https://critoxium.com/shop/

Terkini

Didik guna gajet, media sosial dengan berhemah


DALAM era ini, penggunaan gajet dan media sosial dalam kalangan pelajar sekolah bukan lagi isu sampingan, sebaliknya menjadi cabaran besar terhadap disiplin, pembentukan sahsiah dan masa hadapan kepimpinan negara.

Isu kelewatan hadir ke sekolah, kegagalan menyiapkan kerja rumah serta sikap sambil lewa terhadap peraturan, buli dan pengaruh media digital semakin membimbangkan sekali gus tidak boleh lagi dipandang ringan.

Fenomena ini melibatkan semua pelajar tanpa mengira jenis sekolah. Namun, tanggungjawab terbesar tidak boleh dipindahkan sepenuhnya kepada ibu bapa atau sekolah semata-mata.

Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai pembuat dasar utama wajib tampil lebih tegas dan berani dalam menangani kesan komunikasi media baharu terhadap pembentukan sahsiah dan disiplin pelajar.

Komunikasi media baharu bersifat pantas, tanpa sempadan dan sukar dikawal. Kanak-kanak seawal tujuh tahun kini terdedah kepada budaya digital yang menekankan kepuasan segera, hiburan berlebihan dan kebebasan tanpa batas.

Tanpa garis panduan nasional yang jelas, media baharu bukan sahaja mengganggu tumpuan pembelajaran, malah membentuk sikap tidak menghormati masa, peraturan dan autoriti. Membentuk pemikiran pendidikan bukan lagi tiket kejayaan kerana pengaruh gaya hidup pempengaruh di media massa.

Lebih membimbangkan, terdapat persepsi tindakan disiplin di sekolah semakin longgar, sama ada kerana bimbang tekanan ibu bapa, isu imej institusi atau kekangan dasar. Keadaan ini menghantar mesej salah kepada pelajar bahawa kelewatan, kecuaian dan ketidakpatuhan tidak membawa akibat.

Jika disiplin asas gagal dibentuk di bangku sekolah, apakah jaminan generasi ini mampu menjadi pemimpin yang berintegriti pada masa hadapan?

Ditambah pula dengan sistem penilaian di peringkat sekolah yang kurang jelas haluan penilaian sama ada ke arah penekanan sahsiah atau akademik. Ini secara tidak langsung memberi ruang kepada kekeliruan dalam pendidikan dan hala tuju masa hadapan pelajar.

KPM tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan umum atau retorik literasi digital semata-mata. Dasar komunikasi media baharu dalam pendidikan perlu bersifat tegas, praktikal dan seragam, merangkumi semua jenis sekolah.

KPM perlu memperkenalkan garis panduan penggunaan gajet yang jelas, mekanisme pemantauan yang berkesan serta sokongan kepada sekolah untuk melaksanakan tindakan disiplin tanpa rasa takut atau tekanan luar.

Media baharu juga boleh dijadikan medium untuk menarik minat generasi kita terhadap pendidikan dan juga alternatif penilaian dari sudut pembentukan sahsiah serta akademik yang lebih jelas.

Dalam masa sama, literasi media perlu diajar bukan sekadar cara menggunakan teknologi tetapi etika komunikasi digital, disiplin masa dan tanggungjawab sosial.

Media baharu harus difahami sebagai ruang awam yang membentuk nilai, bukan sekadar alat hiburan peribadi.

Ibu bapa dan sekolah sememangnya memainkan peranan penting, namun tanpa kepimpinan dan ketegasan dasar daripada KPM, usaha ini akan kekal bersifat terpisah dan tidak konsisten.

Negara tidak mampu melahirkan generasi pemimpin yang lemah disiplin, keliru nilai dan terlalu bergantung kepada gajet.

Sudah tiba masanya KPM memimpin perubahan ini secara serius. Komunikasi media baharu mesti dikawal, dididik dan dimanfaatkan secara berdisiplin, demi memastikan sistem pendidikan benar-benar melahirkan generasi yang mampu memimpin negara, bukan sekadar mahir menggunakan teknologi.

DR. AFIQAH KAMARUL & DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.