Krisis Bersatu lemahkan PN
Krisis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin parah memberi kesan kepada Perikatan Nasional (PN), sekali gus menggugat kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap gabungan tersebut.
Perkembangan itu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan jika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan dalam tempoh terdekat.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, menjelang PRU16, pengundi tidak hanya menilai kepada manifesto sebaliknya turut melihat daripada kestabilan kepemimpinan.
Katanya, gabungan berpecah sukar meyakinkan pengundi terutama mereka yang atas pagar.
“Pengundi Melayu khususnya yang menjadi teras PN sangat menitikberatkan faktor kepemimpinan dan kesatuan. Mereka cenderung menyokong blok yang hierarkinya kukuh dan sejarah juga membuktikan bahawa apabila berlaku perpecahan dalaman, pengundi akan beralih arah atau mengambil sikap berkecuali.
“Bersatu yang sedang berdepan krisis boleh memberi kelebihan kepada parti lawan tanpa perlu kempen agresif. Dalam politik moden, naratif media sosial mempercepatkan penyebaran persepsi negatif itu.
“Jika isu dalaman berlarutan, ia boleh menjadi liabiliti besar kepada PN dan secara tidak langsung menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Datuk Seri Hamzah Zainudin isytihar ‘perang’ terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan pemecatan serta-mertanya yang dianggap tidak adil.
Bekas Timbalan Presiden Bersatu itu dilaporkan berkata, beliau tidak mempunyai matlamat menjadi Presiden parti seperti mana didakwa sebaliknya hanya mahu menjadi pejuang bangsa.
Manakala Muhyiddin pula menegaskan, pemecatan pemimpin kanan Bersatu termasuk Hamzah bukan dibuat dengan sewenang-wenangnya, sebaliknya pelbagai usaha sudah dilakukan bagi mencari perdamaian dan menyelamatkan parti menerusi siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terbabit.
Muhammad Izmer berkata, pilihan raya di Malaysia yang menyaksikan banyak kerusi dimenangi dengan majoriti tipis, melalui sedikit peralihan undi boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.
“Bersatu merupakan komponen utama dalam PN bersama Pas. Dalam pilihan raya sebelum ini, Pas menunjukkan kekuatan organisasi yang konsisten dan disiplin jentera yang tinggi namun dalam keadaan Bersatu yang bergolak, ia bakal memberi kesan kepada kekuatan PN.
“Jika Pas mengambil sikap berkecuali pula, PN mungkin dilihat tidak mempunyai kepemimpinan kolektif yang kukuh. Cabaran utama ialah memastikan krisis dalaman Bersatu tidak menjejaskan imej kesatuan PN.
“Bersatu perlu menjelaskan rasional tindakan dan mengurus komunikasi dalaman dengan baik bagi memperkukuh struktur organisasi parti seterusnya tampil lebih kuat dalam PRU16,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim berkata, krisis dalam Bersatu ketika ini boleh dielakkan jika masing-masing berlapang dada untuk ‘duduk semeja’ selesaikan masalah selain elak atau kurangkan ‘punahsihat’ di sekeliling.
“Ya betul proses ‘cuci’, tetapi hilang tidak kotor tersebut atau lagi kotor? Saya sebagai ahli berhak bersuara dan beri pendapat.
“Saya memang tidak setuju dengan apa yang berlaku, tetapi sebagai ahli parti dan rakyat Perlis, saya akur dan taat atas arahan. Rakyat tetap jadi yang utama,” katanya. – UTUSAN




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.