Krisis Bersatu: Lembaga Disiplin Didakwa Lindungi Azmin, Buru Hamzah
Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa telah ‘diperkuda’ oleh pihak tertentu bagi memburu Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, lembaga disiplin parti itu juga didakwa bersikap pilih kasih dan memilih-milih dalam menjalankan siasatan demi memuaskan hati pihak tertentu.
Menurut beliau, sekiranya Lembaga Disiplin Bersatu bertindak secara telus, sudah tentu aduan berkaitan salah laku Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dihantarnya pada 29 September tahun lalu turut disiasat.
“Hari ini sudah lebih empat bulan aduan itu dihantar, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap Azmin.
“Iyalah… kalau mereka ambil tindakan terhadap Azmin, nanti ‘kekasihnya’ yang berkuasa mutlak itu akan marah pula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan satu surat kepada Hamzah untuk memberi keterangan berhubung empat aduan disiplin pada Khamis ini.
Surat itu menyatakan aduan disiplin mendakwa Hamzah terlibat dalam komplot untuk mengganggu dan sabotaj perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) 2025.
Beliau dijangka akan tetap dipecat sama ada hadir atau tidak ke prosiding Lembaga Disiplin parti pada Khamis ini.
Wan Saiful berkata, bagi menutup kesalahan Azmin, beliau selaku pengadu serta saksi-saksi yang dinamakan dalam surat aduan itu pula telah dipecat selepas dua minggu aduan itu dihantar.
“Itulah Lembaga Disiplin Bersatu di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak bermaruah. Tidak beramanah.
“Itu baru satu aduan daripada saya sendiri. Belum lagi kita bercakap mengenai aduan-aduan lain yang langsung tidak dipedulikan.
“Tidak ada apa lagi yang boleh diharap daripada Lembaga Disiplin Bersatu,” katanya. –




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.