https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kita tak paksa kembali kepada Umno


Umno tidak memaksa mana-mana bekas ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali semula kepada parti itu menerusi insiatif ‘Rumah Bangsa’, kata Timbalan Presidennya Mohamad Hasan.

Beliau berkata ia terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan masing-masing dan menyatakan pendirian untuk kembali menyertai semula Umno atau sebaliknya.

“Kita tidak memaksa sesiapa. Kalau dia mahu kembali kepada parti yang dahulu sebagai ahli Umno, terpulang kepada dia.

“Kalau dia kata dia tidak suka Umno pun terpulang. Umno bukan parti yang bergantung kepada seorang dua individu tetapi kekuatannya terletak pada ahli di peringkat akar umbi dan perjuangan secara berkumpulan.

“Jangan ada sesiapa yang menganggap diri itu terlampau kuat, apapun terpulang kepada dia, kita tak memaksa,” katanya, menurut Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan segelintir bekas pemimpin Umno yang menolak pelawaan untuk menyertai semula parti itu kerana menganggap ia bekerjasama dengan DAP yang juga komponen Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno Zahid Hamidi sebelum ini berkata, parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, parti itu tidak pernah bekerjasama dengan DAP, sebaliknya kerjasama ketika ini dibuat atas dasar mengurus negara dan bukannya penggabungan parti.

“Kita (Umno) tidak pernah pun bersama DAP. Kita membuat perjanjian untuk menguruskan negara.

“Kita hanya ada perjanjian dengan Pakatan Harapan untuk mengurus negara. Kerjasama itu dijalinkan berikutan tiada parti mempunyai jumlah kerusi sendiri yang mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas PRU lalu.

“Keadaan ketika itu tidak boleh dibiarkan tanpa kerajaan, nanti pelabur lari. Umno atau Barisan Nasional (BN) berjanji kerana kita hendak menyelamat dan menguruskan negara,” katanya.

Selain itu katanya, kemasukan semula bekas ahli juga tidak boleh disertakan dengan sebarang syarat.

“Kita tidak menerima sebarang syarat untuk mereka kembali menjadi ahli parti. Kalau mahu bersama, biar atas kerelaan sendiri untuk berjuang melalui platform Umno,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.