https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu Lebih Sibuk Jaga Facebook Daripada Bela Rakyat?


PETALING JAYA: Hala tuju Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat gagal menumpukan perhatian kepada isu-isu utama rakyat, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada pengurusan akaun Facebook parti.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beberapa isu penting seperti dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan dakwaan ‘jual negara’ tidak diperjuangkan secara bersungguh-sungguh oleh kepimpinan parti ketika ini.

“Saya sedih melihat apa yang berlaku dalam Bersatu. Isu rakyat tak disentuh. Isu Azam Baki tak dilawan. Isu Datuk Seri Anwar Ibrahim tak disentuh.

“Isu jual negara tak dijuarai. Tapi akaun Facebook pula jadi tumpuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu berkata, keadaan seumpama ini tidak pernah berlaku sepanjang tempoh beliau bertanggungjawab menguruskan penerangan parti.

Beliau turut menyifatkan situasi berkenaan sebagai mencerminkan kualiti pegawai atasan yang dipilih oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Malangnya, inilah kualiti pegawai atasan pilihan Muhyiddin. Inilah kualiti Bersatu hari ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan keupayaan parti mengurus hal dalaman apabila mendakwa pengurusan akaun media sosial pun gagal ditangani dengan baik.

“Kalau akaun Facebook pun tak boleh urus, tutup sajalah parti,” katanya.

Terdahulu, empat individu disyaki terbabit dalam tindakan sabotaj akaun Facebook (FB) milik Bersatu ketika konflik kepimpinan parti itu memuncak dengan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Harris Idaham Rashid dilaporkan berkata, mereka yang disyaki itu mempunyai hubungan rapat dengan Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang.

Katanya, dalam kalangan empat pengendali yang disahkan mempunyai akses ketika akaun FB Bersatu disabotaj juga mempunyai hubungan dengan bekas Ketua Armada yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Keempat-empat mereka juga didakwa mempunyai akses kepada kandungan, mesej dan panggilan, aktiviti komuniti, iklan, analitik serta akses memberi kebenaran dan memadam halaman.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.