https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Kenapa Mahal, Kan Kita Ada Minyak Sendiri?’ – Petronas Jawab Persoalan Paling Popular Rakyat Malaysia Ketika Ini


Setiap kali berlakunya ketegangan geopolitik antarabangsa terutamanya konflik yang memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran pasaran komoditi dunia pasti akan bergolak.

Apabila wujudnya ancaman terhadap rantaian bekalan di Timur Tengah atau risiko penutupan laluan perdagangan utama seperti Selat Hormuz, harga minyak mentah global akan melambung naik secara mendadak akibat panik pasaran.

Bagi rakyat Malaysia, tempias krisis di hujung dunia ini sering kali mencetuskan satu keluhan keramat yang kerap dibualkan di kedai kopi mahupun di media sosial: “Negara kita kan keluarkan minyak sendiri, kenapa kita pun terkesan sama bila AS dan Iran bergaduh?”

Kekecewaan ini amat difahami dan secara logiknya, ia memang masuk akal. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelantar minyaknya sendiri, ramai di antara kita membayangkan Malaysia kebal daripada krisis global ini.

Bukankah kita hanya perlu pam dari bumi sendiri dan jual kepada rakyat pada harga yang murah dan stabil? Menyedari kekeliruan yang timbul, Petronas sebagai tonggak utama industri petroleum negara telah tampil memberikan pencerahan bagi memperbetulkan salah faham umum mengenai isu ini.

Apa yang sedang berlaku?

Menurut infografik yang dikongsikan oleh Petronas di media sosial rasminya, konflik di Asia Barat telah mengganggu rantaian bekalan minyak global termasuk pengangkutan dan penghantaran.

Sementara perkapalan utama di Selat Hormuz berada di bawah sekatan. Rentetan daripada itu, bekalan minyak mentah dan bahan api tidak dapat dihantar ke pasaran seperti jadual biasa.

Permulaan krisis ini juga secara langsung telah menyebabkan harga minyak mentah telah meningkat hampir 40% di samping kos perkapalan, insurans serta logistik penghantaran turut melonjak. 

Bagaimana Malaysia terjejas?



Seperti yang sedang hangat dipersoalkan oleh orang ramai, ‘Malaysia kan ada minyak sendiri? Kenapa kita masih terjejas?

Realitinya, walaupun Malaysia sebuah pengeluar minyak pun tidak terlepas sepenuhnya dari krisis global ini.

Difahamkan lebih separuh daripada minyak mentah yang diproses di kilang penapisan kita perlu diimport kerana pengeluaran domestik yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bahan api negara.

Hampir 40% daripada import tersebut datang akses menerusi Selat Hormuz laluan yang pada ketika ini terjejas teruk. Apa langkah Petronas dalam mengatasi isu ini?

Petronas telah memaklumkan bahawa syarikatnya telah mengambil langkah proaktif untuk menjaga bekalan bahan api negara.

Dalam masa sama, rantaian bekalan di stesen Petronas dijangka mencukupi sehingga Mei 2026.

Bercakap berkenaan harga bahan api pula, semua berada di bawah kawal selia Kerajaan. Subsidi RON95 dan diesel masih berkuat kuasa setakat ini.

Oleh itu, pihak Petronas menasihati orang ramai untuk menjalani rutin harian seperti sedia kala dan gunakan bekalan dengan bijak dan cermat.

Hakikatnya, status Malaysia sebagai negara pengeluar minyak bukanlah ‘tiket kebal’ yang memisahkan kita daripada ekosistem perdagangan dunia.

Penjelasan telus daripada pihak Petronas ini membuka mata kita bahawa rantaian bekalan tenaga global adalah sangat kompleks dan saling bersandar (interdependent).

Apabila berlakunya krisis geopolitik antarabangsa, gelombang kejutannya pasti akan sampai ke ekonomi tempatan kita jua.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.