https://critoxium.com/shop/

Terkini

Yang selamat hanya integriti, perjuangan


Oleh Zulkifli Jalil

Terlalu banyak kes rasuah dan penyelewengan didedahkan waktu ini. Sebahagian besarnya melalui proses reman dan pertuduhan di mahkamah.

Hampir saban minggu, sehingga banyak ketika kita rakyat tidak sempat menjamah enak roti bakar dan teh tarik untuk mengenali siapa gerangan suspek dan tertuduh. Sekejap ketua pengarah si polan ini, sekejap bekas setiausaha politik menteri, bekas menteri besar, bekas menteri. Ahli korporat itu, ini dan macam-macam.

Ada kes rasuah yang sedekad lalu, dihadapkan tertuduh ke mahkamah, keputusannya ke penjara dan denda berjuta ringgit, sehingga kita 'kaget' apakah mampu dilunaskan, di manakah duit lagi hendak dikorek? Banyak mana simpanannya? Tambah hukuman tahun penjara jawabnya? Dan ada kes penyelewengan yang terjadi dua, tiga dekad lalu pun masih dihadapkan ke mahkamah.

Persoalannya - selepas dipakaikan baju oren untuk direman, melalui lensa kamera dan tular dalam media sosial, bahkan disiarkan di muka surat satu akhbar-akhbar arus perdana, damage has been done. Imej keluarga tercalar, apa lagi dalam kalangan adik-beradik, sanak saudara, ipar-duai.

Ada pemimpin menempuh segala pahit maung dan saat-saat manis dalam perjuangan. Kata-kata itu tepat. Dan ketepatan itu boleh kita perakukan sendiri kerana dia tersua banyak peristiwa dan kejadian membuktikan falsafah itu sebagai kenyataan sejagat.

Ikan salmon

Pernah ada seorang menteri beberapa hari sebelum pendakwaan rasuah dihadapinya sekitar 2004 - kira-kira lima minggu sebelum pilihan raya umum - sedang menikmati makan tengah hari bersama Perdana Menteri dan anggota Kabinet di atas bot berkanopi sedang berlayar tenang di sekitar tasik Putrajaya. Sambil menikmati ikan salmon salai, daging lembu dan kambing dimasak enak, dia tidak menduga itu kali terakhir saat cerianya bersama rakan Kabinet.

Ketika didakwa kes, beliau terpinga-pinga dan dikatakan mengeluh ekoran tiada seorang pun dari sistem memberi amaran awal berkenaan pendakwaan dikenakan terhadapnya. Bagaimanapun setelah melalui tempoh perbicaraan panjang, pada Ogos 2009, beliau dilepas dan dibebaskan mahkamah tinggi daripada tuduhan rasuah dan melakukan penipuan.

Gejala salah guna kuasa juga memalit seorang bekas menteri besar.

"Saya masuk penjara dulu sebagai doktor gigi untuk khidmat pergigian kepada banduan di sana. Pusingan kedua, saya pula masuk sebagai banduan... dan tengok macam mana bertukar 180 darjah," demikian luahan hatinya.

Begitupun, kes lebih kurang sama dialaminya, didakwa tidak pula diadili serupa membabitkan seorang menteri semasa kerajaan baharu yang ambil alih negara Mei 2018. Sang menteri waktu itu sudah dikenakan pendakwaan dan perbicaraannya sudahpun bermula. Bila mana sesuatu kes dibicarakan, segala proses mencari bukti harus dipersiapkan, tetapi yang menghairankan Peguam Negara putuskan pendakwaan kes tidak diteruskan. Lebih pelik lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkejut kes sang menteri digugurkan, sambil menyuarakan rasa terkilan.

Kes digugur

Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya 10 kes digugurkan selepas kerajaan baharu itu naik.

Nyatalah pengalaman langsung seseorang pemimpin atau ahli politik itu akan melengkapkan lagi dirinya supaya sentiasa dalam keadaan 'tajam' dan 'berkilat'. Bukan tajam dengan tujuan hendak mengenakan orang, tetapi tajam dan berkilat untuk bersedia terhadap apa jua kemungkinan. Penajaman paling berkesan adalah memperoleh dan mempraktikkan ilmu.

Dalam mencorakkan survival seseorang pemimpin, orang keliling berupaya, sama ada menjerumuskan pemimpin itu atau menegakkannya dengan laporan dan berita objektif.

Bagaimanapun kebanyakan orang keliling ini hanya memberi puji-pujian yang sering 'memabukkan' pemimpin. Jadi 'little Napoleon' lagi. Orang keliling yang baik ialah mereka yang berterus-terang menyampaikan sesuatu. Cuma setakat mana pemimpin itu berupaya menapis apa ditonjolkan orang kita dan orang keliling, lantas menjadi cabaran hidupnya. Menyisihkan yang bersih dari yang kotor akan hanya ditentukan keupayaan pemikiran objektif dan sihat.

Rumah kaca

Benarlah kata-kata bijaksana merumuskan - hidup berpolitik atau berjawatan menteri mahukan perdana menteri semacam tinggal dalam rumah kaca.

Harus sentiasa berjaga-jaga apa harus dibuat atau tidak harus dibuat. Kerana nanti orang akan nampak, sekali gus mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah pecah dan musnah. Sayangnya tidak semua ahli politik berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Keaiban meletus pada saat tidak disangka-sangka.

Kesilapan dilakukan dalam politik besar risikonya. Seseorang memegang jawatan tinggi perlu cermat dalam serba-serbi tindakan. Terutama tentu sekali tindak-tanduk semasa pentadbiran. Apa lagi jika dia menjadi pemimpin nombor satu. Kenyataan kepada media atau pandangan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya, ada belaka padahnya yang buruk.

Setelah anda menjadi type-cast, persepsi itu terus berkembang dan amat susah untuk dihapuskan.

Beberapa pemimpin kita dalam politik mengalami slings and arrows of outrageous fortune, mungkin seperti dikatakan Hamlet yang jelas dan tepat, "To be or not to be? - that is the question - itu persoalannya".

Apabila ditimpa musibah politik, akibatnya amat teruk seolah-olah membenarkan pepatah 'apabila hujan, ia mencurah'.

Tahan lasak

Sesungguhnya masa tidak menunggu imbauan manusia. Anak-anak yang dulu ditimang, kini sudah besar panjang. Kulit di badan sudah mula kendur. Langkah panjang kini sudah gontai. Selera nan tajam sudah mula menurun.

Namun, dunia politik terus berputar. Kehidupan terus menuntut untuk diisi.

Bagi ahli politik veteran, sekian ramai rakan mereka yang kini hanya tinggal nama sahaja, lantaran berpulangnya mereka ke alam baqa. Satu persatu mereka pergi. Sementara ada pula terlantar sakit atau berpenyakit yang sukar diubati.

Tetapi bersentimental ada batasannya. Di dunia ini ada lopak dan ruangnya untuk sesuatu. Ada masa untuk mengalirkan air mata. Ada masa untuk bergembira dan ada masa untuk berjuang.

Dalam perjuangan, seseorang mesti tahan lasak - sama ada direjam melalui malapetaka mahupun menerusi kejadian menyeronokkan. Dalam politik, memang benar ungkapan ini - kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Yang kekal hanyalah perjuangan dan isu-isu dibawanya.

Dan sama ada anda orang politik, bekas pegawai tertinggi pasukan keselamatan negara, bekas setiausaha politik, bekas menteri - hadapilah kes-kes rasuah, penyelewengan tanpa rasa gusar.

Berani kerana benar. Jika tidak melakukan kebobrokan, untuk apa takut, gusar, gundah-gulanakan?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.