https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bukan sebab Kula – Peguam perjelas kenapa Zamri digari, Arun tidak


Seorang peguam tampil menjelaskan perbezaan layanan terhadap dua individu yang didakwa di mahkamah semalam ini, susulan polemik berhubung pemakaian gari yang mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan “double standard” dalam penguatkuasaan undang-undang.

Peguam Asiah Abd Jalil berkata perbezaan itu bukan semestinya berpunca daripada layanan tidak adil, sebaliknya berkait rapat dengan prosedur tangkapan dan siasatan polis.

Jelasnya, selepas seseorang suspek ditangkap dan tempoh reman tamat, suspek biasanya akan dilepaskan dengan jaminan polis sekiranya pertuduhan belum sedia untuk diteruskan.

“Suspek tidak boleh ditangkap sekali lagi pada bila-bila masa jua pun selepas itu. Maksudnya, polis tidak boleh tangkap dua kali atau tiga kali untuk siasatan berkaitan kesalahan yang sama.

“Jika kemudian pertuduhan sudah sedia untuk diteruskan ke mahkamah, barulah pihak polis akan beri notis kepada suspek untuk hadir ke mahkamah pada tarikh sekian-sekian.

“Suspek boleh hadir ke mahkamah lenggang kangkung tanpa bergari,” katanya lagi.

Justeru, menurutnya, dalam kes melibatkan aktivis Arun Dorasamy, semalam, kesalahan didakwa berlaku pada Mac 2025, iaitu kira-kira setahun lalu, dan berkemungkinan suspek telah melalui proses tangkapan serta siasatan lebih awal.

“Selepas tangkapan dibuat, polis hanya boleh menahan suspek sekali sahaja.

“Tempoh reman juga terhad, dan jika siasatan belum lengkap, suspek biasanya dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sebaliknya, peguam itu berkata situasi berbeza mungkin berlaku dalam kes pendakwah Zamri Vinoth, yang didakwa atas kenyataan dimuat naik pada Februari tahun ini.

Menurutnya, Zamri mungkin masih belum mempunyai laporan tangkap sebelum ini bagi kes terbabit,.

“Jika beliau belum pernah ditangkap sebelum ini, maka tangkapan pertama boleh berlaku ketika hendak dibawa ke mahkamah.

“Dalam keadaan itu, pemakaian gari adalah sebahagian daripada prosedur biasa,” katanya.

Penjelasan itu dibuat ketika tindakan pihak berkuasa menggari Zamri ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengundang kritikan, termasuk daripada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang mempersoalkan perbezaan layanan berbanding Arun yang hadir tanpa gari di Mahkamah Majistret Jawi.

Isu itu turut dipanaskan dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, yang menemani Arun di mahkamah, sehingga mencetuskan kritikan mengenai kemungkinan campur tangan terhadap proses kehakiman.

Bagaimanapun, Asiah menegaskan bahawa perbezaan sama ada seseorang tertuduh digari atau tidak tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kronologi siasatan dan status tangkapan dalam sesuatu kes.

“Polis tidak boleh menangkap seseorang lebih daripada sekali bagi kesalahan yang sama. Itu prinsip asas dalam prosedur jenayah,” katanya lagi.

Zamri Vinoth, 42, atau nama sebenarnya Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman terhadap kenyataan yang dibuat dengan niat menyebabkan, atau mungkin mencetuskan kegentaran awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada 3 Feb lalu berhubung satu perhimpunan melibatkan "kuil haram".

Sementara itu, Arumugam Dorasamy atau juga dikenali sebagai Arun, 56, pula memohon dibicarakan atas satu pertuduhan di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal.

Dia didakwa membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya yang dilihat dan didengar oleh seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada 3.45 petang, 12 Mac 2025.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.