https://critoxium.com/shop/

Terkini

Putar belit fakta boleh lingkupkan bangsa


Oleh Zulkifli Jalil

TIDAK mudah untuk mana-mana kerajaan mengurus persepsi dan komunikasi. Banyak ketika terpaksa hadam sahaja bidalan ini, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata (atau tindak tanduk) buruk padahnya'.

Bila sediakan suatu hujah atau kenyataan, sentiasalah beringat implikasinya dua, tiga tapak di depan. Tak boleh hentam kromo saja.

Dengan sebaran berita yang setiap hari dihadap kita, tiada siapa tahu ia palsu atau sebenarnya fakta. Padahal, motifnya ada - cukup jahat atau main kotor. Boleh terlungkup bangsa jika terperangkap dalam mainan sebegini. Apa lagi digunakan propaganda begini: "Inform, inform and when they are interested, misinform".

"If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it". (Jika kamu mahu berbohong, buatlah pembohongan yang betul-betul besar, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya).

Berita palsu

Hari ini, dengan aplikasi media sosial yang muncul termasuk WhatsApp dan Treads, satu berita palsu saja boleh dikongsi kepada ratusan ribu orang, malah menjangkau ke berjuta manusia.

Pernah satu isu berbangkit daripada peringatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul beberapa tahun lalu berhubung larangan guna label 'kafir' dalam sidang Dewan Rakyat.

Tujuannya jelas supaya Ahli Parlimen berhenti melabelkan satu sama lain dengan perkataan seperti 'kafir', 'Zionis' dan 'Yahudi' atau yang boleh mengguris hati ketika berbahas.

Kata Johari, penggunaan perkataan seumpama itu 'salah' dan bertentangan dengan Peraturan Tetap 36(10)(c) kerana berkemungkinan timbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan di antara satu kaum dengan kaum lain di Malaysia.

Setakat itu saja sebab larangan label 'kafir' oleh Johari turut mengajak Ahli Parlimen buka lembaran baharu dalam berbahas.

Tapi aduhai! Ada pula pihak sanggup putar belitkan kenyataan Johari itu sehingga labelkan pula beliau sebagai 'jahil' dan 'sewel'. Lebih dahsyat lagi apabila pengkritik Johari mengajak pula golongan agamawan agar 'harus berani bercakap mengenai hukum-hakam agama kerana pada hari ini kita sudah mula nampak nilai liberalisme sedang bertapak di tanah air kita'.

Ya, tindak tanduk provokatif yang cuba mempengaruhi masyarakat mempercayai berita dimanipulasikan inilah harus dijauhi jika bangsa Malaysia mahu bergerak ke kehidupan piawaian aras tinggi.

Yang jelas, Johari tak persendakan agama Islam. Jauh sekali mengeluarkan fatwanya sendiri. Tetapi motif pengkritiknya hanya satu - putar belitkan fakta, 'salah maklum' atau dalam bahasa Inggerisnya 'misinformation'.

Kurang cerdik

Dan kita rakyat akur putar belit dan main wayang taktik biasa untuk meraih sokongan dalam politik. Seperti mana podcast dengan ada selebriti politik merajai media sosial menerusi aksinya hari ini.

Tapi jangan sampai ketara sangat kurang cerdiknya. Bahkan teramat malang lagi, putar belit itu 'melekat' bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang. 'Damage has been done'.

Aral melintang cukup besar untuk siapa sahaja yang terajui kerajaan. Berhadapan sebahagian rakyat, ibarat kisah enam orang buta dengan gajah.

Mereka memberi deskripsi mengenai rupa bentuk seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang pegang kaki, dikatakannya tiang. Ada yang pegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang memegang badan, disamakan pula dengan dinding. Yang memegang belalai, disamakan dengan ular.

Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak. Setiap daripada orang buta itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul.

Begitupun, untuk mempengaruhi minda sebahagian pengundi kita tidaklah sukar kerana mereka masih gemar mempercayai dan menyukai gosip, persepsi dan kontroversi.

Dengan itu mudah diperkotak-katikkan anasir tertentu dengan menyertakan klip video 'sekerat belut, sekerat ular' untuk memperdaya minda orang kita.

Suatu ketika tahun 1940-an muncul kelibat Goebbels, pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi tiada tolok bandingnya.

Ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian anti-semitisme begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.

Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.

Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, dia 'diterima' kerana berjaya mempakari semua aspek 'hearts and minds' (hati dan pemikiran) rakyat Jerman - sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.

Licik

Kisah mereka yang licik memutarbelitkan maklumat patut menjadi teladan hari ini, terutama buat bangsa kita. Ini supaya bijak menilai mana satu kaca, mana satu permata.

'Don't judge a book by its cover'. Jangan menilai seseorang itu dari luaran sahaja, tetapi nilainya dengan lebih mendalam. Jangan lekas buat kesimpulan untuk mengelak kerugian besar di kemudian hari.

Ya, dari dulu hingga kini orang kita senang dihasut dan terpedaya, ghairah gila rebut kuasa dan ingin kesenangan tanpa kuat berusaha. Lihat apa terjadi pada kita di masa lepas.

Yang paling tragis, 'melepaskan Singapura begitu sahaja'. Bilalah yang jadi mangsa ini nak celik dan benar-benar sedar - daripada termakan hasutan dan terjerat dengan tipu daya orang lain.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.