https://critoxium.com/shop/

Terkini

Langkah Senyap Menuju PRU16: Percaturan Terakhir Hamzah?


Oleh Azmi Hassan

UNGKAPAN Rumah Bangsa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO 2025 pada Januari lalu mungkin belum dapat diterjemah bagaimana konsep pelaksanaannya, tetapi sedikit sebanyak membuat ramai tersentak dengan saranan ekstrem itu.

Tetapi selepas dua minggu ungkapan Rumah Besar berlegar, kini ungkapan Rumah Baharu berkait dengan reset politik bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta pengikutnya dari BERSATU pula mencuri perhatian.

Cuma yang pasti adalah konsep Rumah Bangsa idea Ahmad Zahid adalah terang dan jelas maksudnya, ingin mengumpulkan semua entiti tidak kira individu atau organisasi politik di bawah satu bumbung kendalian UMNO.

Ketika mula ungkapan Rumah Besar berlegar ramai tidak ambil peduli tetapi jika dikaitkan dengan Rumah Baharu disebut Hamzah, maka kelihatan logiknya cadangan Presiden UMNO itu. Namun, maksud Rumah Baharu Hamzah masih kabur sehingga hari ini bahkan banyak menimbulkan spekulasi.

Adakah Hamzah dan penyokongnya akan menyertai parti politik sedia ada, menubuhkan parti politik baharu atau mengambil alih parti politik sedia ada bagi menerangkan maksud Rumah Baharu.

Jika diambil keputusan peristiwa duluan ketika enam Ahli Parlimen BERSATU beralih sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2024, maka agak sukar bagi kumpulan Ahli Parlimen BERSATU menyokong Hamzah merealisasikan tiga pilihan Rumah Baharu.

Ini kerana undang-undang lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) mempunyai peruntukan jelas wakil rakyat akan hilang status jika menyertai secara rasmi mana-mana parti politik sedia ada atau menubuhkan parti politik baharu dan bertindak sebagai penaja.

Mengikut peristiwa duluan enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyokong kerajaan Anwar, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan enam kerusi Parlimen berkenaan kekal dan tidak berstatus kosong seperti dimohon BERSATU.

Alasan Speaker adalah mereka masih kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai mana-mana parti politik lain.

Ini adalah dilema dihadapi Hamzah serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan mungkin ramai lagi wakil rakyat BERSATU bakal dipecat seperti Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Ini kerana kumpulan dipecat akan kekal sebagai ahli Bebas tetapi dikekang menubuhkan atau menyertai parti politik baharu.

Pilihan yang ada dalam konsep Rumah Baharu Hamzah adalah seperti diamalkan enam Ahli Parlimen BERSATU sebelum ini memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tetapi kekal sebagai ahli BERSATU.

Menariknya ada tuduhan pendirian enam wakil rakyat terbabit didalangi Hamzah yang ketika itu sudah dihidu gerak saraf mahu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Presiden BERSATU.

Kedudukan enam Ahli Parlimen BERSATU terbabit masih tergantung kerana mereka masih ahli BERSATU dan belum tentu akan diberi peluang mempertahan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak.

Walaupun mereka menyokong kerajaan, penentuan kerusi ditandingi kelak sudah pasti membabitkan keputusan UMNO.

Setakat ini BERSATU belum lagi mengemukakan permohonan kepada Speaker Dewan Rakyat kerusi Ahli Parlimen dipecat itu kosong kerana mungkin ingin memuktamadkan jumlah bakal dipecat.

Hakikatnya juga Hamzah dan kumpulan Ahli Parlimen BERSATU lain tidak boleh kekal seperti mana enam rakan mereka kerana cita-cita politik Hamzah bukan tertumpu kepada penyingkiran Ahli Parlimen Pagoh itu semata-mata.

Soalnya, apakah mencukupi strategi Rumah Baharu Hamzah jika hanya tertumpu kepada konsep menghulur sokongan kepada parti politik sedia ada. Sudah pasti ia tidak memadai untuk mengukuhkan karier politik Hamzah.

Setakat ini hanya sekutu BERSATU iaitu PAS mempamerkan kecenderungan menyokong Hamzah dengan strategi beliau masih kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Namun perlu diingat sokongan PAS ini ada kaitan konsep 'Quid Pro Quo' berkait jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Antara PH dan BN, peluang juga terbuka luas untuk Hamzah melangsungkan karier politik dalam dua wadah itu walaupun dalam kalangan ahli UMNO masih terdapat syak wasangka mengapa perlu hulur bantuan kepada Hamzah dan kumpulannya kerana ramai di antara mereka ini dianggap pengkhianat.

Menyingkirkan Muhyiddin adalah tindakan sukar kerana penggantinya yang juga Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat bersedia menggalas tanggung jawab itu.

Harapan terbaik Hamzah ketika ini menjelang PRU16 ialah memberi sokongan bersyarat sama ada kepada PH atau UMNO.

Memang tidak dinafikan PH atau UMNO tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen BERSATU tidak sehaluan dengan Muhyiddin kerana ketika ini kerajaan sedang menikmati sokongan padu dua pertiga.

Nampak gayanya itu adalah harapan terbaik konsep Rumah Baharu Hamzah yang bergantung kepada syarat bakal dimeterai sama ada dengan PH atau UMNO dalam hal peruntukan kerusi PRU16.

Penulis adalah Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.