Ribut Bersatu bukan luar biasa
Saya sudah terlalu lama berada dalam gelanggang politik Melayu untuk terkejut dengan apa yang sedang berlaku dalam Bersatu hari ini. Saya sudah lihat parti lahir, parti pecah, parti tumbang. Saya pernah disanjung, pernah juga disingkir. Jadi bila saya tengok ribut ini, saya tidak panik. Tetapi saya tahu tanda-tandanya.
Dalam politik Melayu, bila nombor dua terlalu cepat mahu jadi nombor satu, sejarah jarang memihak kepada pencabar. Ini bukan soal emosi. Ini soal pengalaman. Ramai yang terlalu yakin kononnya arus sudah berpihak kepada mereka. Hakikatnya, dalam politik, arus boleh berubah dalam satu malam.
Umno pernah diharamkan kerana perpecahan dalaman. Semangat 46 lahir dengan semangat yang membara. Akhirnya siapa yang kekal? Siapa yang tenggelam? Sejarah sudah jawab. Perpecahan tidak pernah benar-benar menguatkan mana-mana pihak dalam jangka panjang. Yang untung selalunya musuh.
Kita juga pernah lihat laungan Reformasi bergema di jalanan. Tetapi apabila keputusan dibuat, ia ditentukan oleh struktur dan disiplin parti. Dalam politik, suara paling kuat di luar dewan belum tentu menang dalam dewan. Itu realiti yang ramai suka lupa.
Najib pernah memecat Muhyiddin. Dari situ lahir Bersatu. Tetapi akhirnya Tun Mahathir sendiri tersingkir daripada parti yang diasaskannya. Apa pengajarannya? Dalam politik, tiada siapa kebal. Hari ini orang tepuk bahu kita. Esok orang yang sama boleh angkat tangan menyokong orang lain.
Dalam PAS juga begitu. Muktamar tentukan. Yang kalah terpaksa keluar dan bina wadah baru. Politik bukan medan untuk merajuk. Politik adalah medan disiplin dan kesetiaan kepada keputusan organisasi.
Jadi apa yang berlaku dalam Bersatu hari ini bukan kiamat. Tetapi kalau silap langkah, ia boleh jadi permulaan kepada pengakhiran. Ujian sebenar bukan pada siapa paling lantang, tetapi siapa paling sabar dan paling faham realiti kuasa.
Kalau ada yang mahu mencabar Presiden, gunakan saluran parti. Lawan secara terbuka. Jangan tikam belakang. Jangan guna gerakan senyap. Jangan main persepsi seolah-olah gelombang besar sudah bangkit sedangkan hakikatnya hanya gema di media sosial.
Sepanjang karier politik saya, saya sudah lihat terlalu banyak wayang. Ada yang pandai bermain simpati. Ada yang pandai membina naratif kononnya dizalimi. Ada yang cuba gambarkan seolah-olah mereka membawa arus perubahan besar. Tetapi bila undi dikira, barulah nampak siapa ada sokongan sebenar dan siapa sekadar bunyi kuat.
Dalam politik Melayu, orang akhirnya kembali kepada struktur kuasa yang sah. Itu fakta. Pengikut mungkin bersorak hari ini. Tetapi apabila keadaan reda, kebanyakan akan menyesuaikan diri dengan realiti.
Pesanan saya mudah, jangan ulang kesilapan sejarah. Parti tidak pernah runtuh hanya kerana musuh luar. Parti runtuh apabila orang dalam hilang sabar, hilang disiplin dan terlalu ghairah mahu cepat sampai ke puncak.
Kesabaran bukan kelemahan. Disiplin bukan penakut. Memahami realiti kuasa bukan bermaksud tunduk, ia bermaksud bijak.
Ribut ini akan berlalu. Soalnya bukan siapa paling kuat bersuara hari ini. Soalnya siapa yang masih berdiri apabila semuanya selesai.
Sejarah tidak pernah menipu. Yang selalu lupa ialah manusia. Saya telah melalui pengalaman yang pahit dalam perjalanan perjuangan yang memberi banyak pengajaran.
IBRAHIM ALI ialah presiden Putra




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.