Ahli Pas Parlimen Jasin, Harakah mohon maaf kepada Fadhlina berhubung kenyataan fitnah
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail dari PAS dan lidah rasmi parti itu, Harakah, hari ini memohon maaf kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen berhubung kenyataan fitnah tiga tahun lalu.
Zulkifli yang juga pesuruhjaya PAS Melaka membacakan kenyataan permohonan maaf tersebut kepada Fadhlina di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
“Selepas meneliti semula kenyataan-kenyataan tersebut, kami mengakui ia telah mengundang pelbagai tafsiran dan menyebabkan salah faham orang ramai terhadap Fadhlina yang menjejaskan nama beliau.
“Sebenarnya sekolah-sekolah dibenarkan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazilah sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
“Oleh itu, kami memohon maaf kepada Fadhlina atas kenyataan itu dan bersetuju membayar kos sebanyak RM15,000 kepada Fadhlina,” kata Zulkifli di mahkamah.
Pada 5 Nov 2023, Zulkifli mendakwa kementerian telah melarang laungan “takbir” dan bacaan doa-doa Islam semasa Minggu Solidariti Palestin yang diadakan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Kenyataan Ahli Parlimen itu dibuat dalam satu acara berasingan sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin, dan diterbitkan oleh portal dalam talian Harakahdaily serta akhbar Harakah pada keesokan harinya. zulkifli ismail Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail (kiri) berbincang bersama peguam-peguamnya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal kemudian memfailkan saman terhadap Zulkifli, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd (Harakah) dan ketua pengarang Harakah ketika itu, Mazlan Jusoh.
Zulkifli memberitahu mahkamah bahawa beliau dan Harakah bersetuju menyelesaikan pertikaian dengan Fadhlina kerana pada ketika ini terdapat isu-isu berkepentingan nasional yang lebih penting dan memerlukan perhatian.
Mereka juga berjanji tidak akan mengulangi, menerbitkan semula, menyebarkan atau mengulas kenyataan tersebut, atau membuat kenyataan lain yang membawa maksud serupa dalam apa jua cara dan bentuk.
Peguam Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nor Aziah Harun mewakili Fadhlina manakala Zulkifli diwakili Yusfarizal Yusoff serta Faizi Che Abu.
Galeri Media Serbanika Sdn Bhd pula diwakili Darwisy Roslan dan Afifah Latif.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.