https://critoxium.com/shop/

Terkini

Noh Omar umum letak jawatan MPT Bersatu


PETALING JAYA: Tan Sri Noh Omar mengumumkan beliau meletakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa serta merta.

Dalam video berdurasi 6 minit 37 saat yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Noh menzahirkan kekecewaan dengan kemelut yang sedang berlaku di dalam Bersatu pada masa ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan tersebut berpunca daripada tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang didakwanya melanggar ketetapan diputuskan oleh MPT dalam mesyuarat pada 12 Januari lalu.

“Saya ingin tegaskan, dalam Mesyuarat MPT Bersatu pada 12 Januari lalu, MPT telah membuat keputusan bahawa semua tindakan disiplin hendaklah ditangguhkan. Jadi persoalannya mengapa Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya.

“Adakah Lembaga Disiplin tidak menghormati keputusan Ahli MPT? Mana yang lebih berkuasa, Lembaga Disiplin atau MPT?,” katanya hari ini.

Beliau berkata, keputusannya meletakkan jawatan itu adalah bersandarkan prinsip dipegangnya iaitu tiada sesiapa mengatasi undang-undang walaupun mengakui bahawa parti ada hak mengambil tindakan berdasarkan perlembagaan.

“Sebab itu semasa di dalam UMNO apabila tindakan disiplin menggantung saya diambil oleh Presiden tidak mengikut peraturan dan perlembagaan parti, saya minta dipecat daripada UMNO.

“Namun pada hari ini, oleh kerana Lembaga Disiplin mengambil tindakan tidak menghormati keputusan MPT maka saya mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mulai hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, MPT memutuskan untuk menubuHkan Jawatankuasa Pengukuhan Parti yang dipengerusikan Tan Sri Rais Yatim dan beliau sebagai ahli telah mengadakan tiga mesyuarat bagi merancang langkah mengembalikan perpaduan parti.

Bagaimanapun, katanya, rancangan jawatankuasa tersebut terbantut apabila Lembaga Disiplin terus menerus mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya.

“Apa yang berlaku dalam Bersatu ini tidak mengikut perlembagaan. Tetapi, saya hendak berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melantik dan memberi peluang kepada saya menjadi MPT tetapi apa guna jadi MPT kalau keputusannya tidak dipatuhi Lembaga Disiplin dan ahli-ahlinya,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.