https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tentang etika media dan literasi media

Oleh Haris Zalkapli

Dalam kes tindakan sebuah akhbar menerbitkan laporan dengan tajuk mengelirukan dan disertakan dengan gambar besar umat Islam beribadat, dua isu penting yang perlu diperhatikan di sini ialah etika media, melibatkan editorial dan mungkin juga pihak lebih berkuasa, dan literasi media, yang diperlukan oleh konsumer media untuk memahami apa yang berlaku.

Menjadi kebiasaan banyak akhbar meletakkan iklan atau cerita lain yang tidak berkaitan langsung bersebelahan satu berita atau rencana yang mempunyai tema atau isu yang hampir sama, dengan tujuan, contohnya, product placement atau sengaja menunjukkan ia tahu tentang sesuatu isu, tetapi tidak dapat atau tidak mahu menulisnya secara jelas.

Satu contoh, meletakkan iklan "makanan sunnah" di sebelah artikel tentang "amalan pemakanan Nabi." Ataupun meletakkan ulasan filem The Wolf of Wall Street di sebelah cerita siasatan salah laku syarikat yang berkaitan dengan 1MDB. Pemilihan posisi berita dan artikel atau iklan itu menjadi cerita yang kadang kala lebih besar daripada laporan isu itu sendiri. Tidak ada editor di mana-mana media boleh menafikan pengetahuan hal ini.

Pengguna yang dapat mengenalpasti hal ini, dan dapat menjelaskannya ialah pengguna yang celik media. Tahap celik media berbeza, ada yang dapat merasakan ada yang tidak kena tetapi tidak dapat menjelaskannya, dan ada yang tahu dan dapat menjelaskannya dan melihat naratif yang dibawa akhbar tersebut.

Kes akhbar ini bukan satu yang baru, kerana akhbar ini telah lama mengamalkan pemilihan kata, pemilihan gambar, istilah dan sebagainya yang mempunyai tujuan menakutkan melalui pemahaman yang terhasil daripada amalan itu.

 Ini dilakukan melalui laporan-laporan kes terorisme, yang hampir pasti diterbitkan di muka depan, dan cubaan meletakkan bersama terorisme tadi dengan isu tempatan, seperti undang-undang syariah, atau rang undang-undang yang suka ditulis sebagai "hudud bill."

Amalan ini, setelah diperhatikan dalam satu tempoh yang panjang, boleh disimpulkan bahawa akhbar tersebut membawa satu agenda mencetuskan, mengukuhkan (reinforcing), memanjangkan (perpetuating) kebencian terhadap semua yang berkait dengan Islam yang tidak dipersetujui oleh mereka.
Akhbar yang meneruskan amalan ini tahu siapa yang akan berasa takut dan benci, dan kepada siapa kebencian itu akan dihalakan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.