https://critoxium.com/shop/

Terkini

BERSATU di persimpangan dilema


Oleh Mujibu Abd Muis

Pemecatan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin Jumaat lalu bukan sekadar episod disiplin dalaman yang rutin. Ia manifestasi kegagalan parti mengurus perbezaan kuasa secara matang. Apa yang berlaku bukan sekadar retakan, tetapi pendedahan terbuka bahawa struktur kuasa parti berkenaan sebenarnya rapuh sejak sekian lama.

Lebih daripada persoalan individu, krisis ini menggugat asas legitimasi kepemimpinan dan menimbulkan persoalan serius mengenai kelangsungan institusi parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Secara formal, tindakan terhadap Hamzah dilaksanakan berasaskan Fasal 9.1.4 dan Fasal 22.5 Perlembagaan parti. Dari sudut legal-rasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Presiden yang sah. Namun, politik tidak pernah digerakkan oleh teks semata-mata. Kuasa sebenar diukur melalui sokongan yang nyata dan kepercayaan yang hidup.

Apabila 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti secara terbuka memihak kepada individu dipecat, maka keabsahan itu tidak lagi boleh disandarkan hanya pada klausa perlembagaan.

Presiden mungkin menguasai struktur organisasi, tetapi kini kehilangan pusat graviti kuasa di Parlimen. Dalam politik, kehilangan sokongan legislatif bukan sekadar simbolik, sebaliknya petanda hilangnya keabsahan.

Situasi ini memperlihatkan kegagalan penginstitusian ketara. Sebuah parti benar-benar berakar tidak akan mudah berpecah hanya kerana pertembungan elit. Daya tahan institusi bergantung pada kesetiaan terhadap organisasi, bukan kesetiaan terhadap individu.

Apabila majoriti wakil rakyat memilih untuk bersama seorang pemimpin yang dipecat, ini bermakna kesetiaan mereka sejak awal lagi tidak benar-benar berpaksikan institusi. Parti berkenaan berdiri atas personaliti, bukan struktur mapan.

Kepuakan (factionalism) menular dalam parti ini bukanlah mengejutkan. Parti itu tidak lahir daripada perjuangan ideologi mendalam, sebaliknya terbina atas naratif pragmatik sebagai alternatif kepada UMNO.

Tanpa doktrin jelas dan tradisi akar umbi

Tanpa doktrin jelas dan tradisi akar umbi panjang, kesetiaan politik mudah berubah mengikut arus kepentingan. Ketika parti tidak lagi menguasai Putrajaya, penaungan politik menyusut.

Apabila sumber kuasa material menghilang, hubungan politik menjadi bersifat transaksional. Sokongan 18 Ahli Parlimen kepada Hamzah bukan sekadar solidariti peribadi, tetapi gambaran parti gagal membina kesetiaan ideologikal tahan uji.

Dari perspektif teori legitimasi, krisis ini lebih jelas sifatnya. Autoriti legal-rasional yang digunakan untuk memecat pencabar mungkin sah dari sudut peraturan, tetapi kesahan prosedural tidak semestinya bermakna kesahan politik.

Muhyiddin sebelum ini bergantung pada gabungan autoriti legal-rasional dan karisma sebagai figura 'Abah' ketika pandemik. Namun, karisma memerlukan pembaharuan berterusan. Ia tidak boleh dibekukan sebagai modal kekal.

Apabila prestasi politik merosot dan sokongan awam tidak lagi sekuat dahulu, tindakan keras terhadap pesaing dalaman dilihat bukan sebagai ketegasan, tetapi sebagai sikap defensif. Autoriti yang sepatutnya menstabilkan parti akhirnya mempercepatkan perpecahan.

Sebaliknya, Hamzah membina legitimasi melalui prestasi dan kecekapan. Beliau tidak memiliki karisma populis, tetapi membentuk pengaruh melalui jaringan, rundingan dan keberkesanan sebagai operator serta Ketua Pembangkang.

Keengganannya merayu terhadap pemecatan itu memberi isyarat beliau tidak lagi bergantung pada legitimasi formal parti. Beliau membaca realiti kuasa bahawa sokongan kolektif Ahli Parlimen lebih bernilai daripada jawatan diberikan struktur organisasi kerana dalam politik moden, autoriti fungsian sering kali mengatasi simbolisme jawatan.

Kesan krisis ini tidak terhad kepada parti semata-mata. Ia mengubah imbangan kuasa dalam Perikatan Nasional (PN). Selama ini, BERSATU cuba mengekalkan ilusi sebagai peneraju, manakala PAS bertindak sebagai rakan strategik utama.

Hakikatnya, selepas pemecatan ini, dominasi moral dan strategik semakin berpindah kepada PAS. Tanpa Hamzah sebagai jambatan, parti berkenaan kehilangan tokoh mampu berunding secara setara dengan kepimpinan PAS. Dalam politik pakatan, pihak lemah jarang diberi ruang simpati. Ia lazimnya akan diserap, dipinggirkan atau digantikan.

PAS muncul sebagai penerima manfaat paling jelas. Dengan jentera lebih tersusun dan asas ideologi lebih konsisten, PAS kini berada dalam posisi untuk menuntut lebih banyak kerusi dan bahkan mendefinisikan semula kepemimpinan pembangkang Melayu-Islam.

Jika sebelum ini calon Perdana Menteri dalam blok itu hampir sinonim dengan Muhyiddin, kini wacana alternatif semakin terbuka. Krisis dalaman BERSATU secara tidak langsung memperkukuh hujah kepemimpinan blok pembangkang tidak lagi wajar bersandar pada parti tidak stabil.

Perbandingan sejarah menambahkan lagi perspektif kritikal. Krisis UMNO pada 1987 berlaku dalam konteks parti mempunyai akar umbi tebal dan akses kepada sumber negara.

Parti itu mampu membina semula dirinya kerana institusinya lebih besar daripada konflik elit. Krisis PKR pada 2020 pula berlaku dalam parti mempunyai naratif reformasi jelas. Walaupun terbelah, identiti parti kekal sebagai gam penyatu.

Sebaliknya, BERSATU tidak memiliki kemewahan berkenaan. Ia tidak mempunyai sejarah panjang yang membentuk kesetiaan emosional mendalam dan tidak mempunyai ideologi reformasi yang boleh menjadi paksi pemulihan.

Tanpa penaungan politik dan tanpa identiti kukuh, risiko dihadapi bukan sekadar perpecahan sementara, tetapi kehilangan relevansi secara beransur-ansur. Parti mungkin terus wujud di atas kertas, tetapi tidak lagi menjadi faktor penentu dalam politik Melayu.

Dari sudut elektoral, implikasinya hampir pasti. Pengundi Melayu luar bandar konservatif cenderung mengukuhkan sokongan kepada PAS yang dilihat lebih konsisten.

Pengundi Melayu utama kestabilan

Pengundi Melayu mengutamakan kestabilan mungkin kembali mempertimbang UMNO dalam kerangka Kerajaan Perpaduan. Pengundi muda pula berisiko menjadi semakin sinikal terhadap politik yang dilihat lebih mementingkan perebutan jawatan berbanding agenda substantif. Dalam ketiga-tiga segmen ini, BERSATU berada dalam kedudukan defensif.

Persoalan lebih besar adalah sama ada kepemimpinan parti benar-benar memahami graviti situasi ini. Pemecatan mungkin memberikan kemenangan prosedural, tetapi ia bukan penyelesaian politik.

Jika 18 Ahli Parlimen kekal bersama Hamzah dan bergerak secara kolektif, maka kepemimpinan rasmi parti berdepan risiko menjadi kosong dari segi kuasa sebenar.

Dalam jangka sederhana, penyusunan semula politik Melayu hampir tidak dapat dielakkan, dengan PAS berpotensi muncul sebagai dominan dalam blok pembangkang, manakala BERSATU sekadar menjadi pelengkap.

Akhirnya, krisis ini memaksa kita menilai semula sifat sebenar BERSATU. Adakah ia benar-benar sebuah institusi politik matang atau sekadar kenderaan kuasa bergantung pada personaliti tertentu.

Dalam sains politik, parti yang gagal menginstitusikan kepemimpinan dan mengurus kepuakan secara inklusif lazimnya tidak runtuh secara dramatik. Sebaliknya, ia merosot secara senyap sehingga tidak lagi relevan.

Krisis pascapemecatan Hamzah bukan hanya pertarungan dua tokoh. Ia ujian terhadap kemampuan BERSATU untuk bertahan sebagai entiti berfungsi.

Jika respons diberikan terus bersifat defensif dan eksklusif, maka sejarah mungkin akan mencatatkan episod ini bukan sebagai krisis sementara, tetapi sebagai titik mula kepada kemerosotan yang sukar dipulihkan.

Dalam politik Malaysia semakin kompetitif, kelemahan institusi bukan sekadar kelemahan teknikal. Ia adalah undangan terbuka kepada pengakhiran

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.