Hukuman Sebat Sebagai Hukuman Lebih Berat Ke atas Pemandu Mabuk Menyebabkan Kematian
1. Parti Amanah Negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz bin Omar yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya semalam yang disyaki dilanggar oleh seorang pemandu mabuk. Kemalangan ini bukan sahaja menyebabkan kehilangan nyawa, tetapi sudah pasti membebankan keluarga. Justeru, satu mekanisma baharu perlu diambil kerajaan untuk memastikan satu pampasan setimpal dibayar segera oleh pesalah ataupun keluarga dalam kes-kes kemalangan seumpama ini, selain pampasan gantirugi oleh pihak insurans yang diambil pemandu (jika ada).
2. Antara langkah baharu lain yang dicadangkan adalah memastikan mana-mana pemandu yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dibatalkan lesen memandu serta-merta dan hukuman lebih berat dikenakan supaya langkah pencegahan yang lebih ketat dapat diambil. Pembaharuan ini memerlukan pindaan kepada seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
3. Amanah menegaskan bahawa kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk masih berlaku walaupun kerajaan telah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan hukuman lebih berat. Ini adalah kerana walaupun hukuman penjara telah ditambah kepada 10 tahun hingga 15 tahun bagi kesakahan pertama dan 15 tahun hingga 20 tahun bagi kesalahan kedua sepertimana peruntukan seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ia tidak mencukupi bagi mencegah kesalahan ini berdasarkan kepada kes yang masih berleluasa.
4. Justeru, Amanah mencadangkan hukuman sebat ditambah kepada hukuman sedia ada penjara dan denda. Hukuman sebat biasanya dikenakan ke atas kesalahan jenayah serius seperti rogol, rompak dan dadah oleh itu sudah sampai masa kerajaan menganggap kesalahan kematian akibat pemandu mabuk juga satu kesalahan jenayah serius.
5. Di samping itu, satu langkah pencegahan lebih komprehensif dan tuntas perlu diambil kerajaan dengan mengawal jualan minuman beralkohol yang lebih ketat dari sudut kategori pembeli dan premis jualan. Ini bermaksud, larangan menjual atau menghidangkan minuman beralkohol di tempat terbuka perlu dihentikan dan premis yang menjual minuman beralkohol perlu memastikan pembeli atau pelanggan minuman beralkohol tidak memandu sendiri.
Dalam keadaan ini, premis jualan boleh dikenakan satu kesalahan sekiranya menjual atau menyediakan minuman beralkohol kepada mereka yang memandu sendiri.
Muhammad Faiz Fadzil




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.