https://critoxium.com/shop/

Terkini

Politik kita tak pernah ‘berpuasa’


Oleh Ronasina

Selalunya apabila masuk hari-hari terakhir Ramadan, suasananya semakin berbeza berbanding fasa awal bulan puasa yang selalunya cukup bersemangat. Saf di masjid semakin susut jemaahnya berbanding minggu-minggu awal Ramadan meskipun dikatakan ganjaran melakukan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan berlipat kali ganda. Rata-rata kita mula memfokuskan diri untuk persiapan hari raya pula dengan pergi membeli-belah mencari biskut raya dan persalinan baharu.

Itu tidak menghairankan bagi saya kerana ia memang menjadi budaya kita di sini. Tiada siapa yang mencari ‘kehilangan’ kita di surau dan masjid. Ganjaran 10 malam terakhir nampaknya hanya menarik mereka yang benar-benar tekun mengkehendakinya.

Dalam semua itu, kalangan ahli politik juga tidak terkecuali. Jadual berbuka puasa, solat tarawih, moreh atau lawatan ke tapak bazar Ramadan memang padat. Tidak kira parti apa, baik Umno, PAS, PKR atau DAP sekalipun – program rakyat tetap berjalan. Jika dilihat dari sudut ini, Ramadan sebenarnya membawa satu pengajaran yang sangat relevan kepada dunia politik. Menahan sabar, bergerak aktif menyantuni masyarakat, beribadat dan memberi sedekah adalah kerja politik yang selari dengan falsafah puasa itu sendiri. Namun, politik Malaysia sering bergerak dalam suasana tegang. Serangan peribadi, tuduhan, perkelahian yang sentiasa berlaku bulan sebelumnya tetap disambung pada bulan Ramadan tanpa ada tomakninah atau gencatan senjata. Mulut dan perut berpuasa tetapi memaki-hamun dan memburukkan pesaing politik tak pernah berhenti malah ada ketikanya dilihat sangat keterlaluan.

Ironinya, setiap kali Ramadan tiba kita sering mendengar mesej yang sama daripada pemimpin politik pelbagai pihak. Mereka mengingatkan rakyat tentang pentingnya kesabaran, perpaduan, dan nilai menghormati antara satu sama lain. Ucapan-ucapan ini biasanya kedengaran tulus dan penuh dengan semangat keagamaan. Tetapi mereka sendiri? Ke mana perginya hikmah daripada ibadah menahan nafsu ini? Kelihatannya nilai-nilai pada bulan Ramadan sukar benar meresap ke dalam budaya politik kita apabila hentam dan kutuk tetap menjadi mainan.

Lihat sahaja perkembangan politik mutakhir ini. Rafizi Ramli secara terbuka mengkritik beberapa keputusan pentadbiran perdana menteri serta pendekatan parti yang beliau sendiri berada di dalamnya. Ada yang memuji keberanian beliau bercakap terus terang, tetapi tidak kurang juga yang melihatnya sebagai satu lagi episod drama ‘melalak’ selepas kalah pertandingan jawatan nombor dua tertinggi di dalam parti. Rakyat di luar melihat Rafizi adalah juara bongkar. Tak lama selepas kelantangan Rafizi berterusan, orang kanan Rafizi mula dicari oleh SPRM. Perang ini telah mengheret keresahan rakyat. Mana satu yang betul ni?

Pada masa sama, sekutu dalam kerajaan Madani iaitu DAP pula terus menekan kerajaan supaya satu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki. Isu integriti yang berlarutan ini menunjukkan bahawa walaupun berada dalam satu kerajaan, tekanan politik tidak pernah surut. Lebih-lebih lagi semenjak DAP kalah teruk dalam PRN Sabah tahun lalu.

Di pihak pembangkang pula, pergaduhan dalam parti Bersatu atau lebih tepat antara kem Muhyiddin Yassin dan kem Hamzah Zainudin terus berlarutan di bulan Ramadan ini. Dan di sebelah satu lagi, PAS semakin terbuka mempromosikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri ke-11. Ini bermakna pertandingan kuasa sentiasa berjalan walaupun di dalam bulan Ramadan. Mentelah pula penggal berbaki hanya setahun sahaja lagi sebelum pilihan raya umum ke 16 dijalankan. Semua parti kena bergerak pantas merebut isu dan merebut kesempatan untuk menjadi jaguh di mata rakyat.

Bagi saya, ibadah puasa di bulan Ramadan mampu menawarkan satu kaedah yang menarik untuk difikirkan. Jika individu mampu menahan diri daripada makan dan minum selama lebih 13 jam sehari, bukankah wajar politik juga sepatutnya boleh ‘berpuasa’ sekejap daripada bicara yang meresahkan awam? Maksud berpuasa dalam konteks politik tentu sekali tidak bermaksud menghentikan apa-apa kegiatan. Demokrasi yang sihat memerlukan perdebatan yang aktif, bahkan kadangkala perlu juga kepada penegasan yang keras. Tanpa perbezaan pandangan, politik tentulah akan kehilangan fungsi utamanya sebagai medan pertukaran idea. Tetapi politikus haruslah sentiasa insaf bahawa apa gerakan sekalipun, nawaitunya biarlah memberikan kebaikan kepada keseluruhan rakyat. Bukan untuk peribadi. Bukannya bergaduh dengan hal yang remeh-temeh dan melalak-melantun setiap hari. Bukan juga adegan lompat sana lompat sini, membuat tuduhan tanpa bukti atau menabur janji kosong dengan penuh retorik. Semua ini langsung tidak mencerminkan disiplin yang cuba dilatih dalam ibadah puasa bulan Ramadan.

Saya melihat dalam penggal ini politik Malaysia telah melalui pelbagai fasa ketidakstabilan. Perubahan kerajaan, pengkhianatan ahli parti, pergaduhan dalam gabungan serta persengketaan peribadi tokoh-tokoh tertinggi parti telah menjejaskan tumpuan masyarakat terhadap perkara yang lebih penting. Namun, banyak juga isu rakyat telah diselesaikan. Kita tak merungut lagi tentang kehilangan beras tempatan di pasaran. Ramadan kali ini kita tak kalut dengan harga telur dan harga ayam yang melambung tinggi. Rakyat lega sedikit apabila di dalam kad pengenalan mereka ada RM100 untuk dibuat belanja dapur. Itu semua selesai. Tetapi isu tidak puas hati yang menjurus ke arah pergaduhan kaum dan agama pula timbul. Ini harus dibendung segera dan dengan baik. Kekalutan ini tak boleh dikesampingkan dengan ragam dan kerenah keanak-anakan politikus yang bergaduh entah pasal apa. Semua ini telah bercampur-aduk di dalam kawah bubur lambuk politik kita.

Belum lagi kita melihat bagaimana sentimen luar negara juga mampu membakar emosi. Konflik geopolitik yang semakin tegang, peperangan yang melibatkan kuasa-kuasa besar juga telah membuat kita sedikit-sebanyak berpecah. Akhirnya rakyat terseret dalam gelombang emosi tersebut, bercampur-aduk lagi dengan isu politik domestik; semua ini menyumbang ke arah suasana yang tidak kondusif. Di sinilah nilai yang diajar dalam puasa sepatutnya berupaya memberi sedikit inspirasi kepada kita semua khususnya para politikus. Puasa menuntut kesabaran dan kesabaran mengajar kita bahawa tidak semua perkara memerlukan tindakan drastik dan terburu-buru.

Namun, bersabar bukan bermakna kita perlu berdiam diri sepenuhnya. Kadangkala menahan diri adalah tindakan yang lebih bijak daripada bertindak balas secara spontan. Tetapi dalam dunia politik, berdiam sering dianggap bersalah. Maka serangan dan serangan balas harus terus dilakukan. Seolah-olah jika tidak bertekak, itu tanda tidak bekerja. Akhirnya maksud menahan lapar dan dahaga hanya difahami pada permukaannya saja. Ramadan diterjemahkan sekadar tidak makan, tidak minum dan tidak bersetubuh dari terbit fajar hingga terbenam matahari, sedangkan disiplin moral yang lebih besar dibiarkan begitu sahaja.

Minggu terakhir Ramadan ini bagi saya adalah masa untuk kita menilai semula perjalanan ibadah kita. Ibadah bukan sekadar ritual tetapi tentang roh di dalamnya. Solat sangat penting, tetapi apa pengajaran daripada gerak solat itu yang hendak dibawa ke dalam kehidupan luar waktu solat itulah yang lebih penting. Menunaikan haji itu baik bagi yang mampu, tetapi membawa roh ibadah itu ke dalam kehidupan seharian jauh lebih bermakna. Bukan apabila sudah bergelar haji, kita makin membongkak. Begitulah juga dengan puasa. Selepas menahan lapar dan dahaga, menggandakan amalan dan melatih diri bersabar, mampukah kita mengekalkan disiplin itu sepanjang tahun?

Pendekatan yang sama juga boleh dijadikan metafora dalam situasi politik negara. Malaysia memerlukan politik yang mampu mengurus perbezaan dengan lebih matang. Dalam erti kata lain, politik yang tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menahan diri. Seperti menunggu waktu berbuka puasa, politikus kita juga sepatutnya belajar menghargai nilai kesabaran. Seperti melepaskan waktu imsak, kita wajar menghargai waktu tersebut dan tidak mempersiakannya dengan perkara-perkara yang kosong tanpa makna.

Ramadan mungkin tidak akan mengubah budaya politik secara serta-merta. Kenyataan pedas akan tetap keluar, serangan balas akan tetap berlaku, dan episod drama politik akan terus berjalan seperti biasa. Tetapi jika selepas lebih 1,400 tahun umat Islam masih gagal memahami bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, mungkin tidak menghairankan jika politik kita juga gagal memahami bahawa dalam berperang merebut kuasa tetap ada sempadan dan batasnya. Bukan main hentam sahaja. Tapi nak buat macam mana, dunia politik kita memang tak akan pernah berpuasa kerana sasaran mereka bukan hari raya, tapi pilihan raya. Betul tak?

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.