah kesombongan” - (Riwayat Muslim).
Kita bukan menghukum individu. Tetapi kita menilai sikap. Bila kritikan tidak lagi bertujuan membina, tetapi mula menanam persepsi buruk secara berulang — itu bukan lagi islah (pembaikan). Itu boleh jadi fasad (kerosakan).
SOALNYA MUDAH.
Kalau Anwar tidak jadi Perdana Menteri, siapa sebenarnya yang rugi?
Anwar sebagai individu? Atau rakyat yang mengharapkan kestabilan selepas puluhan tahun krisis politik?
Dan jika seseorang bercita-cita menggantikan tempat itu, tetapi pendekatannya hari ini penuh dengan persepsi, sindiran dan naratif emosi — adakah itu tanda kepimpinan matang? Atau tanda gelora dalaman yang belum selesai?
Islam ajar kita satu kaedah :
Jika mahu menegur pemimpin, lakukan dengan adab dan hujah.
Bukan dengan membina bayang-bayang yang akhirnya mencipta kebencian.
Politik yang berasaskan persepsi tanpa fakta akan melahirkan masyarakat yang emosional. Masyarakat emosional mudah diprovokasi. Bila rakyat berpecah, siapa untung? Musuh.
Dan dalam konteks lebih besar — negara ini tidak perlukan lagi episod jatuh-menjatuhkan. Negara perlukan kestabilan, reformasi berperingkat, dan kepimpinan yang sabar menghadapi tekanan.
Kalau pendekatan hari ini adalah strategi menjatuhkan demi mengganti, maka itu bukan siyasah syar’iyyah. Itu permainan kuasa.
Waliyazubillahi min zalik.
Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh kritik. Tetapi jangan sampai kerana ambisi, negara jadi mangsa. Dalam Islam, kuasa bukan matlamat. Kuasa adalah ujian.
Dan ujian paling berat bagi seorang pemimpin bukanlah ketika dia tidak berkuasa — tetapi ketika dia terlalu yakin bahawa tanpa dirinya, segalanya tidak akan menjadi.
HFM | Pengasas QLP
Kuala Lumpur, Malaysia




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.