Mesej tular Peja kutuk PAS benar, dakwa Ronald Kiandee
Tangkap layar mesej WhatsApp yang tular menunjukkan Naib Presiden Bersatu, Faizal Azumu mengutuk PAS disahkan benar oleh beberapa ahli dan bekas ahli Majlis Tertinggi parti itu.
Ini selepas bekas Menteri Besar Perak itu menafikan dia pernah menulis mesej sedemikian, dan sebaliknya menyalahkan bekas ahli Bersatu yang didakwanya ingin memporak-perandakan antara parti komponen PN.
Ketika dihubungi, Ronald Kiandee, yang juga Naib Presiden Bersatu, berkata dia mengesahkan bahawa Faizal telah menghantar mesej tersebut dalam kumpulan WhatsApp yang dikhaskan untuk ahli Majlis Tertinggi Bersatu.
"Jangan percaya penafian peja. la berlaku. Damage control sahaja tu,” katanya kepada Malaysiakini.
Zulkifli Bujang, yang dipecat sebagai ahli MPT Bersatu baru-baru ini turut memberikan respons serupa apabila dihubungi hari ini.
Menurut bekas Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru itu, dia masih berada dalam kumpulan WhatsApp berkenaan ketika perbincangan mengenai hubungan parti itu dengan PAS pada 30 Dis.
"Saya mengesahkan bahawa perbualan itu memang wujud,” kata Zulkifli, yang merupakan antara 17 ahli Bersatu yang dipecat daripada parti itu pada 13 Feb lalu.
Sebelum ini, seorang lagi bekas pemimpin Bersatu, Yunus Nurdin, juga mengesahkan perkara yang sama kepada Free Malaysia Today.
Malaysiakini telah menghubungi Faizal untuk mendapatkan komen.
Berdasarkan tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa, Faizal dikatakan mencadangkan Bersatu keluar daripada PN selepas salah satu parti komponennya bertindak biadab terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Dia kemudian didakwa menyatakan bahawa Muhyiddin tidak sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, sebaliknya PAS sepatutnya keluar daripada gabungan itu dan menyertai ‘UmDAP’, merujuk kepada Umno dan DAP.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.