https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pelepasan Najib: Ketua penerangan Pejuang pertahan peguam negara


PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid Ali mempertahankan Peguam Negara Dusuki Mokhtar berhubung dakwaan kesilapan perintah mahkamah berkait tahanan rumah Najib Razak, sambil berkata peguam negara tidak patut dipersalahkan atas dokumen disediakan pihak mahkamah.

Rafique yang juga peguam, berkata pihak mempertikaikan kesilapan itu sepatutnya memohon penjelasan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bukannya menuding jari kepada Dusuki atau barisan peguam terlibat dalam kes itu.

Kontroversi tersebut berkisar perintah mahkamah dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta, pada 6 Nov.

Dokumen berkenaan didakwa menuntut pembebasan serta-merta bekas perdana menteri itu, namun pada masa sama menyatakan beliau perlu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, susulan pembayaran denda RM50 juta.

Rafique berkata, wujud kekeliruan berhubung pihak bertanggungjawab menyediakan dokumen sedemikian.

“Bagi kes-kes jenayah, peguam bela atau peguam negara tak terbabit. Yang akan sediakan adalah mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pegawai mahkamah sebenarnya bertanggungjawab menyediakan dokumen melibatkan penahanan atau pembebasan banduan, pembayaran denda, dan pemulangan pasport.

Katanya, pendaftar jenayah Mahkamah Tinggi yang mengendalikan urusan dokumentasi bagi kes jenayah perlu tampil memberi penjelasan mengenai kesilapan dalam perintah berkenaan.

Rafique berkata, perkara itu berbeza dengan kes sivil, di mana peguam bagi pihak yang menang biasanya menyediakan perintah mahkamah dan menghantarnya kepada pihak lawan untuk pengesahan, sebelum diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut mengkritik barisan peguam dan bekas pegawai undang-undang kerajaan yang mempertikaikan struktur ayat dalam perintah Najib tersebut, sambil mendakwa sesetengah daripada mereka kelihatan tidak biasa dengan tatacara kerja mahkamah jenayah.

“Saya hormati pandangan anda, tapi perlu ada pemahaman tentang prosedur mahkamah sebelum beri komen.”

Awal hari ini, Dusuki menyifatkan kesilapan dalam perintah itu sebagai sesuatu yang jelas, sambil menegaskan ia sepatutnya dapat dikesan sekiranya dokumen disemak teliti.

Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak itu memohon menangguhkan pemindahan Najib bawah tahanan rumah, sementara persoalan mengenai hukuman penjara kes SRC beliau diselesaikan, serta bagaimana ia memberi kesan terhadap hukuman penjara 15 tahun berasingan yang dikenakan ke atasnya dalam kes 1MDB.

Sebelum ini, Rafique pernah mengkritik pengedalian kes Najib oleh AGC dengan mempertikaikan mengapa pihak tersebut menunggu sehingga Najib menjelaskan denda sebelum membangkitkan kebimbangan mengenai bagaimana tahanan rumah beliau sepatutnya dilaksanakan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.