https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jaga hati, jiwa sebahagian ibadah dan amanah khalifah


Oleh Ahmad Tarmizi Zakaria

KESTABILAN jiwa dan emosi membolehkan seseorang menghadapi tekanan hidup, membuat keputusan bijak serta mengekalkan hubungan harmoni dengan diri dan masyarakat. Dalam Islam, kesejahteraan mental berkait rapat dengan kekuatan iman yang hati mengingati Allah SWT akan menjadi benteng dalam mengatasi keresahan, kecemasan dan tekanan hidup.

Dalam arus kehidupan moden semakin pantas, mencabar dan penuh ujian, isu kesejahteraan mental serta emosi tidak lagi boleh dianggap sebagai isu sampingan atau masalah individu semata-mata.

Apa yang dahulu sering disembunyikan, kini semakin jelas terpancar dalam realiti kehidupan seharian masyarakat. Tekanan hidup, keletihan emosi dan keresahan jiwa menjadi fenomena merentas usia, latar belakang serta status sosial.

Justeru, perbincangan mengenai kesihatan mental bukan sahaja relevan, malah amat mendesak untuk dibicarakan secara terbuka, berhemah dan berpandukan perspektif agama yang menjadi panduan hidup.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan isu kesihatan mental dalam masyarakat semakin ketara dan membimbangkan. Statistik rasmi menunjukkan talian bantuan kesihatan mental di Kementerian Kesihatan (KKM) menerima purata 80 panggilan bantuan setiap hari yang menunjukkan keperluan sokongan emosi semakin tinggi.

Fenomena ini menggambarkan kesejahteraan mental rakyat berada pada tahap memerlukan perhatian serius bukan sahaja oleh pihak berkuasa, bahkan seluruh lapisan masyarakat.

Dalam konteks Islam, menjaga diri daripada tekanan dan keresahan, termasuk dalam tanggungjawab sosial dan ibadah, sama ada secara individu mahu masyarakat seperti firman Allah SWT: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Al-Ma'idah: 2)

Hakikatnya, golongan belia, pelajar dan pekerja dikenal pasti sebagai antara kelompok paling terkesan dengan masalah mental. Masalah kesihatan mental meningkat secara signifikan, termasuk kecenderungan dan tingkah laku membahayakan diri sendiri.

Ini ditambah dengan tekanan akademik, harapan tinggi keluarga dan persaingan sosial menimbulkan kesan emosi besar perlu ditangani dengan bijaksana. Justeru, seperti kata pepatah Melayu 'bagai aur dengan tebing', hubungan saling bergantung antara kesejahteraan emosi seseorang dan sokongan persekitaran menjadikan struktur sokongan sosial amat penting dalam menjaga jiwa yang rapuh.

Tidak dinafikan, tekanan dialami ini didorong perubahan gaya hidup moden semakin kompleks. Kos sara hidup meningkat, budaya kerja kompetitif serta ukuran kejayaan yang terlalu berorientasikan material mewujudkan tekanan berterusan.

Ramai individu terperangkap dalam kitaran mengejar pencapaian tanpa ruang untuk berehat dan memulihkan emosi, sehingga menyebabkan keletihan mental kronik.

Rasulullah SAW bersabda: "Mukmin kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin lemah." (Hadis Riwayat Muslim)

Ia mengingatkan kita bahawa menjaga kesihatan fizikal dan mental adalah sebahagian kekuatan dituntut Islam.

Dalam era moden hari ini, pengaruh media sosial semakin mendominasi kehidupan masyarakat menjadi cabaran tambahan dalam memelihara kesejahteraan mental. Media sosial bukan sekadar menjadi medium komunikasi malah menjadi platform perbandingan sosial sering mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap diri sendiri.

Pencetus gangguan emosi berpanjangan

Paparan kehidupan orang lain yang kelihatan sempurna boleh menimbulkan perasaan rendah diri, cemas dan tertekan. Tanpa kawalan emosi dan kesedaran digital, media sosial berpotensi menjadi pencetus kepada gangguan emosi berpanjangan. Di sinilah pentingnya pendekatan iman sebagai penstabil hati dan pemurni jiwa.

Allah SWT berfirman: "Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Ar-Ra'd: 28)

Walaupun kesedaran terhadap isu kesihatan mental semakin meningkat, stigma masyarakat masih menjadi satu halangan besar. Masih wujud tanggapan bahawa individu mengalami masalah terbabit adalah lemah, kurang bersyukur atau gagal mengawal emosi.

Oleh itu, ramai memilih berdiam diri kerana takut dipandang serong. Sikap ini bukan sahaja menafikan realiti masalah malah memburukkan keadaan individu yang sedang bergelut secara dalaman.

Perubahan emosi ketara, gangguan tidur, keletihan melampau, hilang minat terhadap perkara disukai atau kecenderungan mengasingkan diri sering dianggap perkara biasa sedangkan ia adalah tanda awal kepada kemerosotan mental. Islam menekankan kepentingan memelihara diri dan mencari penawar, bukan memendam kesakitan.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak boleh melakukan perbuatan memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain." (HR Ibnu Majah)

Sehubungan itu, keluarga turut berperanan penting sebagai sistem sokongan emosi utama. Suasana rumah selamat, komunikasi terbuka dan sikap saling memahami mampu membantu individu meluahkan tekanan tanpa rasa dihakimi.

Hubungan kekeluargaan sihat mampu menjadi benteng awal dalam menjaga kesejahteraan mental ahli keluarga. Inisiatif kerjasama antara keluarga, sekolah dan komuniti akan memperkukuhkan lagi struktur sokongan sosial, seterusnya membantu mengurangkan risiko masalah emosi lebih serius. Malah dalam Islam, bersikap ihsan dan menjaga ahli keluarga termasuk dalam aspek ibadah dan amanah sosial.

Namun, sokongan keluarga sahaja tidak mencukupi bagi kes membabitkan gangguan mental lebih kompleks. Mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor, ahli psikologi atau pakar psikiatri adalah langkah wajar dan bertanggungjawab.

Bantuan profesional bukan tanda kelemahan, sebaliknya usaha menjaga kesihatan diri secara berstruktur. Kesihatan mental perlu dilihat setara dengan kesihatan fizikal memerlukan rawatan dan pemantauan sewajarnya.

Di samping itu, pendekatan iman dan kerohanian turut memainkan peranan penting dalam menenangkan jiwa. Ibadah, doa dan zikir akan membantu individu membina kekuatan dalaman serta memberi makna terhadap ujian dihadapi.

Memahami ujian hidup adalah sebahagian qada' dan qadar Allah SWT, ia akan membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan ketahanan mental. Pakar psikologi Islam kontemporari, Dr Rania Awaad menegaskan pemahaman spiritual kukuh akan memperkasakan lagi kesihatan psikologi dan mengurangkan stigma terhadap pencarian bantuan profesional semata-mata.

Tambahan lagi, kebimbangan terhadap isu kesihatan mental semakin menular termasuk dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang lebih mudah terdedah kepada tekanan emosi dan gangguan mental akibat tekanan hidup dan masalah kewangan.

Ini menunjukkan isu kesihatan mental bukan sahaja terhad kepada golongan tertentu, tetapi turut berkait rapat dengan ketidaksamarataan sosial dalam masyarakat. Oleh itu, Islam menyeru umatnya untuk saling menolong dan bersedekah bagi meringankan beban sesama insan yang secara tidak langsung dapat mencegah tekanan dan keresahan mental.

Akhirnya, kesejahteraan mental bukanlah tanggungjawab individu semata-mata. Sokongan kolektif dari seluruh masyarakat amat penting dan sentiasa dituntut. Budaya empati, keprihatinan dan sikap tidak menghakimi perlu dipupuk agar setiap individu berasa selamat untuk bersuara dan mendapatkan bantuan.

Masyarakat yang memahami dan menyokong kesihatan mental akan melahirkan keluarga lebih sejahtera, hubungan sosial harmoni dan negara berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan. Sesungguhnya, menjaga hati, akhlak dan jiwa adalah sebahagian daripada ibadah dan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Penulis adalah Pensyarah Universiti Selangor (UNISEL)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.