https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sengketa Bersatu


KUALA LUMPUR: Pemecatan pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mencari perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terbabit.

Namun katanya, semua usaha itu tidak berhasil malah ada segelintir pihak yang secara berterusan melakukan sabotaj terhadap parti, bertujuan memecah-belahkan Bersatu dan menggagalkan matlamat perjuangan parti.

“Sebagai Presiden dan pengasas parti Bersatu, saya bertanggungjawab memastikan parti terus kukuh dan berada di atas landasan perjuangan sebenar.

“Saya dan ramai lagi yang terbabit dalam perjuangan parti Bersatu sejak awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Selama beberapa tahun saya mengambil sikap yang berhemah dalam menghadapi pelbagai bentuk sabotaj dalaman serta tekanan demi tekanan dari dalam parti sendiri.

“Saya juga sudah memberikan tempat dalam barisan kepimpinan parti kepada pihak yang saya tahu menentang saya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, semalam.

Kelmarin, Bersatu memecat 17 ahlinya membabitkan beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam bersetuju melantik Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat diadakan untuk terus mendukung perjuangan Bersatu dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan ahli.

Sementara itu, Hamzah mengisytihar ‘pe­rang’ terhadap Muhyiddin susulan pemecatannya serta-merta kelmarin yang dianggapnya sebagai tidak adil.

Hamzah berkata, beliau tidak mempunyai matlamat menjadi Presiden parti seperti mana didakwa sebaliknya hanya mahu menjadi pejuang bangsa.

Beliau berkata, dirinya dipersalahkan dengan perkara yang beliau sendiri tidak tahu menahu termasuk gerakan menjatuhkan Muhyiddin dalam Bersatu sehingga dipecat dan disingkirkan daripada parti.

“Saya tidak tahu pun apa yang sedang berlaku, hari ini saya dipecat kerana saya tidak tahu dan mengawal perkara yang saya tidak tahu. Hantu apa yang ada di dalam Bersatu?

“Dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (sebelum ini) saya bangun katakan bahawa saya orang nombor satu yang menyokong Presiden. Hari ini saya nak beritahu kepada Pre­siden, sayalah penentang nombor satu,” katanya ketika menyam­paikan ucapan di taklimat hala tuju politik beliau di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaysia, di sini semalam.

Kelmarin Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat keahlian parti serta-merta. Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 Perlembagaan parti.

Sementara itu, Hamzah berkata, sebelum ini apa sahaja arahan Muhyiddin sentiasa di­ikuti beliau termasuk mengeluarkan duit bagi menghadapi pilihan raya namun tidak dihargai.-

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.