https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lebih 5,000 peminat bersolidariti dalam konsert terbesar XPDC Kita Pengyu di MAHA 2024


Konsert sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 pada 18 September lalu diadakan sebagai tanda solidariti berterusan peminat kepada kumpulan heavy metal tersohor tanah air itu.

Menurut pengurusnya, Yazid Selamat, konsert tersebut adalah perhimpunan terbesar penyokong tegar mereka setakat ini bagi tahun 2024. "Terima kasih yang tak terhingga kepada semua peminat XPDC Kita Pengyu yang tidak pernah penat menyokong kerjaya kami.

"Tak sangka juga sebegitu ramai yang hadir untuk menyaksikan konsert," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Yazid lagi, bukan hanya peminat XPDC Kita Pengyu, malah konsert pada malam itu turut disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bersama para pengunjung MAHA 2024.

Sambutan hebat hadirin ke konsert itu juga, menurutnya, dilihat sebagai tanda penerimaan peminat dan masyarakat terhadap XPDC Kita Pengyu selepas pemergian vokalisnya, Allahyarham Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim, akibat sesak nafas, tahun lalu.

Selain XPDC Kita Pengyu, pentas ROTF sempena MAHA 2024 ini turut diserikan beberapa artis lain termasuk Slam, Ukays, dan Jamal Abdillah.

Sementara itu, menyentuh isu membabitkan cubaan menyalahgunakan nama dan lagu kumpulan XPDC, dakwa Yazid, ia berpunca daripada rasa tidak puas hati dan kecewa selepas individu terbabit gagal mengambil alih tampuk pengurusan XPDC Kita Pengyu ketika kumpulan itu berada di puncak.

"Individu itu hanyalah seorang agen pemasaran yang pernah dilantik ketika XPDC dibentuk di awal penubuhan.

"Selepas itu dia hilang dari industri dan hanya muncul selepas XPDC sudah berjaya; dan ketika itu dia cuba berbaik dengan kami.

"Percubaan itu berterusan sehinggalah pada 2019 dan akhirnya dia putus asa," kata Yazid yang mendakwa bahawa arwah Mael turut dipujuk individu itu menyertai kumpulan baharu ciptaannya namun tidak berjaya.

Dalam masa sama, Yazid berharap agar peminat akan terus memberikan sokongan padu kepada XPDC Kita Pengyu yang bakal mengeluarkan single terbaharu tidak lama lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.