https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mansuh cukai pendapatan buat pekerja B40, M40 usia lebih 60 tahun, gesa NGO


PETALING JAYA: Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) mencadangkan kerajaan mengecualikan cukai pendapatan kepada kumpulan B40 dan M40 yang bekerja selepas usia 60 tahun.

Presiden J Solomon dalam satu kenyataan berkata seorang pekerja yang mencapai usia persaraan 60 tahun tidak lagi dilindungi Perkeso, malah sumbangan caruman KWSP oleh majikan juga dikurangkan kepada 4%.

“Memandangkan ketiadaan perlindungan sosial, dan pengurangan simpanan di masa depan, SPCAAM percaya langkah-langkah perlu diambil untuk memastikan pekerja berusia dari kumpulan B40 dan M40 sekurang-kurangnya wajar mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna dalam tangan,” katanya.

Katanya, cadangan itu juga mengambil kira cabaran rakyat kebanyakan yang masih bergelut memperbaiki ekonomi keluarga selepas pandemik Covid-19.

“Dalam landskap ekonomi tempatan dan global pasca pandemik yang begitu mencabar, warga emas kita dari kumpulan B40 dan M40 berkemungkinan perlu terus bekerja.

“…. walaupun telah mencapai usia persaraan 60 tahun, untuk menjaga diri sendiri malah juga keluarga mereka.”

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata empat pengeluaran khas diluluskan ketika pandemik Covid-19 mengakitkan 71% pencarum aktif KWSP berusia 50 dan ke bawah tidak mempunyai cukup wang untuk bersara melepasi garis kemiskinan.

KWSP juga menjangkakan ahlinya perlu terus bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun selepas usia bersara bagi membina semula simpanan yang dikeluarkan ketika pandemik.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.