https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas Bukan Hanya Parti


Oleh Fathi Aris Omar PAS BUKAN HANYA PARTI
[disusun semula daripada catatan 4 Mac 2019]

Ramai orang salah faham, dan tidak dapat membezakan, antara:

[1] PAS atau Umno** sebagai organisasi dengan struktur rasmi, dan

[2] PAS atau Umno sebagai idea, ideologi, sikap politik dan nilai kebudayaan dalam masyarakat --- yang bertindih dengan keagamaan, konservatisme, kebudayaan lama, nasionalisme etnik, pergelutan ekonomi dan feudalisme.

Sebahagian kita menyangka jika [1] dapat dilemahkan, maka [2] dengan sendirinya hilang.

Padahal [1] ini hidup dan berkembang kerana [2], dalam proses timbal balik itu, [1] juga turut sedikit sebanyak mengubah suai [2].***

PAS atau Umno sebagai [1] boleh muncul dalam pelbagai bentuk selagi [2] kuat dan kukuh. Tetapi jika [2] melemah, PAS atau Umno dalam wajah [1] juga akan melemah atau menukar bentuknya.

Jadi yang saya selalu sebut sebagai "perang budaya" itu bukannya melawan pada titik [1] tetapi merungkai persoalan [2] yang memerlukan strategi kebudayaan, keilmuan dan ketamadunan.

Persoalan [1] boleh dihadap secara politik dan pilihan raya sahaja. Tetapi persoalan [2] memerlukan usaha lebih menyeluruh, tekal, padu dan dalam jangka panjang.

Persoalan [2] menjadi rumit kerana penjelasan isu-isu Islam tidak mendalam berdasarkan ilmu. Sementara tafsiran agama mengukuhkan versi Islam politik dan juga berbaur unsur perkauman.

Dua unsur ini, yakni Islam politik dan kecurigaan kaum, diburukkan oleh faktor ekonomi pula seperti kemiskinan, kos sara hidup dan kegagalan menguasai ekonomi.

Retorik PAS itu menjentik psikologi agama [2] sebagai dukungan undi sewaktu umat Islam-Melayu hilang keyakinan pada kerajaan/parti lain yang dianggap tidak serius/tidak mahu mengangkat agenda agama-kaum.

Sementara kumpulan Islam yang lebih moderat, yang tidak berparti, gagal membina naratif ilmu agama yang berbeza daripada Islam politik.

Jika NGO agama tersilap cakap, kemahuan kepada Islam boleh disinonimkan dengan undi PAS walau mereka tidak bermaksud begitu. Apatah lagi jika NGO Islam tidak sedar "perang budaya" ini dan tidak menawarkan wacana tanding (counter-discourse).

Persoalan [2] ini menjadi lebih rumit jika NGO Islam dan agamawan di luar PAS berkongsi kefahaman Islam politik ala PAS dan wabak fundamentalisme sejak 1970-an.

Di sinilah punca serius mengapa [1] PAS sebagai parti terus merebak. Kerana persoalan [2] tidak selesai apabila agamawan dan NGO Islam mudah bersetuju dengan ideologi Islam politik.

Mengapa mereka bersetuju dan mengapa mereka tidak mampu menawarkan wacana tanding?

** misalnya ISMA, Perkasa atau 3 Line itu hanya hidup daripada sumber [2], yang pastinya lebih besar, meluas dan mendalam daripada jumlah ahli dan penyokong organisasi-organisasi ini.

*** contohnya projek Islamisasi sejak 1970-an hingga orang Melayu yang tidak bertudung ramai-ramai memakai tudung 30-40 tahun kemudian. Malah artis dan penghibur "dipaksa" memakai tudung oleh peminat-peminat mereka. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam pada 1980-an bukan melemahkan PAS tetapi menjadikan Umno lebih "Islamik"! CORETAN LALU:

Apa sebab Melayu demo bantah ICERD

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.