Buruk Baik Pengaliran Berita
Oleh: Mior Kamarul Shahid
Pada tahun 1950-an, antara topik yang sering diperdebatkan tentang media termasuklah isu pengaliran berita global, yang juga dirujuk sebagai pengaliran berita antarabangsa. Pada peringkat pengajian media di universiti atau institusi, selain menjadi antara bidang pengajian, soal ketidakseimbangan pengaliran berita ini sering dijadikan tajuk forum, seminar, persidangan dan konvensyen.
Walaupun sekadar isu media, isu ini tetap menjadi isu nasional di negara miskin dan negara membangun, khasnya di negara dunia ketiga, seterusnya menjadi isu global apabila bahang perbincangan dirasakan pada peringkat antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana negara miskin dan membangun menganggap mereka dieksploitasi dan dianaktirikan dalam perkongsian berita dan maklumat.
Pada ketika itu, banyak kajian yang menunjukkan bahawa tidak banyak berita dari negara dunia ketiga yang disiarkan oleh media negara maju, sama ada oleh akhbar, radio, televisyen ataupun alat komunikasi yang lain. Bagi negara dunia ketiga, mereka berpendapat bahawa negara maju dan kuasa besar penentu kepada agenda media untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.
Bagi negara dunia ketiga, jika tidak ada berita tentang negara miskin dan membangun disiarkan di negara maju, dunia tidak memberikan perhatian atau mengiktiraf kewujudan mereka. Sebaliknya, berita dari negara maju sering mendapat tempat pada halaman akhbar atau ruang udara media elektronik di negara dunia ketiga.
Media di negara maju hanya memberikan ruang seluas-luasnya jika berlaku sesuatu berita yang menggemparkan. Apabila berlaku rampasan kuasa, perang saudara, perbalahan dalaman dan pergeseran politik di sesebuah negara, hal ini menjadi berita yang “mesti siar", malah disensasikan.
Berita sensasi seperti ini akan terus disiarkan dan diperbesar sehinggalah isu tersebut kembali reda. Media di negara maju, terutamanya Amerika Syarikat, berpegang pada falsafah bahawa “berita buruk ialah berita yang baik kepada media. Berita baik bukanlah berita yang baik untuk media".
Hal ini bermaksud berita yang negatif, seperti perbalahan politik, malapetaka, peperangan dan tragedi, akan mendapat tempat dalam media, tetapi tidak berita tentang kemajuan negara, kepesatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat
Pada suatu ketika, malah berterusan sehingga hari ini, berita dari negara dunia Arab mendapat tempat yang meluas dalam media Barat dengan motif menonjolkan kelemahan dan keburukan rakyat dan negara itu. Negara yang berasa dieksploitasi terus membangkitkan isu berhubung dengan pengaliran berita yang tidak seimbang ini di pelbagai pentas global sehingga peringkat perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bagi negara miskin dan membangun, berita pembangunan, yang menjadi nadi rakyat di negara berkenaan pada ketika itu, sering diabaikan oleh media antarabangsa. Bagi menghadapi persaingan, negara dunia ketiga perlu menonjolkan diri dengan mengetengahkan kekuatan masing-masing agar mendapat perhatian dari negara di serata dunia.
Malaysia juga menggunakan pelbagai pendekatan untuk mempromosikan kekuatan negara, sama ada dari segi peluang ekonomi, kestabilan politik, keharmonian kaum, kemudahan infrastruktur ataupun pengangkutan moden, untuk memenangi hati pelabur asing.
Tanpa maklumat penting tentang sesebuah negara, tidak ada masyarakat antarabangsa yang mengetahui potensi negara itu. Pelaburan asing begitu penting untuk menjadi pertumbuhan ekonomi, khasnya dalam sektor perindustrian, pembuatan dan pelancongan.
Sebaliknya, penyiaran berita negatif dan menakut-nakutkan masyarakat antarabangsa tentang sesebuah negara menyebabkan pelabur mencari peluang di tempat lain.
Alasan yang diberikan oleh media di negara maju termasuklah berita pembangunan dari negara dunia ketiga tidak mempunyai nilai berita yang tinggi. Hal ini, kononnya, tidak memberikan impak terhadap jualan akhbar atau stesen televisyen.
Di Malaysia, sebahagian besar berita disalurkan oleh agensi Berita Nasional (BERNAMA) ke seluruh dunia. Setiap hari berpuluh-puluh berita tentang negara ini disalurkan kepada organisasi media di seluruh dunia. Namun begitu, berita yang disiarkan oleh media antarabangsa, khasnya di negara maju, amat sedikit, malah boleh dibilang dengan jari. Dalam keadaan biasa, mungkin dalam tempoh sebulan, hanya dua atau tiga berita tentang Malaysia yang disiarkan di negara Barat berbanding dengan berpuluh-puluh, malah beratus-ratus berita yang disalurkan setiap hari.
Berita yang dihantar oleh wakil agensi berita daripada beberapa agensi berita terkemuka dunia, seperti Reuters, Associated Press (AP), Agence France Presse (AFP) dan International Islamic News Agency (IINA), juga tidak mendorong media di negara berkenaan untuk menggunakan berita dari negara dunia ketiga. Jika ada pun, berita yang dianggap melukut di tepi gantang atau sekadar menyendal di ruang yang kecil. Sebaliknya, berita yang masuk ke negara ini menerusi agensi berita asing digunakan secara meluas. Kebanyakan media di negara ini mengadakan ruangan khas untuk berita antarab angsa dan global.
Di universiti, kebanyakan kajian yang dijalankan oleh pelajar media sejak sekian lama menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan penggunaan berita dari negara dunia ketiga di negara maju.
Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa hanya berita dari negara maju yang sering disiarkan oleh media.
Keadaan ini mencorakkan pengaliran berita yang berat sebelah. Berita dari negara dunia ketiga jarang-jarang disiarkan di negara maju, sebaliknya berita negara maju mendapat ruang yang luas di negara dunia ketiga. Keadaan ini berlaku kerana fungsi ekonomi dan kedudukan mereka sebagai kuasa dunia mendorong media di negara dunia ketiga menggunakan berita dari negara berkenaan.
Berita dari negara maju mempunyai nilai yang tinggi di negara dunia ketiga kerana mernberikan kesan kepada negara miskin dan membangun. Sebarang tindakan yang diambil oleh negara maju memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat di serata dunia. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan rakyat di negara dunia ketiga yang menganggapnya sebagai layanan tidak adil kepada mereka. Merekajuga bimbang bahawa berita dan maklumat yang datangnya dari negara maju mempengaruhi pemikiran rakyat untuk membentuk persepsi positif tentang negara mereka, terutamanya ketika menempuh era perang dingin.
Negara maju kelihatannya cuba mempengaruhi cara pemikiran dan persepsi dunia dan secara langsung imej negara berkenaan.
Setelah perbincangan demi perbincangan diadakan, akhirnya isu pengaliran berita antarabangsa ini dimasukkan ke dalam laporan MacBride yang memperakukan beberapa cadangan bagi mewujudkan Orde Baru Komunikasi dan Maklumat Dunia (NCIWO). Kesan daripada perdebatan hangat yang berlaku sehingga tahap paling tinggi di persidangan PBB, pelbagai tindakan diambii untuk mengimbangi pengaliran berita dunia.
Antara persetujuan yang diambil termasuklah negara maju disarankan agar menyiarkan lebih banyak berita tentang negara miskin dan membangun yang bermatlamat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan.
Sebagai kesan daripada campur tangan PBB itu, wujud pelbagai idea untuk menubuhkan agensi berita dan stesen televisyen berasaskan wilayah dan serantau. Beberapa buah stesen televisyen, temiasuk Aljazeera, dan pelbagai rangkaian berita ditubuhkan untuk mengimbangi pengaliran berita.
Pada masa ini, sudah agak sekian lama berita tentang NCIWO tidak lagi kedengaran. Hal ini mungkin disebabkan isu pengaliran berita antara negara dengan wilayahsudah tidak begitu dipentingkan lagi, terutamanya sejak kewujudan teknologi internet. Pengaliran berita sudah sukar dikawal. Negara dunia ketiga tidak lagi mengambil peduli, sama ada berita tentang negara mereka disiarkan dalam Washington Post, New York Time atau USA Today atau London Times, ataupun Independence.
Jika pelabur ingin tahu tentang suasana politik atau ekonomi di sesebuah negara, mereka tidak perlu membaca berita dalam akhbar besar di negara berkuasa besar. Mereka mampu mendapatkan maklumat terus melalui laman sesawang, sama ada untuk mengetahui syarat yang ditetapkan oleh kerajaan ataupun kementerian dan agensi. Untuk terus kekal relevan, akhbar utama dunia pada masa ini terpaksa menyiarkan berita yang diharapkan mendapat tarikan pembaca. Bagi akhbar ini, pengekalan bilangan pembaca amat penting untuk meyakinkan pengiklan supaya terus membeli iklan.
Di mana-mana negara sekalipun, tidak ada akhbar yang mampu bertahan sekiranya gagal menarik sokongan iklan. Trend juga menunjukkan bahawa syarikat akhbar mula menerbitkan akhbar percuma. Sumber pendapatan syarikat akhbar, seperti ini bergantung sepenuhnya pada iklan. Jelasnya, dengan kewujudan pelbagai portal berita dalam talian, laman sesawang dan pelbagai aplikasi di alam maya, soal ketidakseimbangan berita sudah dianggap tidak penting, malah hal ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pembaca untuk memilih berita dan maklumat yang digemari.
Di negara maju, meskipun kemajuan media sukar dikawal, motif imperialisme media tidak pernah berkubur. Cubaan hegemoni media tidak pemah berakhir. Gerakan untuk menjejaskan identiti nasional rakyat di sesebuah negara terus berlaku. Hal ini bukanlah perkara baharu kerana isu imperialisme media sudah diperdebatkan sekian lama, terutamanya apabila negara membangun bangkit mengkritik negara maju terhadap penj ajahan media pada tahun 1970-an.
Pada masa ini, kawalan terhadap media tidak semestinya dimonopoli oleh sesebuah kuasa atau negara dan organisasi media berkenaan. Masyarakat dunia sudah mampu menilai kewajaran penyiaran sesuatu berita atau tindakan “membunuh" sesuatu berita kerana alasan tertentu. Pemilihan untuk mendapatkan berita dan maklumat terletak di tangan masyarakat. Jika tidak sesuai dengan maklumat dan cara penerbitan atau penyiaran berita dan maklumat, mereka akan mengabaikannya dan mencari sumber media lain untuk memenuhi kepuasan diri rnasing-masing.
Dengan kejatuhan bilangan pembaca akhbar dan penonton televisyen di seluruh dunia pada hari ini, jelaslah bahawa jika media tidak akur dengan kehendak pembaca dan penonton, media berkenaan tidak lagi menj adi pilihan pengguna.
*Felo Universiti Utara Malaysia, Penasihat Media Majlis Profesor Negara, dam Mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian.
miorkamarul@gmail.com




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.