https://critoxium.com/shop/

Terkini

Asmirul Sempurnakan Pelepasan Benih Ikan Sejati MADANI


Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris, hari ini menyempurnakan pelepasan benih ikan dalam Projek Sejati MADANI yang dilihat sebagai inisiatif penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta menjana ekonomi komuniti setempat.

Benih ikan tilapia merah, puyu, kelibaung dan patin yang dilepaskan bukan sekadar ternakan biasa, sebaliknya menjadi simbol harapan dan usaha membina kelangsungan ekonomi jangka panjang bagi penduduk kampung.

Menurut Asmirul, projek berasaskan komuniti seperti ini membuktikan bahawa pembangunan yang dirancang dengan baik serta dilaksanakan secara konsisten mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

 

“Inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk kampung. Apabila komuniti digerakkan dengan ilmu dan sokongan yang betul, hasilnya akan kembali kepada rakyat sendiri,” katanya selepas majlis berkenaan.

Projek tersebut menggunakan kaedah bioflok, iaitu pendekatan moden dalam akuakultur yang lebih menjimatkan penggunaan air, mesra alam serta mampu meningkatkan hasil ternakan dalam ruang terhad. Kaedah ini semakin mendapat perhatian kerana keberkesanannya dari segi kos operasi dan produktiviti.

Kaedah bioflok itu turut diinspirasikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang diketahui mengamalkan kaedah sama sebagai galakan kepada penggunaan teknologi moden dalam sektor perikanan. 

 

Dalam pada itu, penghargaan diberikan kepada dua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) yang komited menjayakan inisiatif tersebut iaitu JPKKP Kampung Ternas yang dipengerusikan oleh Cikgu Basirun bin Desa bersama Setiausaha Mohd Rizam bin Ahmad, serta JPKKP Kampung Surau yang diketuai Adnan bin Ahmad dengan Setiausaha Mohamad Rosli bin Baka. 

 Usaha kedua-dua jawatankuasa berkenaan dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, khususnya dalam aspek keterjaminan makanan dan peluang ekonomi setempat.

Projek Sejati MADANI diharap dapat terus diperluas ke kampung-kampung lain sebagai model pembangunan komuniti yang mampan dan berimpak tinggi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.