https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kegusaran dan impian seusai Muktamar PAS


Oleh N FAIZAL GHAZALI

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengakhiri ucapan penangguhan muktamar ke-72 parti itu pada Sabtu lalu dengan dua rangkap pantun. Dia mengungkapkan pantun tersebut dengan nada yang ceria.

Jelas kegembiraan berkenaan terpancar di wajah tokoh politik berusia 78 tahun itu sebaik melafazkan rangkap dengan maksud yang begitu manis. Apa lagi ketika ini ada impian yang menyala sedang didakap erat.

Apabila keluarga besar PAS berhimpun menghidupkan acara tahunan itu, ia hanya menghantar satu isyarat pasti: suntikan semangat dan obor perjuangan yang menyala-nyala.

Pergi ke Sabah ke Pulau Banggi,
Pulang kembali ke Masjid Rusila;
Kalau rebah bangun lagi,
Kalau berbalah baik semula.

Dari Kota Bharu ke Tanjung Agas,
Pulang ke Johor dengan bergaya;
Kalik kampung jalankan tugas,
Selamat berjumpa di Putrajaya.

Lantas takbir para perwakilan bergema tiga kali bagi menyahut lontaran kata-kata manis dan mendalam di sebalik pantun Tok Guru Ayoh Chik yang penuh pengalaman itu.

Sepanjang muktamar berlangsung, hala tuju dan sikap PAS kali ini sangat jelas terpapar di mana-mana. Mereka membawa matlamat utama yang satu: penyatuan ummah. Di mana-mana saja agenda itu yang menjadi buah mulut semua orang.

Daripada ucapan perwakilan sayap-sayap parti, ucapan dasar presiden, perbahasan, usul-usul, penggulung pimpinan dan ucapan penangguhan, majoritinya tertumpu kepada gesaan penyatuan ummah.

PAS seluruhnya tidak mahu berlengah lagi dalam soal kerjasama dengan Umno-BN dengan melakukannya atas nama agenda penyatuan ummah. Dalam keadaan salam bersahut, tangan tak bertepuk sebelah, sepatutnya tiada lagi halangan untuk ia direalisasikan.

Jika sebelum ini, Bersatu menjadi asbab Umno begitu dingin terhadap gagasan kerjasama dengan PN, kini Bersatu sudah berbeza. Parti itu kini cuma menjadi kenang-kenangan masa silam di hati PAS.

Hanya tinggal saja bagaimana PAS dan PN pada akhirnya akan menyingkirkan secara rasmi – sama ada di atas kertas atau di bawah kertas – parti Muhyiddin Yassin tersebut daripada gabungan.

PAS bertuah dalam soal ini. Mereka sempat berada dalam kerajaan ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri. Kemudian kekal bersama pentadbiran Ismail Sabri Yaakob sebelum kembali menjadi pembangkang.

Tuah dalam konteks ini bermaksud berkesempatan menilai kecekapan atau kelemahan antara dua pentadbiran tersebut. Akhirnya PAS tidak berpihak kepada Muhyiddin. PAS setakat ini enggan berpaling lagi.

Pemimpin PAS yang diberi amanah dalam dua pentadbiran perdana menteri sebelum ini boleh membuat perbandingan – kerjasama dengan parti mana yang lebih baik atau lebih sedap.

Namun, kegusaran masih ada yang bersarang. Jika diperhalusi, jalan mengecapi impian penyatuan PAS-Umno belum lurus sepenuhnya. PRN Melaka mungkin menjadi ‘bonggol’ atau malah ranjau buat kedua-dua parti besar Melayu itu.

Dalam keadaan tertentu, gerakan mereka untuk terganggu apabila brek terpaksa ditekan.

PAS seboleh mungkin mahu kerjasama dalam PRN Melaka berlangsung seperti di Negeri Sembilan. Ia dizahirkan tanpa berselindung apa-apa pun kini. Parti itu menyatakan pendirian tersebut dengan lantang.

PAS melalui pimpinannya memberi penegasan yang sangat jelas bahawa mereka akan mempertahankan semua kerusi sama ada parlimen atau DUN yang sudah dikuasai.

Penegasan PAS itu sudah tentu menjentik mata fikir kepimpinan Umno-BN. Apakah ada keperluan untuk Umno melepaskan kerusi mereka di Melaka dan memberi laluan kepada PAS?

Kita akan lihat sama ada penyatuan ummah antara PAS-Umno dalam PRN Melaka nanti akan berlangsung dengan acuan strategi di Johor atau Negeri Sembilan.

Jika pertimbangan dibuat kembali kepada jalan yang di ambil di Johor, ia seolah-olah kembali ke belakang berbanding pendekatan kerjasama yang lebih maju di Negeri Sembilan.

Kompromi dan kesanggupan berjiwa besar menjadi taruhan dalam soal ini. Kedua-dua parti sudah bersikukuh sikap iaitu akan mempertahankan setiap kerusi yang dimenangi.

Jika begitu kaedahnya, adakah Umno akhirnya terbuka hati untuk mengorbankan sebahagian daripada 21 kerusinya di bumi Hang Tuah? Di sinilah persoalan siapa akan berjiwa besar akan benar-benar teruji.

Melihat situasi semasa dengan lebih meluas, timbul juga persoalan mengenai corak kerjasama apabila PRU ke-16 dilangsungkan nanti.

Tidakkah Umno mahu mahu menghantar wakil rakyat mereka melalui kerusi DUN atau parlimen di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang kini ditadbir PAS atas nama PN?

Satu kemungkinan yang boleh difikirkan ialah, mungkin Umno rela menyerahkan sepenuhnya urusan negeri-negeri tersebut kepada PAS-PN.

Kegusaran ini tentulah boleh dirungkai dan ketegangan boleh dikendurkan dengan kedua-dua parti sekali lagi berjiwa besar untuk berkompromi dengan melihat kepada potensi yang besar di pintu masuk kuasa di Putrajaya.

Pada masa sama, selepas agak lama sindiran bahawa PAS ‘pegang kunci syurga’ diungkapkan, muktamar di Kota Bharu itu menjadi pencetus ia kembali menjelma.

Hal itu berlaku selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tampil memberi penekanan betapa tidak syak lagi, syurga Allah boleh diraih penyokong dan ahli yang bersama dengan perjuangan parti itu. PAS secretary-general Takiyuddin Hassan PAS Muktamar event day 2 040926

Penjelasan Ahli Parlimen Kota Bharu itu cukup tuntas, bahawa PAS memperjuangkan dasar dan pendekatan Islam. Lalu, katanya, selagi mana mereka bersama dalam perjuangan politik PAS, syurga menanti mereka di akhirat.

Jika dihadam, bukanlah Takiyuddin bermaksud dengan mengundi PAS seseorang terus dijamin syurga. Tetapi apa yang dimaksudkan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ialah, dengan mengikuti seluruh ajaran Islam, dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang, syurga adalah balasannya.

Sudah tentu ‘tawaran’ syurga kembali menjadi perhatian. Di pihak musuh sudah tentu mengecam dengan pelbagai hujah dan sindiran.

Misalnya diserlahkan kembali betapa ramai pemimpin PAS kalah dalam kes fitnah di mahkamah, gagal mentadbir negeri dengan baik, gagal itu dan ini. Tidak dapat tidak, itulah mehnah dalam perjuangan yang orang-orang PAS perlu hadapi di sebalik ‘tawaran’ indah itu.

Pascamuktamar juga akan menyaksikan bagaimana PAS akan menangani keberadaan Bersatu dalam PN.

Beberapa isyarat sudah diberikan, antaranya apabila Takiyuddin menyatakan mesyuarat kepimpinan tertinggi PN tidak lama lagi akan meneliti prestasi pengerusi PN negeri.

Misalnya di Selangor, desakan secara terbuka sudah dilaungkan PAS negeri itu yang mahu kerusi diduduki Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali digantikan dengan pemimpin PAS.

Azmin pula kini seorang loyalist Muhyiddin.

Barang perlu diingat, ketika ini masih ada pemimpin Bersatu mengisi jawatan pengerusi PN di negeri tertentu. Ia adalah duri dalam daging buat PAS, atau buat PN sendiri kerana buat masa sekarang, bolehlah dianggap PAS itu PN, dan PN itu PAS.

Muhyiddin Yassin advised members to uphold internal discipline - Azmin Ali 130126 The Bersatu supreme council meeting January 12th 2026

Menawan Selangor pula adalah impian besar PAS-PN, tapi ia sudah tentu tidak dibayangkan matlamat tercapai bersama Azmin dan konco-konconya. PAS pun sudah memilih Umno-BN sebagai regunya.

Umno-BN pun tentulah tidak sabar mahu melunaskan dendam mereka selepas tersingkir dari tampuk kuasa negeri itu sejak hampir 20 tahun lalu.

Cuma kegusaran tetap wujud khususnya dalam soal pembahagian kerusi berdepan PRU ke-16. Gabungan PN dan BN masing-masing mempunya parti-parti berteraskan sokongan bukan Islam.

Bukan satu, bahkan banyak parti. Itu antara titik lemah dalam memastikan agihan kerusinya dipersetujui dengan sebulat suara. Parti seperti Gerakan, MIPP, MCA dan MCI sudah tentu akan jadi taruhan untuk menyekat dominasi DAP.

PAS sendiri pastinya sedar dengan situasi-situasi yang dihadapi itu, dan sebagai parti yang kuat pengaruhnya sudah tentu ada sifir atau silap mata dipertaruhkan.

Magis penyatuan ummah sedang dijampi dan dihembus perlahan-lahan oleh PAS seluruh pelusuk tanah air ini. Kita tunggu dan lihat siapa yang akan tergamam.

N FAIZAL GHAZALI adalah wartawan Malaysiakini yang tak pernah berasa bosan hadir ke Muktamar PAS dan takkan jemu menanti seorang perdana menteri daripada PAS.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.