Kiandee perlu timbang parti tempatan jika disingkir Bersatu
Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee perlu mempertimbangkan secara serius untuk menyertai parti tempatan di Sabah bagi meneruskan kelangsungan politik jika dipecat Bersatu, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, naib presiden Bersatu itu yang diambang pemecatan selepas diberi surat tunjuk sebab, perlu mengambil iktibar penolakan parti nasional pada PRN Sabah, 29 Nov lalu.
Katanya, walaupun kesetiaan Kiandee terhadap Hamzah Zainudin mungkin mendorongnya menyertai blok nasional baharu, tetapi risiko penolakan pengundi pada pilihan raya akan datang sangat tinggi.
Syahruddin menjelaskan, ini kerana di mata pengundi Kiandee akan dilihat terus membawa jenama politik nasional berteraskan nilai dan semangat Semenanjung bertentangan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang semakin mendominasi politik tempatan.
“Landskap politik Sabah pasca PRN17 menunjukkan pengundi lebih selesa dengan naratif tempatan yang memperjuangkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 secara eksklusif.
“Jika memilih untuk kekal dalam wadah nasional, beliau mungkin berdepan kesukaran untuk menembusi pengaruh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang semakin kukuh.
“Beralih ke parti tempatan bukan sekadar tindakan menyelamatkan diri, malah keperluan strategik untuk memastikan Beluran kekal di bawah pengaruhnya,” katanya kepada FMT.
Pada PRN lalu, Kiandee yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kalah di DUN Sugut kepada calon GRS James Ratib.
Kiandee mengesahkan diberi surat tunjuk sebab pada 28 Feb lalu dan diberi tempoh sehingga semalam untuk menjawabnya, namun beliau dikatakan enggan berbuat demikian.
Kiandee dipetik laporan Astro Awani sebagai berkata beliau mungkin bercakap kali terakhir sebagai naib presiden Bersatu dalam satu majlis di Port Dickson, Jumaat lalu.
Bekas menteri persekutuan itu sering dikaitkan dengan Hamzah yang dipecat Bersatu dan dikatakan akan mengambil alih serta mengetuai Parti Keluarga Malaysia.
Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula mempersoalkan pengaruh dan kekuatan Kiandee dalam menarik sokongan rakyat jika beliau menubuhkan parti tempatan baharu.
“Apa ‘wow factor’ untuk rakyat Sabah dan kalau tubuh parti keputusan terbaik pastinya bekerjasama dengan GRS bagi pertahankan kerusi Beluran.
“Kiandee juga perlu hakis imej beliau yang bersifat nasional dan lebih kepada politik lokal,” katanya yang bagaimananpun menyatakan sukar untuk melihat bekas menteri itu bersama GRS.
Syahruddin pula berkata, tindakan menubuhkan parti tempatan baharu dilihat berisiko namun boleh memberi Kiandee kuasa tawar-menawar yang lebih fleksibel dalam pembentukan kerajaan persekutuan.
“Sebagai pemimpin veteran, beliau boleh memposisikan parti itu sebagai jambatan strategik untuk bekerjasama dgn blok pimpinan Hamzah di Semenanjung tanpa terikat struktur hierarki parti nasional yang rigid.
“Langkah ini membolehkan beliau mengekalkan identiti Sabah sambil terus menyokong sekutu lamanya di peringkat nasional, ini taktik ‘kingmaker’ sering digunakan parti kecil untuk mendapatkan konsesi politik yang signifikan,” katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.