https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lewat lantik ketua pembangkang beri peluru kepada Bersatu, lawan


Oleh Amin Ishak

31 Mac sepatutnya menjadi penanda aras penting buat Perikatan Nasional (PN). Ia bukan sekadar hujung bulan, tetapi juga tarikh dijanjikan untuk penentuan semula jawatan ketua pembangkang, satu posisi strategik yang mencerminkan kesepaduan dan arah tuju gabungan itu.

Namun, sehingga tengah malam tadi, persoalan masih berlegar: mengapa pelantikan itu belum dimuktamadkan? Siapa daripada PAS menggantikan Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu, 13 Feb lalu.

Persoalan itu disuarakan akar umbi Bersatu yang membangkitkan isu berkenaan di media sosial. Nada digunakan bukan sekadar mempersoalkan kelewatan, tetapi turut menyentuh soal kredibiliti kepimpinan dan keupayaan menunaikan janji.

Mungkinkah tindakan itu supaya jutaan rakyat mengetahui kelemahan dalam PN memandangkan capaian luas menerusi media sosial?

Isu itu timbul susulan kenyataan Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi sidang media pertamanya selaku pengerusi PN pada 14 Mac lalu memaklumkan pengumuman pengganti Hamzah akan dibuat penghujung bulan itu.

Namun, untuk berlaku adil, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan pada 28 Mac lalu menjelaskan pelantikan ketua pembangkang yang baharu mungkin dibuat sebelum persidangan Parlimen akan datang selain penghujung bulan lalu.

Jadi, masih ada masa untuk PN berbincang dan mengambil kira pandangan semua Ahli Parlimen gabungan itu sebelum membuat keputusan.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, persidangan Parlimen seterusnya pada 22 Jun ini. Jadi, Hamzah mungkin terus kekal di jawatan itu untuk tempoh dua bulan lagi.

Jadi, bagaimana Bersatu dan Presidennya Muhyiddin Yassin yang kini menjadi musuh nombor satu di mata Hamzah senang melihat keadaan itu?

Dalam politik, persepsi sering kali lebih kuat daripada realiti. Kegagalan memenuhi garis masa diumumkan boleh ditafsir sebagai kelemahan koordinasi atau lebih membimbangkan, tanda wujudnya perbezaan pandangan antara komponen utama PN, Bersatu dan PAS.

Bersatu sebagai parti yang sebelum ini mendominasi kepimpinan pembangkang, mungkin mahu kemelut itu diselesaikan dan enggan melihat Hamzah dikekalkan. Namun, dengan Samsuri kini mempengerusikan PN dan PAS semakin menonjol, persoalan agihan kuasa kembali menjadi sensitif.

Apatah lagi, kerusi PAS yang lebih banyak di Parlimen berbanding Bersatu. Krisis kepimpinan memecahkan sokongan wakil rakyat parti itu antara Muhyiddin dan Hamzah.

Di pihak PAS pula, pendekatan berhati-hati mungkin sedang diambil. Melantik ketua pembangkang bukan sekadar soal individu, tetapi juga mesej politik yang ingin dihantar kepada rakyat — sama ada PN benar-benar stabil atau masih bergelut dengan percaturan dalaman.

Kelewatan ini boleh berpunca daripada rundingan yang masih berlangsung di belakang tabir. Nama calon mungkin belum dipersetujui sepenuhnya, atau wujud kebimbangan terhadap reaksi dalaman parti masing-masing.

Tidak mustahil juga faktor luar memainkan peranan. Tekanan untuk memastikan calon dipilih mampu berdepan kerajaan secara efektif di Parlimen, serta diterima semua blok dalam PN, menjadikan keputusan ini lebih rumit daripada disangka.

Namun, pada masa sama, ruang yang semakin suntuk memberi tekanan kepada kepimpinan PN. Kegagalan mengumumkan pelantikan seperti dijanjikan membuka peluang kepada naratif bahawa gabungan itu kurang tersusun dalam membuat keputusan besar.

Lebih kritikal, ia memberi peluru kepada lawan politik untuk mempersoalkan keupayaan PN mentadbir negara jika perkara asas seperti pelantikan ketua pembangkang pun tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.

Bagi Bersatu, suara yang mula kedengaran ini mungkin mencerminkan keresahan lebih mendalam — bukan sekadar soal jawatan, tetapi hala tuju parti dalam gabungan yang kini dilihat semakin didominasi PAS.

PAS pula berdepan cabaran mengekalkan imej sebagai parti stabil dan berdisiplin, sambil mengurus sensitiviti rakan sekutu yang mungkin merasakan pengaruh mereka semakin terhakis.

Apa yang pasti, isu ini menjadi ujian awal buat Samsuri sebagai pengerusi PN. Keupayaannya mengimbangi kepentingan dalaman, menepati janji, dan mengelakkan persepsi perpecahan akan menentukan sejauh mana beliau mampu memimpin gabungan itu ke hadapan.

Jika pelantikan diumumkan dalam masa terdekat, ia mungkin meredakan ketegangan. Tetapi jika terus tertangguh, ia berpotensi menjadi titik mula kepada keretakan lebih besar dalam hubungan Bersatu dan PAS — sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak dalam PN.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.