https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bocor! Mesej WhatsApp Peja Gegar PN


PETALING JAYA: Dua bekas pemimpin Bersatu mempersoalkan penafian Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu terhadap kandungan tangkap layar perbualan kumpulan sembang WhatsApp yang antaranya mendakwa beliau menyindir sebuah parti komponen Perikatan Nasional (PN) dipercayai PAS.

Zulkifli Bujang dan Yunus Nurdin menjelaskan, selaku ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mereka berada dalam platform berkenaan apabila bekas menteri itu membuat sindiran tersebut.

“Saya tak faham kenapa nak nafi sedangkan lebih kurang 50 orang dalam kumpulan MPT itu sebelum mereka buang semua yang tak sehaluan.

“Memang kenyataan itu ada dibuat,” dakwa Zulkifli yang juga bekas ketua Bersatu Johor Bahru kepada FMT.

Zulkifli dan Yunus disingkir Bersatu menerusi langkah dianggap pembersihan besar-besaran terhadap kumpulan pro bekas timbalan presiden Hamzah Zainudin yang dipecat 13 Feb lalu.

Dalam tangkap layar disebarkan di media sosial, Faizal atau lebih dikenali Peja menyifatkan desakan segelintir pemimpin PN dipercayai PAS supaya Presiden Muhyiddin Yassin meletak jawatan pengerusi gabungan itu sebagai biadap.

Beliau juga mencadangkan Bersatu keluar daripada PN selain menyebut PAS boleh bersama UmDAP, label gabungan Umno dan DAP oleh pihak lawan.

Semalam, Faizal menafikan kandungan mesej itu dan mendakwa tindakan berkenaan dibuat bekas ahli Bersatu terutama untuk merenggangkan hubungan dengan PAS serta melumpuhkan PN.

Sementara itu, Yunus yang juga bekas setiausaha Bersatu Sabah berkata penafian Faizal tidak lebih sekadar untuk ‘mengawal kerosakan’ menjelang mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN hari ini.

“Beliau tahu tanpa PAS, Bersatu tak akan ke mana,” katanya yang turut mencabar Bersatu keluar PN seperti dicadangkan Faizal.

Mesyuarat PN hari ini akan memilih pengerusi baharu dan diadakan ketika kemelut dalaman Bersatu semakin memuncak susulan pemecatan Hamzah yang juga ketua pembangkang.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.