Nak bahas tentang saya atau Tabung Haji, sindir Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyindir tindakan pembangkang memulaukan sidang khas berkaitan Tabung Haji susulan ketiadaanya dalam Dewan Rakyat kerana sedang mendapatkan rawatan hospital.
“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji?
“Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” soal Anwar, yang menjalani pembedahan bagi merawat hernia perut semalam.
Menulis di media sosial, Anwar mempersoalkan kenapa masih ada drama politik ketika “orang Melayu-Islam dikhianati”.
“Apatah lagi datang dari pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.
“Apakah PN yang ditunjangi PAS tidak pentingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?
Kecuali Bersatu, wakil rakyat pembangkang pagi ini keluar Dewan Rakyat selepas permintaan mereka untuk menangguhkan sidang khas ditolak.
Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan mahu menangguhkannya kerana Anwar tidak dapat menghadiri sesi hari ini.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolaknya kerana Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan menteri-menteri hadir dan boleh mewakili kabinet.
Anwar dijangka berada bawah pemantauan selama dua hari selepas rawatan semalam.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.