https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wan Saiful tarik balik rayuan sertai Bersatu


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menarik balik rayuannya kepada Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana melihat parti tersebut mengamalkan hipokrasi terhadap ahlinya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Wan Saiful yang pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Bersatu berkata, antara tuduhan kesalahan dikenakan terhadapnya adalah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dalam Perikatan Nasional (PN).

“Perkara yang sama dilakukan (Presiden Bersatu, Tan Sri) Muhyiddin Yassin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN. Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya hari ini.

Dalam surat bertarikh 15 Februari (semalam) yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Rayuan, Tan Sri Azhar Harun, Wan Saiful turut mengatakan bahawa Bersatu sudah tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik tanah air.

“Saya berpandangan bahawa Bersatu sudah tidak ada masa depan kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden merelakan diri untuk dipengaruhi dan dikuasai oleh (Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali.

“Ini menyebabkan Bersatu lari jauh dari agenda rakyat, kepada hanya memperjuangkan agenda dan cita-cita peribadi,” katanya.

Bersatu kini menghadapi kemelut politik dalaman apabila memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Jumaat lalu.

Tindakan itu menggugat kedudukan Bersatu selepas melihatkan kehadiran lebih dua per tiga Ahli Parlimen yang hadir memberi sokongan kepada Hamzah pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM).

Turut memberi sokongan kepada Hamzah adalah Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.-UTUSAN

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.