PH Melaka tidak akan jual pasir
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka tidak akan melaksanakan penjualan pasir sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada 20 November ini.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, sebaliknya PH akan memberi perhatian khusus kepada pengurusan tambak laut dengan memastikan ianya dilaksanakan secara berhemah.
“Tambakan laut juga tidak harus menjadi punca banjir. Ianya harus dijalankan dengan teratur mengikut perancangan bagi mengelakkan berlakunya susut nilai serta lebihan terhadap reclaimed land,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Melaka merangkap calon PH bagi DUN Bukit Katil untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu berkata demikian dalam sidang media hari ini.
Sehubungan itu, kerajaan PH katanya, akan mengkaji semua projek reklamasi tanah serta tambakan laut dengan teliti.
Dalam masa sama, Adly menjelaskan PH berikrar untuk menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi rakyat di negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memastikan semua sumber digembleng sewajarnya dalam jangka masa yang dijanjikan.
Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mendakwa ada pihak tertentu yang menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.
Menurut Idris yang juga calon PH bagi DUN Asahan, pencuri royalti pasir di Melaka merupakan pemegang permit pasir yang tidak membayar kadar yang sepatutnya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.