Hamzah cabar Bersatu pecat penyokong dalam parti
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mencabar Bersatu memecat penyokongnya dalam parti itu.
Beliau berkata pemecatan lebih senang bagi Bersatu berbanding menakan ahli-ahli parti yang menyokongnya.
“Seeloknya kepada Bersatu, pecat saja mereka ini. Ini yang paling baik. Senang. Pecat sahaja. Apa yang susah?” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa bersama beliau, malam tadi.
Turut hadir pada majlis malam tadi Naib Presiden Ronald Kiandee dan Ketua Srikandi Mas Ermieyati Samsuddin, yang baru-baru ini diberikan surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin parti.
Mereka menghadiri acara bersama Hamzah sehari selepas beliau dipecat Bersatu. Mereka turut menandatangani surat menyokong Hamzah kekal sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah mendakwa ramai lagi ahli Bersatu sepatutnya menghadiri majlis malam tadi namun berasa serba salah kerana terikat dengan arahan parti.
Berhubung ura-ura beliau akan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia, Hamzah memaklumkan perbincangan terperinci dengan pengasas sedang berjalan.
“Saya tidak mahu nanti ada benda-benda yang tertinggal contohnya perlembagaan semasa mereka menubuhkan parti itu, dan beberapa perkara yang saya rasa tidak kena dengan sifat saya sebagai seorang pejuang,” katanya.
Beliau yakin proses tersebut dalam dimuktamadkan dalam masa terdekat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.