Misi Global Sumud Flotilla serlah wajah nasionalisme baharu Malaysia
Oleh Shafezah Abdul Wahab -
Global Sumud Flotilla ialah inisiatif antarabangsa menghimpunkan aktivis, sukarelawan, doktor, ahli politik dan masyarakat dari pelbagai negara menentang sekatan haram rejim Zionis ke atas Gaza. Dalam konteks ini, perjuangan wakil Malaysia berlayar bersama Global Sumud Flotilla mendapat tempat istimewa untuk dikenang.
Perjalanan merentas lautan ini bukan sekadar misi kemanusiaan, tetapi manifestasi Malaysia tetap teguh dengan nilai solidariti sejagat, khususnya dalam isu Palestin yang berlarutan lebih tujuh dekad. 'Sumud' dalam bahasa Arab bermaksud ketabahan, kecekalan dan kekuatan jiwa.
Ia simbol ketahanan rakyat Palestin tidak pernah tunduk walaupun hidup di bawah kepungan dan penindasan. Misi flotilla ini mengangkat simbolik perjuangan kemanusiaan untuk membawa bantuan makanan, perubatan dan bekalan asas kepada penduduk Gaza sambil menuntut dunia membuka mata terhadap ketidakadilan berterusan.
Biarpun mereka berdepan risiko ditahan atau disekat di tengah lautan, sukarelawan tetap memilih melayarkan kapal sebagai bentuk penentangan aman tanpa keganasan terhadap Israel.
Kehadiran wakil Malaysia dalam Global Sumud Flotilla menegaskan peranan negara ini dalam diplomasi rakyat dan solidariti antarabangsa. Sejak era awal kemerdekaan, Malaysia konsisten menyokong Palestin sama ada melalui dasar luar kerajaan mahupun mobilisasi masyarakat awam.
Namun, penyertaan rakyat Malaysia dalam misi flotilla memberi makna lebih mendalam yang mana ia membuktikan rakyat negara ini bukan sekadar bersuara dari jauh, tetapi sanggup turun ke gelombang perjuangan dengan penuh keberanian.
Rakyat Malaysia yang menaiki kapal flotilla ini menempuh perjalanan sukar, berdepan gelombang lautan, ancaman keselamatan malah kemungkinan dipenjarakan pihak berkuasa Zionis. Namun, mereka tidak gentar. Keberanian ini lahir daripada roh nasionalisme Malaysia yang menjadikan perjuangan mereka bukan hanya misi kemanusiaan, tetapi juga misi bangsa.
Apa yang dilakukan wakil Malaysia ini sebenarnya menghidupkan semula roh asal pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 iaitu sebuah negara berani, berprinsip dan menolak penindasan. Sama seperti pemimpin terdahulu menentang penjajahan menuntut kebebasan, rakyat Malaysia hari ini menunjukkan keberanian di pentas antarabangsa menegakkan prinsip sama.
Selain dasar rasmi kerajaan, diplomasi rakyat melalui penyertaan sukarelawan Malaysia dalam flotilla membuka ruang baharu dalam diplomasi antarabangsa. Ia menunjukkan hubungan antarabangsa bukan hanya urusan pemimpin politik, tetapi perjuangan rakyat biasa.
Malaysia mungkin sebuah negara kecil di peta dunia, tetapi tindakan sebegini menjadikan suara kita lebih besar daripada saiz geografi. Dunia melihat Malaysia bukan sahaja merdeka secara politik, tetapi juga merdeka dalam prinsip moral dan solidariti sejagat.
Teladan kepada generasi muda
Oleh itu, perjuangan wakil Malaysia dalam flotilla ini harus dijadikan teladan kepada generasi muda. Dalam era sering melalaikan dengan hiburan digital, semangat nasionalisme perlu dihidupkan dengan kisah keberanian sebenar. Generasi muda perlu memahami kemerdekaan bukan hadiah percuma, tetapi lahir daripada pengorbanan.
Peranan generasi muda amat penting dalam memastikan roh nasionalisme terus segar. Jika generasi terdahulu berkorban menuntut kemerdekaan, maka generasi hari ini harus mengisi kemerdekaan dengan keberanian moral dan solidariti kemanusiaan. Penyertaan generasi muda Malaysia dalam misi flotilla melambangkan idealisme nasionalisme tidak sempit, tetapi berpaksikan nilai sejagat.
Generasi muda membawa tenaga, semangat dan kreativiti baharu dalam perjuangan. Mereka bukan sekadar pengikut, tetapi penggerak kesedaran melalui media sosial, penulisan, seni dan aktivisme lapangan.
Dengan keberanian menyertai misi berisiko tinggi seperti flotilla, generasi muda membuktikan nasionalisme membawa nama Malaysia bukan sekadar patriotisme dalam negeri, tetapi sebuah komitmen aktif menentang ketidakadilan antarabangsa.
Pada era digital, generasi muda juga menjadi pemangkin naratif. Melalui perkongsian pengalaman flotilla di platform media sosial, mereka menyebarkan kesedaran isu Palestin kepada jutaan orang yang mungkin tidak terdedah kepada berita arus perdana. Dengan cara ini, nasionalisme bukan sahaja diwarisi, tetapi juga diperbaharui supaya terus relevan menghadapi cabaran global.
Semangat ini sejajar dengan roh Hari Malaysia pada 16 September lalu bahawa pembentukan negara bukan titik noktah, tetapi permulaan perjuangan berterusan.
Generasi muda Malaysia harus menjiwai bahawa menjadi warga merdeka bukan sekadar menikmati keamanan, tetapi berani mengangkat suara untuk mereka yang tertindas. Inilah wajah baharu nasionalisme Malaysia progresif, berprinsip dan berpihak kepada kemanusiaan.
Kibaran Jalur Gemilang merentasi Laut Mediterranean dalam memecah kepungan Israel berlarutan di perairan Gaza ini dilihat megah seluruh dunia. Ia menunjukkan Malaysia bukan hanya negara lahir daripada kompromi politik pada 1963, tetapi sebuah bangsa terus hidup dengan semangat solidariti.
Perjuangan wakil Malaysia di lautan bersama Global Sumud Flotilla adalah cerminan roh bangsa yang berani, berprinsip dan setia kepada nilai keadilan. Mereka bukan sahaja membawa nama Malaysia ke tengah lautan, tetapi juga menulis satu lagi bab penting dalam sejarah nasionalisme negara.
Nasionalisme Malaysia tidak akan pernah terbatas pada sempadan tanah air malah ia akan terus hidup selagi bangsa ini berani menyuarakan keadilan, sama ada di tanah sendiri atau di bumi Palestin yang sedang terluka.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Melaka





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.