https://critoxium.com/shop/

Terkini

Cerpen : Itu bukan Siti Hijriah


 Oleh Md Zainuddin Abd Rahman

MEREKA tidak memanggil kamu dengan nama manis Melayumu, Siti. Mereka tidak memanggilmu dengan nama indah Arabmu, Hijriah. Sebaliknya nama yang aneh, S atau Es sering mereka gunakan. Ringkas, tetapi menyebabkan kehilangan punca pengenalan dirimu. Kamu pula senang dimanjakan dengan panggilan begitu.

Rupanya-rupanya panggilan begitu telah mengubah sikap dan pendirianmu. Ternyata kesan panggilan itu menyongsangkan kamu. Sukar hendak dipercayai dengan apa yang dilihat sekarang. Perubahanmu di luar dugaan dan sungguh mendadak.

Siti Hijriah, mengapa tidak kamu peliharai nama asalmu yang baik itu? Malukah kamu mengaku dirimu Siti? Apakah kamu bimbang, nanti dikatakan orang, menumpang kepopularan Siti Norhaliza?

Kamu malu? Atau merasakan diri tidak setaraf dia? Jika mengukur dirimu di sudut kekayaan wang ringgit, memang ketinggalan. Diukur daripada segi memenangi anugerah, kamu juga terkebelakang. Diukur pula daripada segi mudahnya menggugurkan air mata, kamu lebih gagal daripada dia.

Di segi kecantikan, emm, memang tak terlawankan. Kamu jauh lebih cantik. Ah, tak usahlah kita mengungkap mana-mana keburukan atau kecacatan orang lain. Ia akan menjadikan kita kufur. Menderhakai Allah SWT kerana menghina ciptaan-nya.

Cukuplah saya katakan, kamu tak tertanding pada segi itu.

Sia-sia sahaja jika dikumpulkan ramai wanita seiras Gabrielle Spanic, pelakon watak Rosalinda yang menjadi kegilaan ramai datuk-datuk waktu itu. Watak Rosalinda dahulu itu pernah dicemburui oleh nenek-nenekmu. Malah seluruh wanita cantik di Benua Amerika Latin, di Hollywood dan Bollywood, mustahil mampu menandingi. Kerupawananmu yang bagaikan mentari malam di Kutub Utara, pasti akan lebih unggul.

Saya cukup dengan hanya sekali, pernah memandang tepat ke wajahmu. Sewaktu di bangku sekolah, dan sampai kini terus dihantui kekaguman. Kamu lebih cantik lantaran irasmu mirip gadis Arab. Kamu, dengan hanya sekali direnung sudah mengakibatkan gila bayang. Berbanding orang lain yang mungkin ditatap berjuta kali, termasuk Siti Nurhaliza. Adakah itu satu pembohongan demi menguatkan dakwaan betapa kamu sangat menawan?

Mengapa Siti Nurhaliza yang hampir setiap saat terpapar dan berada di sekitar tidak dimimpikan? Ya, saya tidak berbohong, kamu amat murni. Sesuai dengan namamu Siti Hijriah. Siti itu mengambil keberkatan nama isteri baginda Rasulullah dan rasul-rasul yang lain seperti Nabi Ibrahim AS. Hijriah pula bermakna hijrah yang mensejarahkan begitu banyak peristiwa dan kenangan yang membawakan kejayaan.

Sampai begitu saya mengumpulkan fakta-fakta untuk dijadikan sandaran. Membuktikan kejujuran dan keikhlasan memperkenalkan dirimu. Belum cukup lagi. Kamu boleh melihat saya menitiskan air mata, yang bukan sengaja direka. Saya bukan pelakon mengelabuikan pandangan awam. Saya bukannya sesiapa yang terkenal atau dikenali. Apalah sangat harga air mata itu? Sekadar berupaya meredakan tekanan merinduimu seorang.

Itulah air mata kejujuran yang terbit dari lopak perasaan simpati.

Pelik mengenangkan betapa kamu yang memiliki nama itu gagal menikmatinya. Berbeza sebagaimana saya peminat rahsiamu. Sakit kepala ini memikirkan, mengapa kamu jadi tidak serasi dengan nama ajaibmu itu? Pada hal jika disebutkan nama Arabmu, ia berpadanan dengan raut wajahmu.

Eh, manakah hilangnya segala ilmu yang kita pelajari di madrasah dulu? Mengapa drastik sekali perubahan yang kamu terap? Jauh berbeza dengan apa yang saya lakarkan dalam perasaan. Kadang kala diminta waktu berdoa. Sangka saya, pertemuan kita di Maal Hijrah ini bakal mencipta sejarah tersendiri. Sejarah Islam yang gemilang. Bukan sejarah hitam untuk dicatat dalam diari "perasaan terkilan".

Saya menjangkakan pertemuan kita, menjadi sesuatu yang boleh diingati hingga generasi seterusnya. Maklumlah di madrasah dulu, etika pengajian menghalang kita bertegur sapa. Perasaan rindu membara terhadapmu terpaksa dipendam dalam sekam jiwa. Hanya dapat diletuskan pada hari akhir pengajian saya di sana. Saya terpaksa menunggu bertahun sebelum kamu tamat belajar.

Di madrasah menengah dulu, kita sekadar dapat bertukar senyuman. Jeling-jelingan dan tenung-tenungan. Kita bermain dengan ombak perasaan dalam kaku gerak laku. Oh, senyumanmu paling manis waktu itu. Kini ke mana hilangnya? Ke manakah dihumbankan telekung penambah seri di wajahmu dulu? Tidak saya tahu kamu berambut kerinting berlainan dengan khayalan rekaan dulu.

Ataukah itu fesyen terkini yang ditiru daripada penyanyi kulit hitam Amerika. Dulu menurut keterangan rakan, rambutmu hitam, panjang dan lurus. Macam rambut kebanyakan gadis Melayu yang tidak dielak daripada pandangan lelaki bukan muhrim. Manalah saya tahu rupa sebenar rambutmu kerana kamu sangat patuh menutup aurat serta berhati-hati terhadap lelaki ajnabi.

"Ini perkembangan bang. Abang tak ikut perkembangan dunia Hollywood?"

Hah? Ada dunia selain dunia di mana kita berada sekarang? Dunia yang mendorong kepada berlakunya berbagai kecurangan dan kemungkaran. Untuk apa mengambil tahu dunia lain yang tercemar teruk? Dunia orang hilang kewarasan pun tidak seteruk dunia, di mana kamu berada sekarang. Pergaulan tanpa mengira halal haramnya. Makanan tidak mengendahkan halal haram. Sekadar menyebut beberapa hal yang perlu kamu ingati batas sekatan Islamnya.

"Abang, abang. Kita sekarang berada di luar madrasah. Kita tak terikat lagi dengan sebarang peraturan yang dicipta oleh cikgu-cikgu di sana. Alah, peraturan yang dicipta mereka di sana itu tujuannya tak lain hanya untuk memberikan mereka kemudahan."

Hijriah! Saya mengulum suara dan cuma terlepas kuat di hati. Saya rapatkan kelopak mata. Hijriah, mengapakah cara itu yang jadi pilihanmu? Mengapakah cara-cara terbaik yang digariskan ustaz dan ustazah di madrasah sana enggan kamu lekatkan ke dalam hidupmu? Sampai hatimu menuduh pengajar yang cuba mengekal budaya hidup yang dibimbing Rasulullah SAW itu berpura-pura?

Saya sangat yakin tempat itulah yang mampu melahirkan insan Islam. Mengapa pula kamu buang segala harapan tersandar di bahumu? Harapan seluruh umat Islam? Ke manakah hilangnya ilmu dan kepandaian yang dipelajari dulu? Saya yakin jika kamu mengamalkannya tanpa lupa, kamu pada bila-bila masa tetap berdaya mengenepikan segala dugaan. Segala ilmu itu, penepis dan penapis budaya songsang dan sesat yang menghujani masyarakat kita hari ini.

"Abang kecewa melihat perubahan saya? Orang Melayu memang cukup pantas membuat tangkapan negatif. Saya menyeleweng daripada apa yang abang jangkakan, betul? Kalau tak, masakan abang melongo, melopongkan mulut."

Eh, saya benar-benar jadi bodoh kerana perangai tidak terduga ini. Pendekatan yang bagaimana mahu digunakan mendepani kamu yang tenggelam di dalam gelora budaya itu? Sedangkan itulah geloranya yang pernah ditampan oleh ibu dan ayahmu.

"Tak payahlah terkejut bang. Sesiapa yang melompat dari tempurung pasti akan mudah menghanyutkan sama dirinya. Tenggelam ke dalam putaran perubahan zaman lalu merenanginya penuh ghairah."

Mana boleh? Saya tidak begitu. Saya masih anak muda kampungan yang takut-takut dengan harapan yang dibentangkan oleh kota ini. Saya terus mengusung nama Sugro bin Tujiman, nama asal pemberian orang tua. Nama yang disebut-sebut oleh ustaz dan ustazah di madrasah dulu.

Nama itu juga yang digunakan oleh mereka di pejabat untuk memanggil saya. Malah nama itu meniti di bibir rakyat Malaysia yang mengenali saya. Pelancong asing juga memanggil saya dengan nama itu meskipun bersusah payah dan pelat sedikit. Saya mengekal apa yang saya miliki, dari nama hinggalah peribadi.

Hati saya tidak akan berubah hingga saya mati. Bangsa kita (termasuk kamu) sudah menggadaikan begitu banyak warisan murni tetapi tetap, tidak mahu sedar. Tidak mahu menukar corak seperti ukiran yang terlekat di fikiran. Belajar tinggi-tinggi kerana mahu menjawat jawatan tinggi. Bukan kerana mahu maju bekerja sendiri.

Alasan menjemukan, ketiadaan modal. Sejak zaman Perdana Menteri Malaysia yang kedua dulu minda kita cuba dicanai agar berdaya saing. Bertukar menjadi minda merdeka, berkerja sendiri. Bukan minda hamba yang berkerja makan gaji. Namun kamu membuktikan kehancuran segala cita-cita dan harapan itu. Malang benar…

"Kalau abang dapat bertahan, mengekalkan cara kita dulu-dulu, memang abang orang yang degil dan ketinggalan."

Siti Hijriah, ini bukan soal ketinggalan kemajuan atau diketepikan masyarakat. Atau disingkirkan jiran-jiran dan rakan-rakan. Ini soal masa depan, hidup sesudah mati. Soalan-soalan yang tidak penah kita fikirkan semasa hidup di dunia, akan mula ditanya ketika kita nazak. Mencungap di sakaratul maut. Soalan-soalan itu akan dijela-jelakan lagi ketika roh dicabut. Ketika jenazah dimandikan, ketika jenazah dikafankan, ketika jenazah disolatkan dan akhirnya ketika jenazah dikuburkan.

Kamu tidak gerun? Tidak takutkan azab kubur? Tidak bimbangkan seksaan akhirat? Hukuman neraka? Hebatnya kamu. Begitu berani kamu. Sedangkan semua itu telah lengkap kita pelajari waktu bersama di madrasah rendah dulu.

"Apa nak ditakutkan bang? Hari ini bukan hari semalam. Dulu kita bodoh. Kita tak pandai menghuraikan contoh-contoh. Hari ini bukan setakat televisyen, filem, VCD, majalah, akhbar malah kelakuan masyarakat kita juga semakin berubah."

Siti Hijriah bangkit dari tembok di pinggir kompleks membeli- belah. Baru saya sedari bentuk badannya yang menggiurkan. Baju T yang dikenakan ke badan menampakkan segala bonjol yang dahulu pernah ditutup. Seluar jeans yang ketat menyendatkan segala yang montok. Menampakkan segala yang sewajibnya dihindarkan daripada terpandang oleh saya.

Kalaulah boleh dilihat, syaitan iblis ketawa waktu itu, pasti mereka terbahak hingga terberak. Lantaran geli hati melihat saya menurunkan kopiah dari kepala. Walaupun kejayaan syaitan iblis itu untuk tempoh beberapa saat sahaja, ia tetap satu kejayaan bagi mereka. Berjaya memalitkan satu dosa di buku catatan amalan harian saya yang dijagai Atid.

"Masa kita belajar dulu, ramai orang yang mahu menegur perbuatan mungkar. Atau lebih ringan lagi perbuatan kurang ajar yang menganjur kepada maksiat. Hari ini budaya itu makin menipis dan lesap daripada tanggungjawab."

Di mana kebenaran kata-katamu saya tidak pasti. Apa yang nyata terpampang di depan mata saya ialah pakaianmu yang nipis. Hingga menampak keluk di badanmu. Menipiskan sama iman saya. Keghairahanmu mengekori perkembangan dunia, ikut mengheret saya ke kancah dosa. Itu baru saya seorang. Kalau dikira, entah berapa ribu lelaki telah dipalitkan dosa. Tidakkah kamu menyedarinya? Bukankah hal-hal begini pernah kita ketahui di madrasah dulu?

Azan Asar mengejutkan. Saya bingkas duduk. "Hijriah! Hijriah!" saya menjerit. Isteri saya tergesa-gesa berlari keluar dari dalam bilik. Hampir dia terjatuh terpijakkan jubahnya yang labuh.

"Kenapa, bang?"

Saya mengenyeh mata beberapa kali. "Astaghfirullah, saya bermimpi."

- Penulis berasal dari Benut, Johor ini pernah memenangi Anugerah Sastera Darul Takzim 2003 kategori puisi eceran.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.