https://critoxium.com/shop/

Terkini

Teater aksi Uda dan Dara berkampung di bendang

Oleh Mohd Shukor Amin 

Berlatarkan langit malam, Pementasan Teater Di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara arahan Shamsudin Osman atau lebih dikenali sebagai Dinsman di Parit 2 Barat di sini, mendapat sambutan di luar dugaan.

Tidak hairanlah malam pertama pementasan itu sahaja sudah berjaya menarik minat kira-kira 1,500 pengunjung.

Pementasan di tengah sawah

Pementasan karya terkenal Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang yang diadakan di petak sawah padi itu julung kali diadakan oleh pengarah teater ini, selain pertama kali dipersembahkan di daerah ini, selepas selesai musim menuai padi.

Dinsman berkata, teater anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dengan kerjasama Ziarah Karyawan (ZK) ini membabitkan 80 penggiat seni, termasuk pelakon baharu dan lama, pengarah muzik, teknikal audio dan cahaya, kru pembantu serta penggiat baharu teater dari kalangan anak tempatan.
Yang turut menunjuk bakat, pemain caklempong dari Sekolah Menengah (SMK) Dato Mustaffa dan kumpulan seni silat rencong Aceh dari Sungai Panjang.

“Pada asalnya kami merancang teater ini diadakan di Kuala Sedeli, Johor, iaitu di tempat kelahiran Usman tetapi atas beberapa masalah teknikal, ia diadakan di sini memandangkan lokasinya amat sesuai dan bertepatan dengan tema perkampungan petani,” katanya kepada Sastera & Budaya di sini.

Dinsman berkata, Pementasan Teater Di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara dipersembahkan sebagai mengenang jasa SN itu terhadap perkembangan sastera dan budaya Melayu di negara ini, selain memastikan teater terus hidup dan berkembang dalam masyarakat.

“Alhamdulillah, persembahan teater berjalan dengan lancar walaupun terdapat sedikit kelemahan dari sudut teknikal, termasuk sekali-sekala sistem audio yang kurang jelas,” katanya.

Selain penduduk setempat, kelibat nama besar dunia seni tanah air turut kelihatan, termasuk pengarah veteran, Yassin Salleh yang juga penerbit teater; penyanyi lagu puisi, Sani Sudin; Penghulu ZK Mohd Tazali Tamin dan Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr Syed Husin Ali.

Turut anjur program lain

Sementara itu, Ketua Pelaksana ZK, Roslan Mohd Ali, berkata selain teater Muzika Uda dan Dara, program gabungan PAKSI dan ZK itu turut melaksanakan beberapa aktiviti lain, termasuk mendeklamasi sajak, diskusi karya Uda dan Dara, perbincangan karya penulis tanah air serta ramah mesra seramai 180 ahli ziarah karyawan bertempat di Damai Rasidin Villa, Sungai Besar.

“Dinsman memang pengarah yang unik. Idea kreatif beliau sungguh segar dan dapat menarik perhatian penonton menyaksikannya, termasuklah teater atas pokok arahan beliau sebelum ini.

“Saya juga agak terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat dan luar terhadap teater ini.

“Terima kasih atas sokongan yang diberi, termasuk daripada Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang banyak membantu,” katanya.

Roslan berkata, pemilihan petak sawah padi amat bertepatan sekali dengan tema serta jalan cerita teater Uda dan Dara ini yang berkisar perjuangan masyarakat petani menentang pihak yang menindas mereka berdasarkan puisi kemanusiaan karya Usman.

“Tahniah diucapkan kepada Dinsman dan pelakon serta semua pihak yang terbabit dalam menjayakan teater ini.

“Mereka sudah berlatih bersungguh-sungguh selama dua minggu di sawah padi Parit 2 Barat ini demi menghasilkan persembahan yang amat membanggakan,” katanya.
















Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.