https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hukum membaca al-Quran tulisan rumi

RAMAI menyedari kelebihan membaca al-Quran dalam kehidupan harian dan ganjaran di akhirat kelak, kerana itu, umat Islam digalakkan untuk membaca dan memperelokkan bacaan agar tergolong dalam kalangan mereka yang dimuliakan.
Dengan hanya membaca satu huruf al-Quran seseorang itu akan memperoleh 10 ganjaran pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada aal-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan 10 pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” - Sunan Tirmizi

Selain itu terdapat pelbagai kelebihan bagi mereka yang membaca al-Quran, namun terdapat isu dalam kalangan umat Islam yang memilih untuk membaca kitab suci tersebut melalui tulisan rumi ekoran wujud perasaan was-was berkaitan bacaan dan hukum tajwid.

Mengikut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan setelah meneliti setiap pandangan ahli muzakarah dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-24 berkenaan Hukum Penulisan Ayat-Ayat al-Quran Dengan Huruf Roman Atau Latin dengan sighah seperti berikut :

i. Setiap orang Islam wajib mempelajari al-Quran dalam Bahasa Arab Rasm Uthmani

ii. Haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian daripada ayat al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan tulisan al-Quran kecuali:

- Penulisan akademik (petikan/phrasa) yang menggunakan tanda transliterasi al-Quran yang betul serta mengikut kaedah standard.
- Bertujuan menarik orang membaca al-Quran dan pembelajaran dalam jangka masa sementara. Teks/nas al-Quran hendaklah disertakan.

iii. Haram menerbit dan menjual tafsir dan terjemahan al-Quran tanpa disertakan teks asal.

Sementara itu Iman Muda Asyraf ketika ditemubual dalam sebuah program di Radio Sinar memberitahu tulisan Jawi adalah sama dengan tulisan Arab, namun ejaan dan bahasanya berbeza kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

“Kerana itu kita perlu belajar bagaimana al-Quran diturunkan daripada Jibril a.s. kepada Nabi Muhammad SAW dan dapat ganjaran bagi orang yang membaca Al-Quran.

“Jika disebut baca al-Quran maka bacalah sebagaimana Jibril, kerana itu kita belajar tajwid, cara baca dan sebutan yang betul akan mendapat pahala,” katanya.

Bagi yang tidak boleh membaca Jawi dan hanya mampu membaca dalam tulisan rumi atau penterjemahan, beliau menjelaskan, bacaan tersebut tidak sama kerana tafsirannya berbeza tetapi berhubung isu ganjaran adalah urusan Allah SWT.

“Al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab seperti mana dilafazkan dan dipelajari secara Musyafahah iaitu mulut ke mulut agar memahami sebutan yang betul. Sudah pasti ada lebih (ganjaran) bagi orang yang membaca secara betul,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.