https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Senator KJ' jalan pintas ke Putrajaya?


Oleh Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri

Menjelang penghujung 2025, politik Malaysia bergegar bukan kerana pilihan raya, tetapi kerana khabar rombakan Kabinet yang berpotensi mengubah imbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

Empat kekosongan menteri yang dikenal pasti - ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta satu kerusi senator - menjadikan spekulasi pelantikan penuh warna, drama dan strategi.

Di tengah suasana ini, satu nama mula meniti di bibir pemerhati politik: Khairy Jamaluddin (KJ). Bekas menteri kesihatan ini, yang pernah menjadi wajah moderat Umno, dipecat pada Januari 2023, kini muncul kembali sebagai calon “wild card” dalam percaturan Anwar.

Spekulasi bahawa KJ akan dilantik sebagai senator dan kemudian menyertai kabinet telah mencetuskan gelombang dalam kalangan PKR dan Umno.

Reaksi Anwar? Senyuman dan jawapan sinis: “Betul ke? Siapa cakap?” Itu bukan penafian. Itu isyarat.

KJ bukan sekadar individu berprofil tinggi. Beliau membawa pakej lengkap: pengalaman kementerian, kepetahan berkomunikasi, dan daya tarik merentasi blok politik.

KJ 'kuda Trojan' politik?

Namun, peluang kemasukan ke kabinet kali ini mungkin melalui pintu belakang politik dengan pelantikan sebagai senator.

Persoalan kritikal, di bawah kuota siapa? Jika melalui kerusi senator PKR, mesejnya jelas—Anwar memilih kelayakan berbanding kesetiaan parti.

Tetapi ini membuka luka lama di dalam PKR: Adakah benar parti ini kekurangan bakat sehingga terpaksa meminjam 'bekas musuh'?

Pelantikan KJ melalui kuota senator PKR jika berlaku bakal menimbulkan soalan sulit yang tidak ingin dijawab oleh pucuk pimpinan: Mengapa timbalan presiden PKR dan kesemua naib presiden tidak memegang jawatan menteri penuh dalam kabinet?

Adakah Anwar memberi keutamaan kepada memelihara hati sekutu seperti Umno, DAP atau GPS, berbanding menaikkan tokoh dalaman PKR sendiri?

Strategi ini mungkin mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, tetapi boleh melemahkan moral akar umbi PKR yang berjuang sejak era reformasi 1998. Jika pemimpin nombor dua dan tiga parti pun tiada posisi kuasa sebenar, apa mesejnya kepada ahli di bawah?

Senator BN: Jalan pulang KJ ke Umno?

Jika KJ dilantik di bawah kuota BN, hal ini membuka babak perdamaian yang lebih strategik.

Walaupun status beliau kekal sebagai “individu dipecat Umno”, pelantikan menteri boleh menjadi pintu tawaran untuk kemasukan semula—barangkali dengan syarat politik yang disusun rapi oleh PMX dan kepimpinan Umno.

Namun, senario ini berisiko mencetuskan gelombang ketidakpuasan dalaman Umno, khususnya di bawah kepimpinan Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, sejarah politik Malaysia sarat dengan “reunion” mengejut. Tidak mustahil langkah ini menjadi prelude kepada gabungan politik unik, misalnya “KJ + Nurul Izzah” sebagai wajah pembaharuan Melayu progresif seperti yang pernah diimpi generasi reformasi.

Langkah membawa kembali KJ boleh memadam api dalam Umno yang kini tersepit antara menjaga kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan dan menggoda peluang gabungan semula dengan PAS.

Kesan terhadap Umno, PAS dan PRU16

Jika Umno merasa dipinggirkan daripada kabinet, kebangkitan semula “Muafakat Nasional 2.0” mungkin menjadi tarikan—menghidupkan semula dominasi politik Melayu-Islam yang ekstrem.

Anwar sedar risiko ini. Memasukkan KJ mungkin sebahagian strategi untuk menjinakkan Umno, mengelakkan mereka hanyut ke pelukan PAS, lalu mengekalkan kestabilan kerajaan sehingga PRU16.

Satu lagi dimensi ialah Sabah. Kekosongan menteri pembangunan usahawan yang sebelum ini diisi oleh Ewon Benedick bermakna wakil Sabah dalam kabinet semakin tipis.

Sekiranya Anwar memilih tokoh dari Semenanjung (seperti KJ) tanpa mengisi kuota Sabah, ia bukan sekadar keputusan politik—ia akan dibaca sebagai pengabaian terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan boleh menyalakan sentimen autonomi di Borneo.

Penataan semula kuasa?

Rombakan kabinet kali ini bukan soal mengisi kekosongan, tetapi penataan semula kuasa menjelang PRU16. PMX perlu membuat pilihan antara:

• Kesetiaan parti vs kompetensi nasional

• Menjaga sekutu vs memelihara akar umbi PKR

• Mengelak krisis persepsi vs memanfaatkan peluang pembaharuan

Keputusan ini bakal menggambarkan DNA sebenar Kerajaan Madani; adakah ia gabungan demi kelangsungan kuasa atau benar-benar berlandaskan prinsip reformasi.

Langkah halus

Pelantikan KJ, sama ada melalui tiket PKR atau BN, akan menjadi ujian besar kepada kepimpinan Anwar. Ia boleh dianggap langkah “masterstroke” yang memecah kebuntuan politik Melayu atau “senjata makan tuan” yang meretakkan kepercayaan akar umbi PKR serta sekutunya.

Yang pasti, naratif ini tidak akan berhenti di Disember. Ia akan menjadi bahan kempen PRU16, mencorakkan hubungan Umno-PKR dan menandakan sama ada Kerajaan Perpaduan mampu bertahan sebagai gabungan berprinsip atau sekadar persetujuan sementara demi kuasa.

AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI mantan ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), mantan ketua pengarah Institut Pemikiran Dr Mahathir (IPDM) serta penulis buku Managing Malaysia as Tun Mahathir.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.