https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dapat untung, dapat rugi


Oleh Mohsin Abdullah

Awalnya istilah yang digunakan ialah ‘kuil haram’. Kemudian istilah yang digunakan oleh beberapa pihak termasuk media ialah ‘rumah ibadat haram’.

Namun bagi golongan yang menjadikannya isu lantas menganjur gerakan membantah, istilah ‘rumah ibadat’ tidak digunakan. Lantas mereka namakan protes mereka gerakan ‘anti rumah anutan haram’. Mereka lebih senang dengan istilah ‘rumah anutan’ bukan ‘rumah ibadat’. Apa ada pada nama? Bagi mereka segala-galanya. Obviously.

Namun istilah ‘haram’ mereka kekalkan, malah diberi penekanan. Bagi kumpulan reformasi G25 melabelkan rumah ibadat seperti kuil sebagai ‘haram’ secara berulang kali adalah satu tindakan yang terlalu simplistik berhubung isu kompleks melibatkan sejarah, pemilikan tanah dan pentadbiran kerajaan.

Kata G25 isu tersebut jauh lebih mendalam berbanding apa yang digambarkan oleh individu dan kumpulan yang mendesak perhimpunan jalanan. Ini kita sentuh pada penulisan mendatang.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menggunakan istilah ‘rumah ibadat tidak ikut syarat’.

Bagaimanapun golongan yang membantah tetap dengan istilah ‘rumah anutan haram’. Malam Sabtu lalu mereka menganjurkan apa yang mereka panggil ‘perhimpunan membantah rumah anutan haram’. Penceramah Zamri Vinoth bertindak selaku penyelaras gerakan.

Tangkapan atau penahanan Zamri dan rakan-rakan oleh polis kerana menganjur dan menyertai perhimpunan itu pada hemat saya meletakkan mereka dipandang tinggi oleh para penyokong. Bagi si penyokong, Zamri dan rakan-rakan adalah ‘pejuang Islam’. Terpaling Islamis gamaknya.

Kalau itu boleh dilihat sebagai a plus point untuk Zamri dan Co — their minus point must surely be the fact that Zamri dan rakannya, Tamim Dahri, disiasat mengikut Akta Hasutan.

Bagi PMX dan kerajaan Madani tindakan pantas polis menggagalkan perhimpunan dikecam penyokong gerakan yang dipelopori Zamri. Lihat kecaman, kritikan dan tuduhan yang dilemparkan menerusi platform media sosial. Begitu juga penyokong (dan ahli?) parti politik pembangkang yang boleh disifatkan sebagai berhaluan kanan dan yang mengaku terpaling Islamis. Pasti it will cost Madani votes.

Tetapi on the plus side, Madani dilihat bertindak tegas menjamin ketenteraman awam dan keharmonian rakyat pelbagai agama dan bangsa. This will win them votes. Plus point juga untuk polis yang menunjukkan restraint dalam menangani isu ini. Dilaporkan tiada kekerasan semasa tangkapan dibuat malah polis beberapa kali menasihati penganjur membatalkan hasrat mereka tetapi tidak diendahkan.

PAS dan Bersatu dapat apa pula? Imbau kembali beberapa hari sebelum perhimpunan bantah rumah anutan ‘haram’ diadakan. MIPP menggesa PAS dan Bersatu agar mereka memboikot perhimpunan berkenaan. Ketua Penerangan MIPP Justin Prabakaran berkata presiden partinya, P Punithan, mengutus surat kepada Presiden Hadi Awang dan Presiden Muhyiddin Yassin menggesa ahli dan pemimpin mereka tidak menyertai perhimpunan itu “demi melindungi kerjasama erat dalam Perikatan Nasional”. PAS dan Bersatu ialah rakan kongsi dengan MIPP dalam PN bersama Gerakan.

Sehari sebelum itu Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata tidak ada arahan rasmi dikeluarkan kepada ahli untuk menyertai perhimpunan anjuran Zamri. Walaupun Sukri menggesa isu rumah ibadat ‘haram’ diselesaikan mengikut lunas undang-undang, beliau secara peribadi menyokong perhimpunan itu.

Tiga hari sebelum perhimpunan PAS menerusi Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak perlu mana-mana pihak merasa takut dengan perhimpunan anti rumah ibadat ‘haram’ yang menurutnya bertujuan “menjunjung penguatkuasaan undang-undang sedia ada”.

Jadi apa jadi dengan kerjasama erat PN? Bagi saya kenyataan itu bagai tamparan buat MIPP. MIPP akan mengalami kesukaran untuk menjelaskan kepada masyarakat India yang majoritinya penganut Hindu mengapa ia boleh berbaik-baik dengan PAS dalam PN. Minus point buat MIPP.

Bagaimanapun Fadhli si ketua penerangan PAS tidak pula menegaskan secara spesifik sama ada PAS akan menyertai perhimpunan atau sebaliknya. Ketika perhimpunan diadakan (atau cuba diadakan sebelum polis bertindak) Sabtu lalu, tidak ada pemimpin atau nama-nama terkenal PAS kelihatan di hadapan Sogo.

Tidak pasti sama ada ahli biasa menyertai dan jika hadir adakah mereka mewakili parti atau atas kapasiti peribadi. Pada pandangan saya, PAS cuba ambil hati penyokong perhimpunan (baca: orang Melayu-Islam) yang sepertinya mengaku berjuang untuk Islam tetapi pada masa sama mahu juga ambil hati MIPP dan Gerakan yang anti perhimpunan itu.

Oleh itu tidak boleh nak kata PAS tidak boikot perhimpunan. Nak kata PAS boikot pun tak boleh. Pada hemat saya jika PAS bersifat ‘makan keliling’ itu suatu minus baginya.

Bersatu or at least its top leadership setahu saya tidak buat sebarang komen secara terbuka. Mungkin sedang sibuk dengan krisis dalaman yang semakin serius membabitkan Muhyiddin dan timbalannya, Hamzah Zainudin. Menurut Malaysiakini, Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim antara yang ditahan. Rasanya sudah dibebaskan. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau hadir secara peribadi atau mewakili Bersatu.

Kesimpulannya, isu rumah ibadat ‘haram’ sekian lama dieksploitasikan. Ia divisive politics. Itu minus buat negara yakni untuk kita semua.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.