https://critoxium.com/shop/

Terkini

Krisis Perlis : Menyalahkan Ahli Bukan Penyelesain


1.Surat terbuka Presiden PAS kepada ahli PAS Perlis yang meletakkan punca krisis sebagai kegagalan wala’ ahli menimbulkan kehairanan besar dalam kalangan pemerhati politik dan masyarakat.

2.Penjelasan tersebut dilihat lebih cenderung menyalahkan pengikut berbanding menilai kelemahan kepimpinan sendiri. Sedangkan dalam mana-mana organisasi lebih-lebih lagi organisasi yang membawa nama Islam tanggungjawab utama terhadap kestabilan jemaah terletak pada kepimpinan, bukan semata-mata pada ahli.

3.Jika benar krisis Perlis hanya berpunca daripada ahli yang tidak taat, ia sepatutnya dapat diselesaikan melalui proses dalaman parti tanpa mengorbankan kerajaan negeri. Hakikat bahawa Menteri Besar terpaksa berundur dan kerajaan bertukar tangan menunjukkan masalah yang lebih mendasar daripada sekadar disiplin ahli.

4.Islam mengajar ketaatan kepada pemimpin, tetapi Islam juga meletakkan pemimpin sebagai pihak pertama yang dipertanggungjawabkan apabila berlaku kegagalan. Prinsip “setiap kamu pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan terhadap yang dipimpin” tidak boleh dikecualikan hanya kerana memegang jawatan parti.

5.Menjadikan perbezaan pandangan sebagai isu tidak wala’ berisiko menutup ruang nasihat. Apabila teguran dianggap kesalahan, akhirnya ahli bukan lagi rakan memperbaiki organisasi, tetapi hanya diminta menjadi pengikut yang diam. Keadaan ini tidak menguatkan jemaah, sebaliknya melemahkan kemampuan parti menghadapi realiti pemerintahan.

6.Parti yang matang sepatutnya berani melakukan muhasabah terbuka. Mengakui kelemahan kepimpinan bukan menjatuhkan maruah, bahkan itulah tanda kekuatan dan kejujuran. Sebaliknya, terus meletakkan kesalahan kepada ahli tanpa penilaian menyeluruh hanya akan menimbulkan persepsi bahawa ego kepimpinan mengatasi keperluan pembaikan.

7.Rakyat dan ahli parti berhak kepada penjelasan yang lebih jujur. Menyalahkan pengikut mungkin mudah, tetapi memperbaiki kepimpinan adalah tanggungjawab yang sebenar.

MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI AMANAH NEGARA
14 FEB 2026
TAIPING,PERAK

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.