Anwar, reformasi dan Fihi Ma Fihi: Apa yang tersisa selepas 28 tahun?
Oleh MOHD NAJIB HASHIM
Ketika rencana ini ditulis, sudah beberapa hari tarikh 2 September berlalu, barangkali terlindung di sebalik jerebu hanya selembar dua sahaja tarikh ini dikenang lalu di medsos.
Tarikh ini sebenarnya menjadi alur punca kepada pemerintahan negara ini sekurang-kurangnya pada waktu ini. Tidak ramai mengingati tidak apa, kerana tarikh ini bukan menjadi subjek sejarah yang diajar di sekolah.
Tetapi kegagalan melestarikan apa yang berlaku pada tarikh ini, sejak 28 tahun yang lalu ada sedikit rasa terkilan. Tentunya Gen Z, tidak hadam apa yang berlaku pada tarikh itu, lebih malang mereka yang melalui pahit getir sejarah itu dan menikmati hasil perjuangannya pada masa kini gagal mengenang apa yang ada pada sejarah 2 September 1998.
Ada tarikh dalam sejarah yang terus hidup bukan kerana apa yang berlaku pada hari itu sahaja, tetapi kerana kesannya memanjang jauh melampaui generasi yang mengalaminya. Anwar Ibrahim black eye incident circa sept 21st 1998 030325
Pada hari itu, saudara Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Dua hari kemudian beliau disingkirkan daripada UMNO, sebelum ditahan pada 20 September 1998. Penahanan dan perbicaraan terhadapnya mencetuskan gelombang politik yang kemudian dikenali sebagai Reformasi.
Malaysia pada ketika itu sedang melalui krisis kewangan Asia yang mengheret persoalan ekonomi, kuasa dan arah pemerintahan ke tengah perdebatan politik.
Pertentangan antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad yang pada asalnya berlaku dalam lingkungan kepimpinan negara akhirnya berkembang menjadi konflik yang mengubah landskap politik Malaysia.
Tidak seorang pun pada ketika itu mungkin dapat melihat keseluruhan perjalanan yang bakal berlaku.
Anwar yang kehilangan kedudukan politik pada 1998 akhirnya menjadi wajah utama sebuah gerakan yang menuntut perubahan, manakala Reformasi yang bermula dalam suasana kemarahan dan ketidakpuasan terhadap pemerintahan berkembang menjadi satu arus politik yang merentasi parti, generasi dan pilihan raya. 1998 reformasi bebas anwar ibrahim protest demo demonstration 210220 1
Dua puluh empat tahun selepas pemecatannya, pada November 2022, Anwar akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Di situlah kisah ini sepatutnya dibaca dengan lebih perlahan. Kerana apabila seseorang yang pernah berada di tengah-tengah kuasa kemudian kehilangan kuasa, menghabiskan bertahun-tahun melawannya dari luar dan akhirnya kembali memegangnya.
Perjalanan itu tidak lagi sekadar sebuah kisah politik epik. Ia menjadi perjalanan tentang manusia, pengalaman dan perubahan makna kuasa.
Mungkin kerana itu Fihi Ma Fihi, himpunan wacana yang dinisbahkan kepada Jalaluddin Rumi, memberikan satu bingkai pemikiran yang menarik untuk memahami perjalanan Anwar.
Buku tersebut bukan karya politik dan tidak pernah ditulis untuk menjelaskan sistem pemerintahan moden. Ia merupakan himpunan wacana dan perbincangan Rumi mengenai kehidupan, agama, manusia, ilmu dan pencarian makna yang bergerak daripada satu perbincangan kepada perbincangan yang lain.
Dalam karya itu, manusia tidak dilihat sebagai sesuatu yang sudah selesai; pengalaman, pencarian dan perjalanan batin menjadi sebahagian daripada proses pembentukan dirinya. anwar ibrahim reformasi 1998 demo protest at masjid negara video screen grab from savemalaysia youtube video post 050918 02
Jika pendekatan itu digunakan untuk membaca Anwar, maka 2 September 1998 tidak lagi kelihatan sebagai satu titik kejatuhan.
Ia menjadi permulaan kepada proses panjang yang mengubah seorang tokoh politik melalui pengalaman yang tidak mungkin diperoleh daripada berada di satu tempat sepanjang hayat.
Sebelum tarikh tersebut, Anwar mengenali kuasa dari dalam. Selepas tarikh tersebut, beliau mengenal kuasa dari luar. Pada akhirnya, beliau kembali berhadapan dengan kuasa dari tempat yang paling tinggi dalam struktur pemerintahan.
Pengalaman tiga sisi inilah yang menjadikan perjalanan beliau begitu jarang dalam politik Malaysia.
Anwar pada 1998 ialah seorang pemimpin yang berada sangat hampir dengan puncak pemerintahan. Beliau mempunyai kedudukan, pengaruh dan masa depan politik yang kelihatan terbuka luas. prime minister anwar ibrahim circa May 2026 260526
Tetapi pemecatan itu mengubah seluruh arah hidupnya. Krisis yang mengikutinya bukan sahaja menyebabkan beliau kehilangan jawatan, malah memecahkan hubungan politik, mencetuskan demonstrasi besar-besaran dan membuka ruang kepada kemunculan sebuah bahasa politik yang baharu.
Pada peringkat awalnya, Reformasi tentu sekali mempunyai wajah Anwar yang sangat kuat. Tetapi lama-kelamaan tuntutannya menjadi lebih luas daripada nasib seorang individu.
Ia membawa bersama tuntutan terhadap keadilan, kebebasan, pembaharuan institusi, pentadbiran yang bersih dan kebertanggungjawaban pemerintah. Parti baharu muncul, tokoh baharu berkembang dan generasi pengundi yang berbeza membesar dengan pengalaman politik yang tidak lagi sama seperti generasi sebelumnya.
Anwar tidak kembali ke Putrajaya dalam satu pilihan raya. Beliau perlu melalui beberapa kekalahan, perubahan pakatan, perpecahan politik dan episod yang pada satu ketika kelihatan seolah-olah menjauhkan lagi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Politik Malaysia sendiri berubah berkali-kali sepanjang tempoh tersebut. Gabungan yang pernah menjadi lawan akhirnya duduk di meja yang sama, tokoh yang pernah bertentangan boleh berkongsi pentas dan batas antara kerajaan dengan pembangkang berubah mengikut keadaan.
Dalam semua perubahan itu, satu perkara yang menarik ialah manusia yang berada di tengah-tengahnya juga tidak mungkin kekal sepenuhnya seperti dirinya pada 1998.
Itulah salah satu cara Rumi membantu kita memahami perjalanan yang panjang. Dalam Fihi Ma Fihi, makna tidak sentiasa diberikan dalam bentuk jawapan yang selesai. Rumi membawa pembaca melalui pengalaman dan pertentangan, seolah-olah mengingatkan bahawa manusia perlu dibaca melalui proses menjadi, bukan semata-mata melalui keadaan yang pernah dilaluinya.
Anwar juga begitu. Menilai beliau hanya melalui Anwar 1998 bermakna kita membekukan seorang manusia pada satu detik sejarah.
Begitu juga jika beliau hanya dinilai melalui kedudukannya selepas menjadi Perdana Menteri, kita kehilangan sebahagian besar pengalaman yang membentuk cara beliau melihat negara dan kuasa.
Yang menjadikan perjalanan itu penting ialah apa yang berlaku di antara kedua-dua titik tersebut.
Seorang yang pernah berada di dalam kerajaan mengetahui bagaimana keputusan dibuat dari pusat pemerintahan. Seorang yang kemudian berada di luar kerajaan mengetahui pula bagaimana keputusan pemerintah dirasai oleh mereka yang tidak mempunyai kuasa untuk mengubahnya.
Apabila kedua-dua pengalaman itu bertemu dalam diri seorang pemimpin, sepatutnya lahir pemahaman yang lebih luas tentang batas kuasa dan kepentingan institusi.
Namun sejarah tidak pernah memberikan seseorang pemimpin kredit secara automatik hanya kerana pengalaman masa lalunya.
Dalam membaca politik, prinsip itu penting kerana kita mudah menjadikan pengalaman sejarah sebagai pengganti kepada penilaian terhadap tindakan semasa.
Anwar pernah melalui pengalaman yang menyakitkan pada 1998. Itu adalah sebahagian daripada sejarah dan tidak boleh dipadamkan. Tetapi pengalaman tersebut tidak bermakna semua keputusan kerajaan yang dipimpinnya hari ini harus diterima tanpa penelitian.
Sebaliknya, pengalaman itulah yang membuatkan tuntutan terhadap beliau menjadi lebih tinggi.
Jika Reformasi dahulu menuntut kerajaan supaya lebih bertanggungjawab, kerajaan yang lahir daripada Reformasi juga mesti bersedia menerima tuntutan yang sama.
Jika dahulu Anwar menuntut institusi yang lebih kuat, maka pemerintahannya sendiri perlu diukur berdasarkan sejauh mana institusi itu diberikan ruang untuk berfungsi.
Jika dahulu persoalan utama ialah penyalahgunaan kuasa, maka setiap pemerintah selepas itu termasuk pemerintah yang dipimpin oleh Anwar mesti dinilai dengan ukuran yang sama.
Ini bukan bermakna sejarah Anwar diketepikan. Sebaliknya, sejarah itulah yang membuat ukuran tersebut menjadi lebih penting.
Reformasi yang matang tidak seharusnya meminta rakyat mempercayai seseorang hanya kerana sejarah perjuangannya. Ia sepatutnya meninggalkan sistem yang membolehkan rakyat terus menilai sesiapa sahaja yang memegang kuasa, termasuk tokoh yang mereka sendiri pernah dukung.
Ada ironi besar dalam sejarah tersebut. Anwar pernah menjadi sebahagian daripada struktur politik yang memerintah negara, kemudian menjadi salah seorang tokoh paling penting yang mencabar struktur itu dari luar, dan akhirnya kembali menjadi sebahagian daripada struktur pemerintahan tersebut.
Perjalanan seperti ini membuatkan persoalan mengenai kuasa tidak lagi bersifat teori bagi dirinya.
Ceritanya begini, seorang Anwar pernah memiliki kuasa dan seorang Anwar juga pernah kehilangan kuasa.
Dan kini beliau perlu menunjukkan bagaimana kuasa itu digunakan setelah diperoleh kembali. Cabaran tersebut jauh lebih besar daripada sekadar mengekalkan sokongan politik.
Seorang pemimpin pembangkang boleh menuntut perubahan kerana tanggungjawabnya adalah mengkritik kerajaan.
Seorang Perdana Menteri pula perlu membuat keputusan dalam keadaan yang jauh lebih rumit kerana setiap keputusan melibatkan pentadbiran, ekonomi, birokrasi, kepentingan masyarakat dan kestabilan negara.
Idealisme vs realiti(sub
Tetapi realiti tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menghapuskan idealisme. Sebaliknya, realiti seharusnya memaksa idealisme mencari bentuk yang lebih matang.
Reformasi tidak mungkin bermakna jika ia hanya berhenti pada pertukaran kerajaan. Pertukaran kerajaan merupakan satu peristiwa politik, pembaharuan institusi ialah proses yang jauh lebih panjang.
Kerajaan boleh bertukar dalam satu malam selepas keputusan pilihan raya, tetapi membina institusi yang tahan terhadap penyalahgunaan kuasa memerlukan masa, disiplin dan kesediaan pemerintah untuk menerima batas terhadap kuasanya sendiri.
Sebab itu perkembangan selepas 2022 lebih penting daripada sekadar fakta bahawa Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri.
Kerajaan MADANI telah melaksanakan beberapa langkah reformasi, termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 serta Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.
Dalam ucapan dasar Kongres Nasional PKR 2026, Anwar berkata beberapa reformasi sudah dilaksanakan, manakala agenda selebihnya akan diteruskan berdasarkan kemampuan kerajaan dan keadaan semasa.
Semua itu wajar dinilai berdasarkan hasil dan kesannya, bukan semata-mata berdasarkan siapa yang memperkenalkannya.
Di sinilah kita kembali kepada persoalan awal: apa yang tersisa selepas 28 tahun?
Mungkin jawapannya bukan pada sebuah parti atau sebuah kerajaan.
Yang tersisa ialah kesedaran yang jauh lebih sukar untuk dipadamkan bahawa kuasa tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang berada di luar jangkauan pertanyaan rakyat. Itulah perubahan paling besar yang lahir daripada 1998.
Sebelum Reformasi, pertukaran kerajaan pada peringkat persekutuan kelihatan seperti sesuatu yang hampir mustahil. Selepas Reformasi, generasi baharu membesar dengan kesedaran bahawa kerajaan boleh dicabar, pemerintah boleh dikalahkan dan institusi negara perlu sentiasa dipersoalkan apabila kuasa digunakan melampaui batas.
Kemenangan Pakatan Harapan pada 2018 menjadi bukti bahawa sesuatu yang dahulu dianggap hampir mustahil akhirnya boleh berlaku.
Lebih menarik lagi, perubahan 2018 memperlihatkan sendiri bagaimana sejarah politik boleh menghasilkan pertemuan antara tokoh-tokoh yang pada 1998 berdiri di sisi yang bertentangan.
Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, manakala Anwar, selepas menerima pengampunan diraja, kembali ke pentas politik sebagai bakal penggantinya berdasarkan persefahaman dalam Pakatan Harapan.
Tidak lama kemudian, hubungan itu kembali berkeruh dan persengketaan mereka berlanjutan hingga kini.
Sejarah politik Malaysia seolah-olah terus mengingatkan bahawa manusia dan kuasa tidak pernah bergerak dalam garis yang lurus.
Rumi memahami sifat manusia yang berubah melalui perjalanan. Perbahasan mengenai kelas penguasa pula mengajak kita melihat bahawa kuasa mempunyai struktur dan kepentingannya sendiri.
Apabila elemen ini digunakan untuk membaca Anwar, kisahnya menjadi lebih luas daripada biografi seorang Perdana Menteri.
Ia menjadi kisah tentang bagaimana seorang manusia dibentuk oleh kuasa yang pernah dimilikinya, kehilangan yang pernah dialaminya dan perjuangan yang membawanya kembali kepada kuasa.
Sebab itu 2 September 1998 tidak sepatutnya menjadi sekadar ulang tahun untuk mengenang sebuah luka politik.
Tarikh itu lebih bermakna jika ia menjadi ruang untuk melihat sejauh mana perjalanan yang bermula pada hari tersebut telah mengubah politik Malaysia dan, lebih penting lagi, mengubah cara kita memahami Reformasi.
Reformasi tiada alamat tetap(sub
Tetapi Reformasi tidak mempunyai alamat tetap di Putrajaya.
Ia hidup dalam cara institusi bekerja, dalam keberanian rakyat mengkritik pemerintah, dalam kemampuan Parlimen menjalankan peranannya, dalam kebebasan media, dalam ketelusan pentadbiran dan dalam kesediaan kerajaan menerima bahawa kuasa yang sah sekalipun tetap perlu mempunyai batas.
Inilah bahagian yang menjadikan kisah Anwar selepas 2022 lebih berat daripada kisah Anwar sebelum 2022.
Ketika beliau berada di luar kerajaan, Reformasi memberikan beliau bahasa untuk menentang kuasa. Selepas beliau berada di dalam kerajaan, Reformasi perlu menjadi ukuran untuk menilai dirinya sendiri.
Perubahan kedudukan itu menjadikan pengalaman 28 tahun sebelumnya tidak lagi sekadar sejarah peribadi. Ia menjadi hutang intelektual dan moral kepada idea yang pernah dibawanya.
Dalam erti kata itu, kemenangan Anwar tidak menamatkan Reformasi. Ia memindahkan Reformasi daripada jalan raya ke institusi, daripada laungan kepada dasar dan daripada tuntutan kepada tanggungjawab. Di situlah ujian yang sebenar bermula.
Kerana seorang reformis boleh menghabiskan seluruh hidupnya bercakap tentang perubahan. Tetapi hanya apabila dia sendiri memperoleh kuasa barulah dapat dilihat sama ada perubahan itu benar-benar menjadi sebahagian daripada cara dia memerintah.
Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan perjalanan dalam pengertian Rumi. Manusia tidak dinilai hanya pada titik dia bermula atau tempat dia akhirnya sampai, tetapi pada apa yang berlaku kepada dirinya sepanjang perjalanan tersebut.
Anwar telah melalui perjalanan yang panjang dan penuh paradoks. Beliau pernah berdiri di tengah-tengah sistem, kemudian tersingkir daripadanya, membina kekuatan politik dari luar dan akhirnya kembali mengetuai sistem yang sama.
Kini sejarah tidak lagi meminta beliau membuktikan bahawa beliau mampu bertahan.
Sejarah meminta sesuatu yang lebih sukar, membuktikan bahawa pengalaman kehilangan kuasa selama bertahun-tahun telah mengubah cara beliau menggunakan kuasa apabila ia akhirnya berada di tangannya.
Itulah sebabnya 2 September 1998 masih mempunyai makna pada 2026.
Dua puluh lapan tahun selepas pemecatan itu, Anwar telah sampai ke tempat yang dahulu kelihatan begitu jauh. Namun perjalanan politik yang panjang tersebut tidak berakhir apabila beliau sampai ke Putrajaya.
Sebaliknya, ia membawa beliau kepada satu bab yang mungkin paling sukar untuk ditulis kerana pada bab inilah seorang reformis perlu berhadapan dengan kuasa yang selama ini menjadi objek perjuangannya.
Dalam Fihi Ma Fihi, kita diajak melihat sesuatu lebih dalam daripada apa yang kelihatan di permukaan. Mungkin begitu juga dengan kisah Anwar.
Yang kelihatan ialah seorang lelaki yang akhirnya menjadi Perdana Menteri.
Yang lebih dalam ialah perjalanan seorang manusia yang selama 28 tahun dibentuk oleh kuasa, kehilangan, penjara, perjuangan, kompromi, kemenangan dan tanggungjawab.
Dan yang paling penting ialah apa yang lahir daripada semua pengalaman itu.
Jika Reformasi hanya berakhir dengan Anwar menjadi perdana menteri, maka sejarah akhirnya hanya mencatat kejayaan seorang manusia mendapatkan kembali kuasa yang pernah hilang daripadanya.
Tetapi jika pengalaman itu berjaya melahirkan institusi yang lebih kuat, pemerintahan yang lebih terbuka dan budaya politik yang tidak lagi bergantung kepada siapa yang duduk di kerusi paling tinggi, maka 2 September 1998 akan mempunyai makna yang jauh lebih besar daripada nasib seorang tokoh.
MOHD NAJIB HASHIM bekas ketua pengarang Suara Keadilan dan bekas editor Selangorkini.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.