Janganlah macam ini, ustaz.
Oleh Fathi Aris Omar
Janganlah macam ini, ustaz. Yang PAS boleh rampas Terengganu itu, selepas 40 tahun, bukankah kerana peristiwa Reformasi? Berapa banyak kerusi yang PAS tidak mampu tembus sendirian jatuh ke tangan Barisan Alternatif susulan peristiwa itu? Ustaz sendiri menang di lubuk BN pada PRU 1999 dengan 319 undi. Ustaz sudah lupa?
Ustaz bercakap di PRK dalam tempoh kempen 14 hari. Ustaz sudah lupa? Tempoh 14 hari ini juga hasil desakan Gerakan Reformasi. Ustaz sudah lupa? Kalau dulu khususnya dalam zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, tempohnya jauh lebih pendek! Ada tempoh kempen PRU selama 9 atau 10 hari sahaja! Ustaz sudah lupa?
Malah zaman Tun Abdullah Ahmad, hanya 8 hari! Kita kempen sama-sama dan pakat desak tempoh kempen lebih lama. Yalah tidak semua usaha kita berjaya. Ustaz masih ingat?
Kita mansuhkan ISA itu bukankah atas desakan Gerakan Reformasi? Kita gerakkan Gerak dan GMI bukankah daripada peristiwa Reformasi? Ustaz sudah lupa? Dapatlah PAS duduk di kerusi MB dan EXCO di Kedah, Perak dan Selangor kerana arus berpanjangan Gerakan Reformasi yang tidak putus-putus walau sudah sedekad sejak 1998.
Ustaz sudah lupa? Ustaz, dalam banyak-banyak tahalluf siyasi PAS, dengan Parti Keadilanlah kerjasama paling lama dalam sejarah parti, dari 1999 hingga 2018.
Berapa banyak yang kita sudah capai dan berapa banyak yang kita mahu capai lagi? Undi 18? Pendaftaran automatik? Dakwat kekal? Kalau tidak dahulu, ustaz, kita sibuk bercakap pengundi hantu!
Semua ini hasil bersama (saya ulang 🙂 : hasil bersama) arus Reformasi dalam tempoh 25 tahun. Ustaz sudah lupa?
Ustaz, hakikat berita ustaz ini keluar di portal Berita Harian juga hasil desakan kebebasan era Reformasi. Kalau dahulu pembangkang janganlah berangan dapat ruang di portal dan TV kecuali Malaysiakini!
Akhbar Harakah, dan semua akhbar lain, tidak perlu lagi perbaharui permit tahunan juga hasil desakan kebebasan sepanjang 25 tahun ini. Kad kelabu di dada semua wartawan portal yang membuat liputan di PRK Pulai dan Simpang Jeram itu sendiri hasil pergerakan Reformasi. Ustaz sudah lupa? Yang ini boleh dimaafkan. Wartawan portal sendiri sudah lupa! Kalau tidak percaya lagi, ustaz boleh tanya sendiri Datuk A Kadir Jasin, tokoh pejuang kebebasan sekarang 🙂
Ustaz, Sabtu minggu depan kita semua sambut Hari Malaysia 16 September. Hasil gerakan politik siapa kalau bukan Gerakan Reformasi. Ustaz sudah lupa? Walau ustaz dahulu berpuas hati, kami sudah berjaya bongkar cebisan (saya ulang: cebisan) skandal 1MDB. Sampai tumbanglah BN.
Memanglah Jho Low belum ditangkap. Tetapi sebahagian kecil duit telah kembali ke kantung negara. Ustaz puas hati sekarang?
Sudah banyak "perubahan" (kalaulah gagap sangat hendak sebut reformasi) dicapai. Walau sikit-sikit, masih di tahap incremental. Masih panjang senarai perubahan yang perlu dan mesti diusahakan.
Kalau tidak zaman Ustaz, cucu-cicit ustaz harus mendesak dan mencapai perubahan lagi. Semua kitalah, semua anak cucu kita. Tidak terpisah. Kita sebangsa senegara.
Seperti perubahan politik di mana-mana, sepanjang sejarah manusia, tiada proses yang tidak cacat. Kita sambung dan teruskan lagi atas kejayaan-kejayaan kecil sepanjang 25 tahun ini.
Kita telah berazam, Ustaz, maka melangkah kita pasti. Takbir! Re-for-ma-si! Takbir! TAMBAHAN MAKLUMAT PENTING
(jam 2 petang 11 September 2023)
Selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang membenarkan kerajaan mengurung pemimpin politik tanpa asas kukuh, reformasi dalam perundangan yang terpenting termasuklah:
1. Pindaan perlembangaan yang melarang wakil rakyat menukar parti atau Akta Anti Lompat Parti 2022. Pindaan ini hasil persefahaman Pakatan Harapan dengan perdana menteri waktu itu DS Ismail Sabri Yaakob bagi menghalang gejala "tebuk atap" berulang.
Setakat ini, reformasi undang-undang ini menghalang lompat parti selepas PRU 19 November 2022.
2. Menggubal undang-undang baharu Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) 2009 sebagai mengawal salah laku agensi penguat kuasa termasuk polis. Idea asalnya untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), hasil syor suruhanjaya siasatan diraja (RCI) pada 2004-05. SIAP sebelum ini dianggap belum cukup "bertaring", kemudian kerajaan menggubal Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022. Kita sama-sama lihat kesan reformasi ini.
3. Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 bagi membuka lebih luas ruang kemandirian badan kehakiman susulan campur tangan eksekutif berlebihan dan campur tangan pihak luar sejak hujung 1980-an.
Idea ini diutarakan sebelum dan selepas skandal video VK Lingam yang muncul pada 2007. Video yang dirakam pada 2002 mendedahkan hakim-hakim boleh diatur oleh tangan-tangan di luar badan kehakiman.
Sekali lagi kerajaan BN terpaksa menubuhkan RCI untuk siasat skandal ini, waktu itu cukup popular dengan ungkapan "correct, correct, correct" dan "looks like me, sounds like me but not me" 😛
Kenapa semua ini muncul? Sebab Gerakan Reformasi sejak hari pertama mempertikai:
(a) salah guna ISA,
(b) keganasan dan salah guna kuasa polis,
(c) mahkamah yang mudah diperalat dan tidak bebas,
(d) sistem pilihan raya yang tidak bebas, dan
(e) kawalan media yang sangat ketat.
Jadi, ustaz, sia-sia dan buang masa ke semua reformasi ini?
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.