https://critoxium.com/shop/

Terkini

Memahami Negarawan Ulung


Apabila memulakan sidang parlimen, Tun Mahathir tersenyum apabila diucapkan selamat menyambut hari lahir yang ke-95 oleh speaker. Tun faham, persidangan kali ini mencabar dengan cadangan oleh Perdana Menteri baru Tan Sri Muhyiddin dan Tun Mahathir sendiri telah membawa usul undi tidak percaya. 

Umum tahu, selepas itu, dengan kelebihan 2 undi, speaker ditukar. Parlimen juga menyaksikan seburuk-buruk kualiti perbahasan dengan jeritan, gangguan dan sifat kebudak-budakan khasnya wakil rakyat UMNO. Di hadapan mata rakyat, sungguh amat memalukan.

Apakah rasional tindakan Tun? Untuk memahami semua tindakan Tun Mahathir dalam konteks yang adil, ada 20 perkara yang harus dipertimbangkan oleh rakyat.

1. Sebagai PM, Tun Mahathir diasak dengan dua daya tarikan. Kumpulan Tan Sri Muhyiddin-Azmin mendesak Tun untuk keluar dari PH. Kumpulan Anwar pula mendesak Tun memberikan tarikh peralihan kuasa untuk Anwar menjadi PM.

2. Tun Mahathir berhasrat memegang janji dan tidak setuju dengan gesaan Muhyiddin-Azmin. Dia tidak dapat memberikan tarikh kepada Anwar kerana jika berbuat demikian, Muhyiddin-Azmin akan meneruskan hasrat mereka meninggalkan PH dan kerajaan PH akan jatuh. Anwar harus mendapatkan sokongan majoriti sebelum Tun dapat meletakkan tarikh peralihan kuasa dan ini gagal difahami oleh penyokong Anwar. Sememangnya Tun berhasrat untuk menunaikan janji ini kepada Anwar tetapi Anwar masih tiada sokongan majoriti.

3. Dengan menggunakan nama Tun Mahathir, kumpulan Muhyiddin-Azmin mengumpulkan semua sokongan dengan mengadakan majlis di Hotel Sheraton. ia berakhir dengan Tun Mahathir tidak menghadiri majlis tersebut.

4. Dari rakaman audio berserta saksi, Tun dengan tegas dan jelas, malahan sebak, menolak gesaan pimpinan BERSATU untuk meninggalkan PH. Dia tidak sesekali akan bersetuju untuk mengembalikan kuasa kepada UMNO walaupun tahu, dia dapat menjadi perdana menteri.

5. Pimpinan BERSATU dengan diketuai Muhyiddin, tanpa merujuk kepada ahli akar umbi BERSATU meneruskan langkah keluar dari PH. Secara automatik, kerajaan PH jatuh dengan hilangnya majoriti dalam parlimen. Tun tidak lagi menjadi perdana menteri dan adalah satu formaliti untuk seorang perdana menteri baru dilantik.

6. Penyokong Anwar yang mendesak Tun untuk memberikan tarikh tidak faham atau tahu apa yang Tun tahu - dia tidak mempunyai sokongan majoriti di parlimen. Semasa pemilihan perdana menteri baru, Tun kekal tidak bersetuju untuk menjadi PM dengan membenarkan UMNO kembali berkuasa kerana ini bererti kleptokrasi kembali.

7. Dalam situasi ini, Muhyiddin menawarkan diri sebagai PM manakala di pihak PH pula, Anwar menawarkan diri. Hasil undian jelas selepas itu yang mana Anwar tiada majoriti. Hanya selepas itu, Tun dicalonkan semula sebagai PM oleh PH. Malangnya ia terlambat kerana Agong sudah membuat keputusan berdasarkan undi Muhyiddin vs Anwar.

8. Apa yang berlaku selepas itu jelas. Muhyiddin memberikan jawatan menteri dan GLC kepada semua orang politik bagi 'membeli' sokongan. Dalam satu malam, kleptokrasi kembali berkuasa dengan Muhyiddin menjadi dalangnya.

9. Tun Mahathir dikecam terutamanya dalam portal seperti Malaysiakini yang cenderung menyokong Anwar sebagai perdana menteri. Malaysiakini mengambilalih peranan TV3 semasa pilhanraya ke-14 untuk saban hari menghentam Tun. Pembaca portal terpengaruh dan menyalahkan Tun atas kejatuhan PH. Mereka tidak cenderung menyalahkan pengkhianat sebenar iaitu kumpulan Muhyiddin dan Azmin.

10. Pada hari ini, di hadapan mata rakyat, puluhan jawatan menteri dan timbalan menteri kembali kepada UMNO. Semua pengerusi GLC diberi kepada orang politik terutamanya orang UMNO.

Keputusan mahkamah mula memihak kepada kleptokrasi. Kes Musa Aman dengan 46 pertuduhan digugurkan. Riza Aziz dibebaskan walaupun hanya separuh dari lebih RM 1 billion masuk ke akaun beliau. Semua ini berlaku tidak sampai 2 bulan Muhyiddin berkuasa.

11. PAS yang kononnya 'islamik' tidak pernah bersuara dengan tanda-tanda kleptokrasi yang menggunung malah 'diam' apabila menerima habuan jawatan. Malah umum mengetahui, apabila bantuan kewangan diberi kepada Kelantan, ia digunakan untuk membeli kereta Mercedes. Pelik, ahli PAS mempunyai kebolehan menutup mata bagi rasuah dan cukup jika seseorang berpakaian yang menampakkan diri umpama zuhud dan bercakap dengan disalut ayat-ayat Al-Quran atau Islam. Mereka akan menjawab di akhirat kelak, termasuklah yang menyokong pimpinan mereka tanpa persoalan.

12. Tun Mahathir bukanlah seorang yang mempunyai kuasa yang lebih dari seorang manusia. Tetapi sebagai manusia, Tun telah melakukan apa yang betul dan yang kebanyakan orang tidak sanggup lakukan.

a. Menolak menjadi PM atas nama prinsip kerana tidak mahu bersekongkol untuk mengembalikan kuasa kepada kleptokrasi. Ini walaupun dia mempunyai sokongan majoriti dengan campuran UMNO dan PAS.

b. Sanggup mengharungi kepayahan atas nama prinsip. Dia sedar, tindakannya sendiri akan menyebabkan Muhkriz tidak lagi menjadi menteri besar.

c. Meletakkan jawatan atas nama prinsip. Dia kembali menjadi Pengerusi BERSATU atas rayuan majlis tertinggi BERSATU.

d. Tun tahu, hayat Muhyiddin sebagai PM adalah terhad. Dia menjadi boneka kepada kleptokrat UMNO termasuk Najib dan Zahid yang tentunya mahu mahkamah membebaskan mereka. Apabila tiba masa, Muhyiddin akan disingkir dan semua pimpinan BERSATU akan dilongkangkan. Ahli BERSATU akan merana dan tersiksa.

13. Tun mempunyai rancangan yang berkesan untuk PH kembali berkuasa. Tambahan pula, ada sokongan kuat dari parti Warisan malah pihak pimpinan Sarawak memberi indikasi kuat menyokong Tun. Malangnya, rancangan ini digagalkan oleh Anwar sendiri. DAP dan Amanah faham akan realiti dan berkesannya rancangan ini tetapi cita-cita peribadi Anwar mengatasi kepentingan negara.

14. Tun terpaksa membuat 'Plan B' dengan mencadangkan Shafie Apdal. Tambahan pula, dia sudah dapat melihat akan kemungkinan pilihanraya ke-15. Anwar sebagai calon PM hanya akan mendapat undi di kalangan bukan Melayu tetapi tidak oleh orang-orang Melayu. Dia dengan mudah akan menggagalkan PH atas kes mahkamah (sabitan kes liwat dan bebas hanya dengan pengampunan Agong atas usaha Tun sendiri) selain dari asas parti yang bukan Melayu. Khabarnya ada 'video' tertentu yang ada dengan KDN yang boleh dikeluarkan pada masa yang sesuai semasa pilihanraya.

15. Malahan, atas cita-cita menjadi perdana menteri, Anwar sendiri diberitakan berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin. Tindakan ini sendiri mencetuskan defisit kepercayaan terhadap beliau oleh PH.

16. Malang apabila portal internet seperti Malaysiakini gagal melihat sumbangan besar oleh Tun malah digambarkan sebagai 'musang', tidak jujur dan punca kejatuhan PH. Dalang sebenar seperti Muhyiddin dan Azmin tidak 'disentuh' dengan hentaman sebagaimana Tun dihentam. Kompas moral dan keadilan mereka sudah hilang.

17. Tun Mahathir, pada usia 95 tahun, cuba melakukan apa yang betul. Namun, dia hanya manusia dan tidak mempunyai kuasa 'superhuman'. Atas nama prinsip, dia dan wakil rakyat BERSATU yang memegang kepada prinsip mengharungi serangan, semua kepayahan dan ketidakadilan. Seperti sebelum ini, dia rela meredah jalan yang payah, tidak seperti PAS yang hanya melaung takbir tetapi menutup mata atas rasuah di depan mata dengan hukum yang boleh dihalalkan atas nama politik yang lebih tinggi dari agama pada tindakan mereka.

18. Najib pula mempunyai akses kepada wang yang berbilion yang dirompak dengan alasan 'derma Raja Arab' yang direka lalu membayar harga yang tinggi kepada penulis facebook beliau dan 'trooper' sosial media untuk menyokong beliau, BN dan menghentam Tun dan PH. Malangnya masih ada yang mudah lupa dan menutup mata hatta nilai RM1 Billion dijumpai di kondominium selepas pilihanraya lalu. Masih ada yang termakan cerita dongeng beliau tentang 'derma Raja'. Kalau diperhatikan, hingga kini, beliau tidak pernah bercerita buruk tentang Jho Low, proksi beliau dalam plot rompakan dari rakyat Malaysia dengan cerita berlapis tentang pelaburan 1MDB.

19. Pada usia 95 tahun dan setelah 2 setengah kali menjadi perdana menteri, apa yang diinginkan oleh Tun adalah memperbetulkan semua kebobrokan oleh mereka yang rakus dengan kuasa. Dia tidak perlukan jawatan untuk kuasa atau harta. Jika dia memegang jawatan, ia khusus untuk meletakkan negara di landasan yang betul. Tun meredah semua kepayahan tidak seperti orang tua yang lain yang seusia beliau. Pahalanya amat besar kerana apa yang dilakukan adalah jihad beliau untuk menentang rasuah. Setiap kutukan dan tohmahan kepada beliau atas usaha ini hanya menjadi pahala yang bertambah kepadanya, tidak seperti pemimpin PAS yang diam and membutakan mata atas rasuah di depan mata.

20. Tun tidak mungkin melakukan semua ini secara bersendirian. Rakyat sendiri harus mempunyai moral yang kuat untuk menyokong apa yang betul dengan prinsip yang mulia dan tidak dikaburi dengan laungan bangsa dan agama dalam menghalalkan rasuah jawatan dan pendapatan oleh mereka yang mahukan kuasa. Setiap kita, juga akan disoal di akhirat atas moral dan tindakan kita.
Parlimen masih bersidang. Speaker dan timbalan speaker baru yang dilantik tentu ada sifat 'terhutang budi' terhadap Muhyiddin dan tidak diketahui sama ada usul undi tidak percaya Tun terhadap Muhyiddin akan dikemukakan.

Dr Nazmi Aril Odisea
Pemerhati Politik Rakyat
Kuala Lumpur

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.