Pemecatan dilakukan secara tergesa-gesa – Rais
PETALING JAYA: “Pemecatan dilakukan secara tergesa-gesa tanpa hormat kepada pepatah Melayu ‘biduk lalu kiambang bertaut.”
Demikian kata pengasas Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Rais Yatim susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pimpinan lain parti itu.
Susulan pemecatan tersebut, Rais meletakkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pengukuhan Bersatu kerana melihat nasihat jawatankuasa tersebut tidak lagi relevan apabila Hamzah dan sekumpulan besar pimpinan Bersatu dipecat daripada parti.
“Intisari (teras) Bersatu itu sendiri sudah jadi debu. Syor (jawatankuasa) untuk pertemuan empat mata antara Presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Timbalan (Hamzah) tidak diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai kedudukannya sebagai ahli Bersatu, bekas Speaker Dewan Negara itu berkata, beliau masih lagi ahli parti buat masa ini.
“Saya belum menamatkan keanggotaan dalam Bersatu. Saya hanya sebagai ahli biasa dalam parti,” katanya.
Namun, bekas Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan itu memberikan pandangannya bahawa Perikatan Nasional (PN) perlu ada olahan baharu susulan pemecatan besar-besaran yang dilakukan oleh parti komponennya.
“Pemecatan ini cerminanan matlamat lain. Dari vista (pandangan) kini, prospek menang baik dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) agak sukar. Sayang, prospek keemasan bangsa telah dirosakkan oleh politik ‘Gah’,” katanya.
Semalam media melaporkan, seramai 17 pemimpin Bersatu sudah dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin parti itu termasuk Hamzah dan tiga Ahli Parlimen iaitu Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dipecat iaitu ADUN Sungai Manik yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.