Terkini

Dr Mahathir bertegas tidak mahu jadi PM hingga habis penggal

Oleh

DR Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal walaupun ada spekulasi mencadangkan supaya berbuat demikian.

“Saya sudah berjanji dan akan menepati janji saya. Apa saja yang dikatakan orang lain, itu adalah pandangan mereka. Bukan saya,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu selepas mesyuarat agung tergempar Bersatu di Serdang hari ini.

Dr Mahathir mengulas cadangan bahawa beliau perlu berkhidmat sehingga habis penggal daripada menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Antara yang menyatakan cadangan itu termasuk pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu Dr Mahathir meneruskan khidmat sehingga tamat penggal.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata peralihan kuasa yang dibuat secara tergesa-gesa dan terlalu awal boleh memberi kesan buruk kepada negara serta rakyat.

Walaupun Dr Mahathir sudah menyatakan pendiriannya berulang kali, persoalan bila beliau akan menyerahkan kuasa kepada Anwar sering dibangkitkan.

Menurut laporan media, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dipercayai bersetuju dengan tempoh dua tahun untuk Dr Mahathir memimpin negara bermula Mei 2018.

Sementara itu, Dr Mahathir berharap partinya akan mengadakan sesi pemilihan pertama pada tahun ini.

“Kita belum menetapkan tarikh tetapi berharap dapat melakukannya pada tahun ini,” kata pengerusi Bersatu itu.

Tarikh pemilihan bagaimanapun masih belum diputuskan selepas 899 perwakilan mengundi untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan bagi tempoh sehingga 18 bulan.

 Dr Mahathir berkata parti itu juga tidak akan melaksanakan sistem seorang satu undi kerana parti itu masih belum bersedia.

Anak lelakinya, Mukhriz Mahathir yang merupakan timbalan presiden, kemudiannya menjelaskan kepada pemberita tentang keputusan parti tidak akan melaksanakan satu ahli satu undi bagi memilih pemimpin peringkat nasional.

“Mereka boleh menggunakan sistem itu pada peringkat bahagian dan cawangan tetapi parti belum bersedia menggunakannya pada peringkat nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.